Selasa, Julai 06, 2010

IEA iktiraf ijazah kejuruteraan Malaysia

Semua kelayakan ijazah kejuruteraan di negara ini yang diperakui oleh Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) termasuk dikeluarkan institut pengajian tinggi awam, kini mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Mansor yang mengesahkannya berkata, pengiktirafan itu diperoleh menerusi mesyuarat Gabungan Kejuruteraan Antarabangsa (IEA) yang diadakan di Kyoto, Jepun pada tahun lalu.

Katanya, menerusi keputusan itu, graduan program kejuruteraan dari Malaysia yang berjaya memenuhi piawaian akademik boleh menjalankan amalan bidang berkenaan luar negara.

“LJM berjaya mendapat status penanda tangan penuh Washington Accord atau penanda aras antarabangsa sejak tahun lalu, sekali gus membolehkan lepasan ijazah kejuruteraan universiti di negara ini diterima sebagai profesional di negara lain,” katanya selepas merasmikan Majlis Minggu Haluan Siswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di Durian Tunggal, dekat sini, semalam.

Washington Accord adalah kumpulan negara terdiri daripada Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Hong Kong, China Taipei, Ireland, Korea, New Zealand, Singapura, Afrika Selatan, Jepun dan Kanada.

Ketika ini, badan yang diwakilkan oleh LJM iaitu Dewan Kejuruteraan Akreditasi (EAC) bertanggungjawab terhadap akreditasi program kejuruteraan di Malaysia.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Yaakub Md Amin.

- BERITA HARIAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts