Top Ad 728x90

,

Dana siswazah terbuka untuk usahawan muda

Dana Skim Prosper Siswazah berjumlah RM10 juta yang dikendalikan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) kini mula ditawarkan secara terbuka kepada usahawan muda berusia 33 tahun ke bawah.
Skim berkenaan sebelum ini hanya ditawarkan kepada golongan siswazah dan pemegang sijil, tetapi kini diperluaskan skop pembiayaannya, sebagai antara inisiatif berterusan PUNB untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam peruncitan dan pengedaran.

Wujudnya banyak peluang pekerjaan di pasaran serta program kerajaan seperti Skim Latihan 1Malayia (SLIM) menjadikan golongan muda kini bersedia untuk mengisi kekosongan pekerjaan di pasaran” - Dzulkifli Fadzilah, Ketua Eksekutif PUNB

Lahir 800 usahawan

Ketua Eksekutif PUNB, Dzulkifli Fadzilah, berkata Skim Prosper Siswazah diperkenalkan PUNB pada 2005 dengan sasaran melahirkan 1,500 usahawan berjaya dalam pelbagai sektor perniagaan, namun hanya 800 orang berjaya diwujudkan setakat ini.

Justeru, katanya skim berkenaan mula ditawarkan secara terbuka kepada usahawan muda sejak awal Ogos lalu bagi membolehkan lebih ramai usahawan muda mendapatkan bimbingan dan pembiayaan daripada PUNB bagi mengembangkan perniagaan.

“Wujudnya banyak peluang pekerjaan di pasaran serta program kerajaan seperti Skim Latihan 1Malayia (SLIM) menjadikan golongan muda kini bersedia untuk mengisi kekosongan pekerjaan di pasaran.
Bantu golongan muda

“Peranan PUNB di sini adalah membantu dan membimbing seberapa ramai golongan muda untuk menjadi usahawan terutama dalam bidang berpotensi. Ini kerana keusahawanan bukan bidang yang mudah kerana ia memerlukan kecekalan selain berdepan risiko,” katanya dalam satu pertemuan dengan BH di sini, baru-baru ini.

Dzulkifli berkata, Skim Prosper Siswazah kini dalam peringkat penjenamaan semula, dan saiz pembiayaan yang ditawarkan adalah daripada RM5,000 hingga RM50,000 dengan tempoh bayaran balik dari lima hingga tujuh tahun.

Beliau berkata, tiada cagaran diperlukan, bagaimanapun peminjam perlu menyediakan sebanyak RM500 sebagai modal permulaan perniagaan.

“Berbeza dengan skim pembiayaan yang lain, usahawan tidak perlu menyediakan premis perniagaan sebaliknya boleh menjalankan perniagaan secara mudah alih atau dari rumah, yang mana mereka tidak perlu mengeluarkan modal perniagaan yang tinggi.

“Kami juga mahu menumpukan kepada pembangunan perniagaan yang berkaitan generasi muda menerusi e-dagang seperti media sosial, telekomunikasi dan pendidikan,” katanya.

Boleh naikkan had pinjaman

Bagi usahawan yang mempunyai pengalaman lebih tiga tahun dan mempunyai rancangan mengembangkan perniagaan, katanya, had pinjaman mereka juga boleh ditingkatkan sehingga RM100,000 yang akan diperkenalkan kepada skim lain di bawah PUNB.

Dalam pada itu, Dzulkifli berkata PUNB yang menyasarkan pengeluaran pinjaman sebanyak RM200 juta tahun ini, sudah menyalurkan lebih RM94 juta bagi semua skim pembiayaan yang ditawarkannya setakat pertengahan tahun ini.

Beliau yakin, dana itu akan disalurkan sepenuhnya sebelum akhir tahun ini kerana permintaan yang kukuh terutama bagi usahawan dalam sektor peruncitan dan pemborongan yang mahu mengembangkan perniagaan.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90