Tiada bukti saintifik hadapi komplikasi derma darah

Oleh Dr Irfan Mohamad
Pensyarah Kanan ORL Pusat Pengajian Sains Perubatan
USM, Kota Bharu Kelantan

14 Jun setiap tahun, dijadikan sebagai ‘Hari Derma Darah Sedunia’ sempena hari kelahiran pemenang hadiah nobel yang menemukan sistem kumpulan darah ABO, Karl Landsteiner, bagi menghargai sumbangan penderma komoditi yang tidak ternilai harganya iaitu darah.

Ia menjadi tidak ternilai kerana bukan sebab tiada nilai yang dibayar selepas menderma bahkan kerana tiada suatu ukuran penilaian yang boleh dibuat terhadap setiap 450 mililiter darah didermakan secara ikhlas untuk menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan.

Penderma datang dengan niat yang tulus, turun dari rumah mereka ke unit tabung darah hospital bagi melaksanakan tugasan murni dengan mengetahui tiada ganjaran material atau sebarang peruntukan istimewa yang bakal mereka peroleh selepas menderma.

Bahkan mereka meluangkan masa berharga yang ada selama 30 minit untuk berada di katil penderma bagi membolehkan darah mereka dialirkan ke beg darah, seterusnya akan dimanfaatkan oleh mereka yang sedang bertarung nyawa akibat kekurangan darah.

Pasti ada suatu nilai tertanam di dalam diri, membolehkannya menjadi sekumpulan insan istimewa - berbeza dengan berjuta-juta ahli masyarakat yang sehingga kini masih menafikan keberanian dan kebolehan diri untuk menyumbang sedikit darah mereka untuk tujuan kebaikan dan kebajikan.

Penderma sudah membuktikan bahawa mereka berjaya menolak alasan yang sering membuatkan seseorang itu tidak mahu menderma. Antara alasan itu ialah kesibukan, takut jarum, kurang sihat atau sedang mengambil ubat.

Walhal apa yang dijadikan alasan itu adalah satu tabir yang mudah disingkap jika mereka sendiri jujur ingin membantu dan mendapatkan penilaian sebenar sama ada mereka layak atau sebaliknya. Pegawai perubatan di unit tabung darah pastinya akan membantu anda menyelesaikan kemusykilan itu dan tahap kesihatan anda dipastikan sesuai untuk menderma.
Ada juga yang membuat andaian salah mengenai komplikasi selepas menderma darah seperti risiko jangkitan, badan menjadi lemah, darah dalam badan menjadi kurang dan timbangan berat semakin bertambah. Salah tanggapan ini lebih berupa tahyul yang tidak disokong oleh sebarang bentuk bukti saintifik dalam jurnal perubatan bahkan hanya menjadi cerita turun-temurun oleh mereka yang kurang berani tampil mencuba buat kali pertama.

Alatan digunakan untuk proses menderma darah ialah sucihama (steril), hanya digunakan sekali dan dimusnahkan selepas itu. Jadi tidak timbul soal risiko jangkitan. Darah yang didermakan pula tidak pun sampai 10 peratus daripada jumlah darah yang ada dalam badan. Jumlah ini ini tidak menjejaskan fungsi normal badan, cuma penderma haruslah berehat seketika dan mengelak melakukan kerja berat beberapa jam selepas menderma darah.

Defisit sementara ini akan digantikan oleh sel-sel darah baru yang akan dikeluarkan oleh sum-sum tulang. Ini menjadikan darah yang mengalir dalam badan kita beroleh gantian yang baru, ibarat sewaktu kita menggantikan minyak pelincir kereta, jumlah yang dibuang akan digantikan dengan jumlah sama, malah dengan kualiti bahan yang lebih baik.

Sebenarnya alasan ini hanyalah sebagai rekaan menyebabkan kita menafikan peluang untuk menyumbang darah kepada pesakit yang memerlukan. Sekiranya kita jujur dengan diri kita, pastinya kita akan merebut peluang keemasan ini kerana kebaikannya terlalu banyak.

Amalan menderma darah secara berkala seboleh-bolehnya setiap genap tiga bulan adalah cara mudah untuk kita membuat kebajikan berupa amal jariah dalam kehidupan. Darah kita yang dimasukkan ke dalam badan mereka yang memerlukan bagi membolehkan mereka melangsungkan kehidupan adalah sesuatu yang amat mahal nilainya di sisi agama.

Idola masyarakat seperti pemimpin politik, tokoh agama, artis dan setiap orang yang diri mereka ada pengikut hatta seorang ketua keluarga harus membudayakan dan memberi teladan baik amalan ini kepada orang yang sentiasa melihat perbuatannya.

Dengan cara ini, barulah program memasyarakatkan pendermaan darah akan mudah dilakukan dan fobia serta alasan akan dapat dijumudkan. Betapa banyak pesakit yang kehilangan darah setiap hari disebabkan penyakit seperti kanser atau masalah penyakit sistem darah seperti haemofilia dan talasemia.

Tidak kurang juga darah diperlukan untuk gantian kehilangan darah sewaktu proses kelahiran anak oleh ibu mengandung, pembedahan akibat kemalangan jalan raya yang memungkinkan kematian dalam sekelip mata jika bekalan darah tidak disediakan.

Hanya apabila kita terlantar di hospital dan memerlukan darah untuk kesinambungan hidup barulah pada waktu itu kita akan merayu kepada semua orang yang lalu-lalang untuk mendermakan darahnya kepada kita.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url