Top Ad 728x90

JPA perkenal program mentor

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memperkenalkan program mentor menti bagi pegawai lantikan baru dan pegawai yang dinaikkan pangkat bagi membangun dan meningkatkan kompetensi kerja dan peribadi pegawainya dalam jangka panjang, berkuat kuasa bulan ini.

Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Bahagian Operasi), Datuk Dr Ismail Alias, berkata pelaksanaannya adalah susulan kejayaan program perintis mentor–menti membabitkan sebahagian pegawai kerajaan yang dijalankan dua tahun lalu.

Pelaksanaannya dibuat mengikut Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 8 2010 yang dikeluarkan 18 Jun lalu iaitu Panduan Pelaksanaan Pementoran Dalam Pengurusan Sumber Manusia Sektor Awam.

“Program perintis itu berjaya membentuk pegawai dan kakitangan yang lebih berkeyakinan, mudah menyesuaikan diri, pengurusan kerja yang teratur dan memudahkan sistem penyampaian sektor awam.

“Pencapaian itu mendorong JPA merangka program mentor-menti yang lebih terperinci dan sistematik membabitkan pegawai dan kakitangan mengikut kriteria ditetapkan, termasuk menyediakan garis panduan dan sistem penilaian bagi membantu meningkatkan mutu program dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Ismail berkata, program itu yang akan dipantau Bahagian Pengurusan Psikologi JPA membabitkan tempoh masa enam hingga 12 bulan dengan jumlah masa terkumpul bagi setiap menti berurusan dengan mentor adalah enam jam.
“Program ini boleh membantu pegawai awam untuk lebih bertanggungjawab dan membantu kakitangan baru untuk melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi,” katanya.

Program itu adalah pendekatan JPA untuk memberi bimbingan, sokongan dan bantuan dengan menerapkan elemen psikologi dan kaunseling secara profesional oleh mentor kepada menti bertujuan meningkatkan pembangunan dan kompetensi profesional, budaya, peribadi dan sosial pegawai lantikan baru dan yang dinaikkan pangkat.

Pekeliling itu menyebut, pementoran adalah perhubungan yang dibina antara mentor dan menti dengan mentor berkongsi ilmu, nilai dan pengalaman, memberitahu keputusan dan bertindak berdasarkan idea yang dihasilkan, sementara menti dapat mempelajari ilmu, nilai dan pengalaman dan memindahkannya dalam realiti pekerjaan dan kehidupan.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90