muhyidin

Rakyat Malaysia dinasihatkan agar terus berdisiplin dalam menghadapi penularan pandemik Covid-19 bagi membendung peningkatan kes secara mendadak.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu perlu bagi mengelakkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semula.

Menurut beliau, rakyat diminta untuk terus membudayakan amalan norma-norma baharu kehidupan dalam memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

“Saya ingin mengingatkan kita semua akan kesan sekiranya kes Covid-19 meningkat dengan mendadak dan PKP terpaksa dilaksanakan semula. Akibatnya tentulah amat buruk kepada kehidupan kita dan ekonomi negara.

“Kita tidak boleh ke mana-mana dan tinggal di rumah sahaja seperti yang sedang dikuat kuasakan di Kota Setar, Kedah pada masa ini,” katanya dalam perutusan khas di sini hari ini.

Pada masa sama, Muhyiddin turut menasihatkan penduduk di negeri Sabah supaya lebih berhati-hati berikutan peningkatan kes-kes baharu Covid-19 amat ketara di negeri itu khususnya di daerah Tawau dan Lahad Datu.

“Dalam keadaan negeri Sabah sedang menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), saya ingin mengingatkan saudara dan saudari yang berada di negeri Sabah supaya sentiasa mengamalkan norma-norma baharu kehidupan dengan lebih berdisiplin.

“Kepada petugas-petugas pilihanraya, pastikan semua aktiviti kempen dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara,” ujarnya.

 Sumber : Kosmo!

0 Comments