Nabi Sulaiman dengan Kubah Ajaib

Setiap nabi dan rasul mempunyai kelebihan dan keistimewaan yang diberikan oleh Allah Taala. bagi Nabi Sulaiman a.s., Baginda mempunyai kemampuan untuk memerintah manusia, jin, haiwan, angin dan sebagainya. Kekuasaan Baginda amat hebat dan berlaku banyak peristiwa bagaimana Baginda menggunakan kelebihannya itu.

Pada suatu masa, ketika sedang berjalan-jalan memerhatikan kebesaran Allah Taala di tepi pantai, Baginda terpandang suatu benda aneh di tengah laut. Baginda terpegun melihat benda itu, lalu timbul keinginan untuk mendapatkannya. Baginda memerintahkan seorang tenteranya bernama Ashif bin Baerkhiya untuk pergi mendapatkan benda itu.

Ashif bin Baerkhiya pun segera menyelam ke dasar laut dan mencari benda aneh itu. Sedang dia mencari, tiba-tiba dia terpandang benda yang bersinar-sinar berbentuk kubah yang besar di dasar laut. Dia menghampiri kubah itu dan didapati kubah itu memang unik dan diperbuat daripada kapur putih.

Dengan kekuatan yang dimilikinya, Ashif membawa kubah itu naik ke darat dan dipersembahkan kepada Nabi Sulaiman a.s. Nabi Sulaiman terpegun melihat kubah itu dan amat teringin untuk mengetahui apa yang ada di dalamnya. Namun cita-citanya belum tertunai kerana tidak dapat membuka kubah itu.

Baginda terus memohon ke Hadrat Allah Taala, memohon supaya diberi keizinan untuk melihat apa yang terkandung di dalam kubah itu. Permohonan Baginda diperkenankan Allah, lalu terbukalah kubah itu. Nabi Sulaiman mendapati ada seorang pemuda yang sedang sujud dan memuji-muji Allah Taala di dalamnya.

"Subahanallah (Maha Suci Allah)", tiba-tiba terbit dari mulut Nabi Sulaiman apabila melihat pemuda itu. Sebutan itu telah didengari oleh si pemuda yang berada di dalam kubah, lalu dia bangun dari sujudnya dan memberi salam penghormatan kepada Nabi Sulaiman a.s.

"Siapakah saudara ini? Adakah saudara ini malaikat, manusia ataupun jin?" tanya Nabi Sulaiman. "Saya manusia biasa." Jawab pemuda itu. Tanya Nabi Sulaiman selanjutnya: "Bagaimana saudara mendapat keistimewaan ini?" Jawabnya: "Saya berbakti kepada kedua ibubapa saya."

"Bagaimana cara saudara berbakti kepada mereka?" Tanya Nabi Sulaiman lagi. Pemuda itu mula bercerita: "Saya menjaga mereka sehinggalah mereka tua. Kedua ibubapa saya sangat taat kepada Tuhan. Semenjak saya kecil hinggalah dewasa, saya dijaga dan dipelihara dengan sempurna. Mereka selalu memohon kepada Tuhan supaya saya menjadi orang yang taat kepada perintah-Nya. Ayah saya meninggal dunia pada usia tuanya dalam penjagaan saya. Ibu saya pula lemah dan sering sakit-sakit. Matanya buta dan kakinya lumpuh. Sayalah satu-satunya yang menjaga segala keperluannya, seperti membersihkan badannya dan memandikannya. Segala keperluan makan dan minumnya saya uruskan. Saya menyuap makanan dan minuman ke mulutnya sebagaimana saya disuapkannya sewaktu saya kecil. Saya selalu memohon kepada Tuhan dan ibubapa saya juga memohon agar saya dikurniakan ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup ini. Ibu saya juga memohon kepada Tuhan agar selepas kematiannya nanti saya diberi tempat khusus yang letaknya bukan dibumi dan bukan juga dilangit. Selepas kematian ibu saya, saya sering bersiar-siar di tepi pantai ini. Tiba-tiba pada suatu hari saya terjumpa kubah daripada mutiara. Saya mendekati kubah itu, dan ia terbuka sendiri seolah-olah menjemput saya masuk kedalamnya. Apabila saya masuk, kubah itu tertutup. Saya tak sedar, sama ada saya berada dibumi atau dilangit. Begitulah keadaan saya."

Nabi Sulaiman a.s. merasa kagum dengan cerita pemuda itu. Baginda ingin mengetahui lebih lanjut tentang latar belakang pemuda itu. "Saudara hidup pada zaman mana?" Tanya Nabi Sulaiman. Jawabnya: "Saya hidup pada zaman Nabi Ibrahim a.s."

Nabi Sulaiman mengira berapa usia pemuda itu. Alangkah terkejutnya Baginda kerana umur pemuda itu hampir mencecah 1400 tahun. Namun wajahnya berseri-seri, tiada uaban pada rambutnya, dan kulitnya masih tegang.

"Bagaimanakah saudara dapat merasai nikmat dan mendapat rezeki daripada Tuhan di dalam kubah ini?" tanya Nabi Sulaiman lagi. "Selepas saya berada di sini, barulah saya tahu Tuhan telah menjadikan syurga untuk saya di dalam kubah ini," jawab pemuda itu. Nabi Sulaiman bertanya lagi: "Tunjukkan pada saya syurga itu." Pemuda itu diam seketika, kemudian dia menadah tangannya memohon kepada Tuhan. Tiba-tiba suasana kubah yang gelap itu menjadi terang-benderang indah bercahaya. Terpampang pemandangan yang begitu indah di hadapan Nabi Sulaiman a.s. dan tentera-tenteranya. Sungai mengalir tenang, kebun-kebun bunga yang subur, pohon-pohon merendang, kolam madu dan susu terpancar indah. "Wahai pemuda, ini syurga! Saudara mendapat anugerah daripada Tuhan," kata Nabi Sulaiman. "Ini kurnia Tuhan kepada saya. Saya mendapat rezeki daripada pelbagai sumber dan buah-buahan beraneka rasa dan jenis. Semua makanan yang saya ingini sedia terhidang," jawab si pemuda.

Nabi Sulaiman a.s. mendengar penerangan pemuda itu dengan penuh kagum. Baginda seolah-olah tidak mahu berhenti mendengar. "Cukuplah sampai di sini. Sekarang saya harus bersembahyang bagi menghadap Tuhan," kata pemuda itu mengakhiri perbualanny.

Sesudah berbual panjang, pemuda itu mengucapkan selamat berpisah dan kembali memasuki kubah tadi. Kubah itu tertutup kembali. Akhirnya Ashif mengangkat kubah itu ke dalam laut dan meletakkannya di tempat asalnya.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url