Top Ad 728x90

,

RMK-10: Cabaran utama yang perlu diharungi

Oleh ROHAMI SHAFIE
Pensyarah Kanan
Perakaunan dan Kewangan Kolej Perniagaan (COB)
Universiti Utara Malaysia

DI atas kertas, intipati Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) cukup komprehensif dan jelas sama sekali. Walaupun ada yang mengkritik bahawa RMK-10 tidak ada bezanya berbanding dengan Rancangan Malaysia yang terdahulu, namun kalau melihat secara terperinci, RMK-10 mempunyai kelainan tersendiri.

Perbezaan utamanya adalah pelbagai pendekatan-pendekatan baru yang berani bakal digunakan oleh kerajaan. Umpamanya, mengamalkan meritokrasi dalam menjayakan agenda ekonomi bumiputera. Selain itu, pendekatan yang mementingkan kreativiti dan inovasi akan diterapkan bagi meningkatkan produktiviti negara. Paling menarik, golongan yang berpendapatan terendah seramai 40 peratus daripada jumlah keseluruhan rakyat Malaysia akan diberi keutamaan tertinggi.

Namun begitu, dalam mempelbagaikan pendekatan baru bagi menjayakan RMK-10, terdapat beberapa cabaran utama yang perlu diharungi. Pertama, dalam mengurus hutang. Hutang ini bukan bermakna setakat pengurusan hutang kerajaan tetapi juga pengurusan hutang sektor swasta dan individu. Ini kerana kerajaan akan memperkasakan sektor domestik yang mementingkan pelaburan dan perbelanjaan dalam negara.

Dengan cara ini, ekonomi akan berkembang dengan lebih pesat lagi dan pada masa yang sama permintaan terhadap instrumen hutang juga akan meningkat bagi menampung kehendak semasa. Pada asasnya, permintaan terhadap hutang baik untuk mencergaskan ekonomi tetapi jika terlalu bergantung kepada hutang, maka risiko kemuflisan akan meningkat tinggi. Justeru itu, pengurusan hutang secara berhemah mestilah diamalkan bagi memastikan keadaan ekonomi negara berada pada tahap terbaik.

Kedua, cabaran mengurangkan defisit negara pada tahap di bawah tiga peratus atau lebih khususnya 2.8 peratus pada tahun 2015. Perkara yang perlu ditekankan di sini adalah mengurangkan perbelanjaan mengurus dan pada masa yang sama meningkatkan hasil kerajaan. Tiada cara lain kecuali, memastikan segala perbelanjaan yang dikeluarkan oleh kerajaan benar-benar berkesan dan memberi manfaat kepada rakyat. Perbelanjaan mengurus yang besar seperti emolumen, bekalan, perkhidmatan dan bayaran khidmat hutang serta lain-lain patut diberi penekanan yang tinggi mengikut kehendak semasa.

Selain itu, pendekatan-pendekatan baru untuk memastikan sektor swasta sebagai peneraju ekonomi negara mampu mempertingkatkan hasil kerajaan melalui cukai korporat. Namun, sekali lagi cabaran utamanya adalah memastikan kerajaan berupaya menjadi sebuah syarikat yang berdaya saing yang mana tahap kecekapan kerajaan adalah yang terbaik. Polisi dan prosedur-prosedur lapuk mestilah dihapuskan bagi memperkasakan rantaian nilai dalam sektor awam. Amalan birokrasi yang menjejaskan kepantasan dalam membuat keputusan, seterusnya menjejaskan sektor swasta wajar dibuang jauh-jauh. Seiring dengan itu, sistem ganjaran yang berdasarkan prestasi haruslah digunakan dalam sektor awam.

Cabaran seterusnya melibatkan 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang merupakan bidang ekonomi pengkhususan. Dua belas NKEA ini sememangnya bidang kepakaran negara kita yang akan memacu ekonomi negara pada kadar pertumbuhan enam sehingga tujuh peratus setiap tahun. Di sinilah, peranan inovasi yang akan membentuk kelainan bagi produk-produk yang dihasilkan oleh para pekerja Malaysia berbanding negara-negara lain. Umpamanya inovasi dalam perkhidmatan kewangan. Produk-produk kewangan yang dihasilkan mestilah terkini dan mengikut kehendak pengguna.

Begitu juga, cabaran seperti liberalisasi kewangan menuntut agar pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan dengan lebih tegas lagi. Ini kerana, kedua-dua komponen ini akan memberi kesan pertumbuhan yang positif ke atas liberalisasi kewangan. Tanpa pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas lagi, krisis kewangan dan perbankan akan lebih mudah berlaku di negara kita. Lebih-lebih lagi, dalam era globalisasi, apa sahaja boleh berlaku.

Ketidakstabilan kewangan sesebuah negara terutamanya Amerika Syarikat akan meruntuhkan keseluruhan sistem kewangan dunia. Inilah yang berlaku ketika krisis subprima melanda dunia.

Oleh itu, bagi menjayakan NKEA, mahu tidak mahu, modal insan mestilah diperkasakan. Melalui RMK-10, perhatian khusus diberikan dalam sektor pendidikan. Perkara ini cukup penting kerana modal insan yang terbaik akan menentukan kemajuan negara kita. Modal insan yang bakal dihasilkan bukan sahaja berkemahiran tinggi tetapi juga mestilah beretika, berintegriti tinggi dan bersahsiah mantap.

Bukan mudah untuk menghasilkan modal insan sebegini. Di samping itu, kerajaan juga akan menubuhkan Talent Corporation bagi menarik rakyat Malaysia yang berkemahiran tinggi di luar negara pulang bekerja di Malaysia. Inilah cabaran besar bagi menjayakan RMK-10. Tanpa modal insan yang berkemahiran dan berkepakaran tinggi, produktiviti negara akan berada pada takuk yang sama.

Cabaran terakhir yang harus dipikul oleh semua rakyat Malaysia adalah membentuk kerjasama satu pasukan Malaysia yang kuat dan mantap. Maka, mahu tidak mahu, anjakan paradigma dibantu dengan keyakinan dan motivasi yang tinggi di kalangan rakyat Malaysia mestilah diterapkan dalam budaya kerja rakyat Malaysia jika kita mahu melihat transformasi ekonomi ke arah negara maju dapat direalisasikan pada tahun 2020.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90