Top Ad 728x90

,

Terengganu dan Negeri Sembilan beri subsidi tiket perlawanan akhir Piala Malaysia 2011

Terengganu beri subsidi 50 peratus, tiket hanya RM25

KERAJAAN negeri Terengganu mengumumkan pemberian subsidi sebanyak 50 peratus terhadap 30,000 keping tiket final Piala Malaysia yang diperuntukkan kepada penyokong Terengganu.

Yang Dipertua Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Che Mat Jusoh berkata, dengan pemberian subsidi hampir RM750,000 itu, penyokong skuad Penyu hanya perlu membayar RM25 sekeping tiket, berbanding harga jualan yang diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kelmarin iaitu RM50.

"Saya sendiri terkejut apabila mendapat khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada Menteri Besar (Datuk Seri Ahmad Said) pagi ini (semalam) mengenai perkara itu dan kita sangat bersyukur.

"Ia adalah hadiah istimewa untuk peminat Terengganu," kata Che Mat ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Jelasnya, sebahagian peminat sudah membuat tempahan daripada PBSNT semalam untuk mendapatkan tiket berkenaan yang dijangka dibuka untuk dijual secara runcit bermula pukul 9 pagi ini di pejabat PBSNT di Kuala Terengganu.

"Walaupun esok (hari ini) cuti sempena Deepavali, namun pejabat kita akan terus dibuka untuk membolehkan peminat membeli tiket yang dihadkan 10 keping sahaja setiap seorang," katanya.

Che Mat menambah, pihaknya turut memperuntukkan 500 keping tiket untuk setiap pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya tiket tersebut dapat dibahagikan sama rata untuk semua peminat bola sepak negeri itu

"Setakat ini, saya telah menerima bayaran daripada DUN Tepoh dan kemungkinan dalam masa terdekat wakil pejabat DUN lain akan turut membuat perkara sama," katanya.

Che Mat berkata, beliau dan seluruh peminat bola sepak Terengganu sangat berterima kasih kepada Menteri Besar dengan pemberian subsidi tersebut dan berharap ia juga akan menaikkan semangat skuad Penyu.

Terengganu kembali beraksi di pentas final Piala Malaysia buat kali pertama sejak edisi 2001 yang menyaksikan jaguh Pantai Timur itu muncul juara.

Negeri Sembilan jual tiket RM30


PRIHATIN dengan nasib para penyokong Negeri Sembilan yang terbeban dengan harga tiket final Piala Malaysia yang mahal, Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) mengambil keputusan untuk menjual tiket tersebut dengan harga RM30.

Presiden PBNS, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keputusan itu dibuat dalam satu mesyuarat tergempar di Seremban malam tadi.

Ia bagi membincangkan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang menetapkan harga tiket final Piala Malaysia sebanyak RM50 bagi semua tempat duduk termasuk grandstand.

Harga tiket bagi kanak-kanak berusia bawah 12 tahun pula dijual pada harga RM5 seorang bagi kesemua tempat duduk.

Mohamad berkata, keputusan untuk menurunkan harga tiket itu diambil oleh PBNS selepas banyak pihak terutama penyokong setia kedua-dua pasukan merungut dengan harga tiket tersebut.

"Keputusan ini adalah hadiah yang dapat PBNS berikan kepada penyokong yang selama ini setia memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada pasukan Negeri Sembilan.

"Apatah lagi, mereka (penyokong) turun beramairamai memberi sokongan kepada pasukan kesayangan mereka sepanjang tiga tahun Negeri Sembilan beraksi di pentas final," katanya di Seremban semalam.

Terdahulu, FAM telah memperuntukkan sebanyak 30,000 tiket kepada PBNS untuk dijual kepada peminat dan penyokong skuad Hoben Jang Hoben.

Mohamad yang juga Menteri Besar berkata, peminat yang sudah membeli tiket pada hari pertama kelmarin dan semalam dengan harga RM50 boleh menuntut baki lagi RM20 di Wisma PBNS dan Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi hari ini.

"Pihak PBNS dan stadium akan memulangkan baki wang tersebut menerusi nombor siri yang tertera pada tiket masing-masing.

"Mereka yang telah membeli hanya perlu menunjukkan tiket kepada petugas di setiap lokasi jualan di negeri ini," ujarnya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa penurunan harga tiket itu tidak termasuk baki tiket yang dijual di Stadium Shah Alam.

Kosmo! semalam melaporkan sebilangan besar penyokong Negeri Sembilan tiada mempunyai pilihan, malah terpaksa akur dengan keputusan FAM membeli harga tiket pada harga yang agak mahal demi menyaksikan aksi final Piala Malaysia Sabtu ini.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin memaklumkan hanya 65,000 keping tiket sahaja yang dicetak untuk final kali ini.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 30,000 tiket akan diagihkan sama rata kepada kedua-dua pasukan untuk dijual di lokasi masing-masing, manakala baki 5,000 tiket lagi akan dijual di Stadium Shah Alam pada Sabtu ini.

- KOSMO!

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90