Kelemumur, rambut gugur merunsingkan
Biar berkerudung, penjagaan rambut tetap diutamakan apatah lagi ia memerlukan lebih perhatian berbanding mereka yang tidak. Kulit kepala yang tertutup dalam tempoh lama mengundang peluh yang akhirnya bercampur minyak semula jadi lalu mengundang masalah kelemumur yang serius.
Bagi lelaki pula, barisan rambut yang lebat dan mudah digayakan menyerlahkan lagi penampilan. Biar pun mereka mempunyai pilihan untuk bergaya botak, namun bukan semua lelaki kelihatan menarik dengan penampilan begitu.
Apatah lagi andai keguguran rambut berlaku tidak sekata, pasti ia mencacatkan penampilan.
Menurut Dr. Gangaram, dua masalah utama yang sering melanda kebanyakan individu tidak kira lelaki dan wanita adalah kelemumur dan rambut gugur dengan kronik.
“Masalah rambut berlaku disebabkan banyak faktor. Antaranya usia, stres, kurang tidur, pengambilan makanan yang tidak betul, kurang nutrisi, penggunaan produk rambut berlebihan, pengering rambut dan genetik,” ujar beliau.
Seperti soal kesihatan yang lain, rambut juga sering diabaikan oleh kebanyakan individu, kata Dr. Gangaram.
“Bila rambut mula gugur baru kita berusaha ingin merawatnya. Sepatutnya ia perlu dijaga seawal usia muda lagi, melainkan faktor genetik yang sukar dirawat,” kata beliau.
Rambut bermasalah menjejaskan aktiviti harian setiap individu sekali gus menjadikan mereka kurang berkeyakinan dan malu berada di khalayak.
Jelasnya, setiap individu perlu mengetahui analogi, fisiologi dan punca biasa untuk lebih memahami dan menjaga kesihatan rambut.
Kelemumur
Biasanya masalah ini disebabkan beberapa perkara:
# Seborrheic dermatitis (gatal-gatal, kulit kepala berminyak) - punca biasa menyebabkan kelemumur. Ia kelihatan merah, kulit kepala berminyak diselaputi keruping putih atau kuning. Ia bukan sahaja berlaku pada kulit kepala malah di kawasan kulit yang mengandungi liang minyak, seperti kening, tepi hidung, belakang telinga, tulang dada, celah kangkang dan kadang kala pada bahagian ketiak.
Seborrheic dermatitis juga boleh berlaku dari usia bayi dilahirkan (ruam lampin) dan beransur hilang pada usia satu tahun.
Bagi mereka yang dijangkiti HIV, masalah ini lebih serius berbanding biasa. Menurut Dr. Gangaram, biasanya doktor boleh mengenal pasti pesakit yang menghidap HIV berdasarkan keadaan kulit kepala mereka yang mengalami kegatalan serius hingga merebak ke bahagian lain.
Stres juga boleh mengundang masalah seborrheic dermatitis menjadi lebih teruk.
Kulit kepala kering, gatal dan berkeruping - disebabkan cuaca panas. Bentuk keruping disebabkan kulit kepala kering biasanya kecil-kecil dan kurang berminyak berbanding lain-lain punca yang menyebabkan kelemumur.
Kurang mencuci rambut - jika anda tidak membasuh rambut dengan kerap, minyak dan sel kulit daripada kulit kepala akan terbina, menyebabkan kelemumur.
# Psoriasis - Masalah kulit berpunca daripada pengumpulan sel kulit mati yang menghasilkan keruping berwarna perak. Ia biasa berlaku di lutut, siku tetapi boleh juga berlaku pada kulit kepala.
# Ekzema - Jika anda penghidap ekzema, kelemumur adalah masalah biasa.
Sensitif pada sesetengah produk - kadangkala sensitif kepada sesetengah jenis produk rambut menyebabkan kulit kepala menjadi kemerahan dan gatal. Terlalu kerap mencuci rambut juga boleh menyebabkan kelemumur.
# Jangkitan yis malassezia - Malassezia hidup pada permukaan kulit kepala hampir kesemua individu dewasa tanpa menyebabkan sebarang masalah. Namun kadangkala, ia berkembang tanpa terkawal, merembeskan lebih minyak daripada folikel rambut. Ini menyebabkan iritasi pada kulit kepala dan menggalakkan lebih banyak sel kulit terhasil. Lebihan sel kulit akan mati dan tertanggal dan bercampur dengan minyak daripada rambut dan kulit kepala, menyebabkan ia kelihatan memutih, berkeping dan jelas kelihatan pada rambut juga pakaian anda.
Walaubagaimanapun punca sebenar malassezia tidak diketahui. Boleh jadi disebabkan terlalu banyak minyak pada kulit kepala, perubahan hormon, tekanan, masalah saraf seperti parkinson, sistem imun terganggu, tidak mencuci dengan kerap, dan semua masalah menyumbang kepada kelemumur.
Rawatan kelemumur
Menurut Dr. Gangaram, masalah kelemumur yang serius boleh diatasi dengan pengambilan syampu anti-fungus. Agen seperti ketoconazole, bifonazole dan ciclopiroxolamine (juga dipanggil ciclopirox) yang terdapat dalam formula berlainan seperti krim, gel, losyen dan syampu boleh membantu mengatasi masalah ini.
# Rambut gugur (alopesia)
Terdapat dua jenis keguguran rambut biasa iaitu diffuse (menyeluruh) dan patchy (bertompok-tompok atau setempat).
Masalah keguguran menyeluruh disebabkan kegagalan peringkat penghasilan menyebabkan berlaku:
# Alopesia areata
Masalah keguguran rambut setempat pada kepala ini tidak diketahui puncanya. Prognosisnya agak baik tanpa rawatan, bagaimanapun adakalanya ia akan pulih semula dalam tempoh enam hingga 12 bulan.
# Telogen effluvium
Masalah ini boleh berlaku antara dua hingga empat bulan selepas proses kelahiran, demam panas, penyakit-penyakit akut, tekanan fizikal atau emosi dan diet tidak seimbang (crash diet). Namun, rambut yang gugur ini akan tumbuh semula selepas beberapa bulan, tanpa memerlukan sebarang rawatan.
Masalah keguguran rambut bertompok pula disebabkan masalah penghasilan seperti:
# Androgenetik alopesia
Ia merupakan masalah keguguran rambut yang paling kerap berlaku di kalangan lelaki. Namun ia juga boleh berlaku pada wanita. Dikenali sebagai salah satu bentuk botak pada lelaki (male pattern baldness).
Ia disebabkan oleh kombinasi tiga faktor iaitu hormon testosteron, usia (selepas seseorang berusia lebih 20 tahun) dan keturunan.
Keguguran rambut serius
Terdapat pelbagai punca yang menyebabkan rambut gugur dengan serius. Keguguran rambut ini biasanya jelas kelihatan apabila seseorang menyikat rambut terutama selepas bersyampu.
Keguguran rambut bagi kategori ini biasanya berpunca daripada:
# Melahirkan anak
Selepas seseorang wanita melahirkan anak, pusingan rambut akan memasuki fasa berehat yang agak lama. Dalam masa itu fasa keguguran rambut akan terjadi dalam tempoh dua hingga tiga bulan. Dalam tempoh dua hingga tiga bulan, sesetengah wanita mengalami keguguran rambut yang banyak. Dalam masa satu hingga enam bulan ia akan pulih.
# Penyakit tiroid
Kelenjar tiroid yang terlalu aktif atau pasif juga boleh menyebabkan keguguran rambut.
# Demam, jangkitan dan selesema yang serius
Selepas empat minggu hingga tiga bulan demam yang serius, seseorang mungkin terkejut melihat rambut gugur dengan banyak. Namun keguguran rambut ini akan pulih seperti sediakala.
# Protein yang tidak seimbang dalam pemakanan
Amalan diet yang tidak seimbang dengan tidak memakan protein atau tabiat pemakanan abnormal.
# Ubat-ubatan
Sesetengah ubat-ubatan boleh menyebabkan keguguran rambut untuk sementara waktu. Ubat-ubatan terdiri daripada penyakit gout, artritis, kemurungan, masalah jantung, hipertensi dan ubat mencairkan darah . Pengambilan vitamin A secara berlebihan juga boleh menyebabkan keguguran rambut.
# Rawatan kanser
Sesetengah rawatan kanser akan menyebabkan sel-sel rambut terhenti membahagi yang mengakibatkan rambut menjadi nipis dan mudah terputus apabila ia keluar dari kulit kepala.
Rawatan alternatif
Pelbagai rawatan alternatif kini boleh didapati dalam merawat masalah rambut. Antaranya, pakar rambut Neeta Gosalia melalui produknya Neeta’s Herbal sudah berjaya membantu ramai pelanggan merawat masalah rambut serius seperti kelemumur dan keguguran rambut serius.
Bagi Neeta yang berpengalaman selama 23 tahun dalam bidang itu berpendapat, mereka yang mengalami masalah rambut patut mendapatkan rundingan daripada pakar dan mengubah gaya hidup serta corak pemakanan.
Katanya, segala masalah kebanyakan berpunca daripada akar rambut yang tidak subur dan rosak. Ia disebabkan banyak faktor.
Beliau juga tidak menggalakkan mereka yang mengalami masalah rambut terus ke salon biasa kerana bakal mendapat rawatan yang tidak sepatut.
Neeta’s Herbal menggunakan herba semula jadi seperti inai yang terbukti dalam merawat masalah rambut dan tidak mengandungi bahan kimia merbahaya.
Maklumat lanjut hubungi 03-22828868/ 03-77286751 atau www.neetasherbal.com
- MINGGUAN