Pinjaman kenderaan naik
Peningkatan 0.96 peratus yang dicatatkan itu menunjukkan arah aliran pengguna meminjam membeli kenderaan baru tidak teruk terjejas seperti dilaporkan banyak pihak berikutan langkah Bank Negara Malaysia (BNM) mengenakan syarat lebih ketat untuk pembiayaan sewa beli mulai Januari lalu.
Jualan kereta masih tinggi kerana diimbangi pelbagai tawaran dan insentif ditawar”. - Dr Yeah Kim Lengi, Ketua Ahli Ekonomi RAM Holdings Bhd
Mengulas perkembangan itu, Ketua Ahli Ekonomi RAM Holdings Bhd, Dr Yeah Kim Leng, berkata sekalipun syarat pinjaman kini lebih ketat, jualan kenderaan masih menunjukkan peningkatan didorong oleh kecenderungan rakyat negara ini bertukar kenderaan susulan pengenalan pelbagai model baru di pasaran.
Tawaran insentif menarik
Selain itu, pelbagai insentif yang ditawarkan syarikat kereta serta kadar faedah sewa beli kenderaan lebih rendah yang ditawarkan oleh institusi kewangan juga mendorong pengguna untuk membeli kenderaan baru.
Beliau berkata, institusi kewangan kini menawarkan kadar faedah pinjaman sewa beli kenderaan di bawah tiga peratus untuk kereta nasional berbanding melebihi empat peratus sebelum ini.
“Walaupun syarat pinjaman untuk pembelian kenderaan kini lebih ketat, jualannya masih tinggi kerana diimbangi pelbagai tawaran dan insentif yang mampu menggalakkan jualan,” katanya ketika dihubungi.
Nilai kemampuan
Garis panduan baru diperkenalkan Bank Negara mengkehendaki institusi kewangan membuat penilaian mengenai kemampuan seseorang peminjam terhadap kemudahan pembiayaan yang diambil berdasarkan nisbah hutang mereka sebelum keputusan kelulusan permohonan pinjaman kenderaan diberi.
Pengenalan garis panduan baru itu sebelum ini menimbulkan kebimbangan peserta industri automotif negara yang bimbang berlaku penurunan jualan kenderaan berikutan kesukaran pembeli mendapatkan pembiayaan.
Elak terjebak hutang
Mengulas lanjut, Yeah berkata, walaupun garis panduan baru itu agak menyukarkan pembeli untuk mendapatkan pembiayaan bagi pembelian kereta, pelaksanaannya seharusnya dipandang positif kerana boleh mengelakkan pengguna terjebak dengan masalah kewangan akibat berbelanja melebihi kemampuan kewangan mereka yang sebenar.
- BERITA HARIAN