Top Ad 728x90

,

Jerman ratapi kegagalan


JOHANNESBURG - Jurulatih Jerman, Joachim Loew melabel Sepanyol sebagai sebuah pasukan terhebat di dunia dan percaya skuad La Roja itu mampu menjulang gelaran juara Piala Dunia 2010.

Awal pagi semalam, langkah anak-anak buah Loew tersekat pada peringkat separuh akhir apabila tewas 0-1 kepada juara Eropah tersebut.

Meskipun terpaksa akur dengan kekalahan tersebut, Loew tetap menghamburkan pujian terhadap skuad La Roja sambil menegaskan, anak-anak buah Vincente del Bosque itu mampu menewaskan Belanda pada aksi final awal pagi Isnin ini.

"Ya, mereka (Sepanyol) adalah pasukan terhebat di dunia. Pada 2008, Sepanyol menjulang gelaran Euro 2008 dengan aksi yang menakjubkan.

"Mereka telah memenangi kesemua perlawanan penting sejak tiga tahun lalu dan buat masa ini, kualiti permainan mereka masih tidak berubah.

"Saya yakin mereka akan menjuarai aksi final itu nanti kerana mereka mampu mengawal perlawanan sekiranya mereka mahu.

"Sepanyol mendominasi semua perlawanan dan juga lawan mereka. Malah mereka juga membuktikan bahawa mereka mampu menewaskan sesiapa sahaja," kata Loew.

Jerman tersungkur pada separuh akhir semalam hasil jari- ngan tonggak pertahanan Sepanyol, Carles Puyol pada minit ke-73 dan kini, mereka akan berdepan Uruguay dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat awal pagi Ahad ini.

Loew mengakui kekalahan tersebut adalah suatu tamparan hebat buat anak-anak buahnya.

"Saya hanya mampu melihat wajah mereka di dalam bilik persalinan. Mereka semua sungguh kecewa kerana gagal mencapai impian kami," kata Loew.

"Sepanyol sebuah pasukan dengan memiliki acuan yang lengkap dan pemain mereka telah beraksi bersama sejak dua atau tiga tahun.

"Sebaliknya, aksi kami pula agak tersekat di atas padang dan sukar sekali untuk dijelaskan apa yang berlaku.

"Kami tidak ada keberanian dan keyakinan untuk bermain dengan rentak kami. Kami dipaksa bekerja keras untuk merampas bola.

"Tetapi saya harus mengucapkan tahniah kepada pemain saya. Kami telah berusaha sedaya upaya dan berlatih dengan keras. Cuma kami tidak cukup bagus pada malam ini (semalam)," katanya.

Lahm kecewa gagal saingi Sepanyol

Philipp Lahm ternyata kecewa selepas Jerman tewas 0-1 kepada Sepanyol pada aksi separuh akhir Piala Dunia 2010 awal pagi semalam.

Sekalipun berjaya membenam England 4-1 pada pusingan kedua dan Argentina 4-0 dalam aksi suku akhir, Jerman dilihat bergelut untuk menyaingi kehebatan Sepanyol yang jelas menguasai tempo permainan.

Gol kemenangan Sepanyol hadir pada minit ke-73 menerusi tandukan kencang pemain pertahanan, Carles Puyol.

Sebelum aksi tersebut, skuad muda kendalian Joachim Loew itu menjadi pasukan pilihan untuk mara ke final bertemu Belanda.

Begitupun, Lahm berasa kecewa dengan kegagalan mereka untuk mempamerkan persembahan yang sama ketika menewaskan England dan Argentina.

"Ia adalah sesuatu yang sukar buat kami malam ini (awal pagi semalam)," kata kapten Jerman itu.

"Kami harus akui Sepanyol kini dianggap pasukan pilihan untuk muncul juara Piala Dunia 2010. Mereka sebuah pasukan yang hebat.

"Kami tidak bermain dengan baik pada separuh masa pertama. Kami memperoleh peluang pada babak kedua tetapi kami gagal menyempurnakannya.

"Ia adalah suatu kekecewaan yang besar. Kami mahu melakukan lebih daripada itu dan ia tidak berjaya." - AFP

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90