Ahad, Jun 20, 2010

Saran wanita solat Jumaat

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyarankan wanita turut mengerjakan solat Jumaat sebagaimana lelaki menunaikannya di masjid dengan mempunyai ruang khas bagi mengerjakan ibadah itu.

Beliau berkata, walaupun amalan itu merupakan sunat bagi wanita tetapi ia digalakkan dalam Islam kerana di Tanah Suci Mekah sendiri wanita boleh melakukannya.

"Saya nampak benda ini sepatutnya sudah lama diamalkan, tetapi kerana kita tidak mempunyai tempat yang cukup kerana melibatkan percampuran antara jemaah lelaki dan wanita," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di rumahnya di Pulau Melaka di sini, petang ini.

Nik Aziz menyarankan imam masjid di Kelantan agar mencontohi amalan di Arab Saudi yang mengamalkan solat Jumaat di kalangan muslimat.

Ditanya sama ada ia akan menimbulkan suatu kejutan kerana baru diperkenalkan di negeri ini, Nik Aziz yang juga Mursyidul Am Pas berkata, ia tidak menjadi masalah selagi tidak bercanggah dengan Islam.

"Memanglah sesuatu yang terpendam, setelah baru didedahkan akan menimbulkan kejutan... tetapi ia tidak akan menjadi masalah selagi ia tidak bercanggah dengan agama.

"Biasalah... malah sejak Pas baru lahir dulupun menimbulkan kejutan di kalangan masyarakat macam mana politik dengan agama boleh dicampuradukkan," katanya.

Menurutnya, sebelum ini kebanyakan wanita sanggup menunggu suami dalam kereta mengerjakan solat Jumaat kerana tiada ruang khas untuk mereka mengerjakan solat bersama disebabkan kebanyakan ruang di masjid digunakan oleh kaum lelaki.

"Tetapi jika ada ruang yang cukup untuk wanita atau muslimat, ia tidak menjadi masalah. Kalau hari-hari biasa wanita boleh mengerjakan solat berjemaah berimamkan kaum lelaki, tidak ada sebab wanita juga boleh mengerjakan solat Jumaat di masjid," katanya.

- BERNAMA
           

1 ulasan:

  1. bukan Arab Saudi je amalkan..Algeria pun amalkan wanita pi semayang jumaat kat sini..

    BalasPadam

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts