Wanita perlu tahu hak
Allah berfirman: Sesungguhnya laki-laki dan perempuan yang muslim, laki-laki dan perempuan yang mukmin [maksud muslim di sini ialah orang-orang yang mengikuti perintah dan larangan pada lahirnya, sedang maksud orang-orang mukmin ialah orang yang membenarkan apa yang harus dibenarkan dengan hatinya], laki-laki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, laki-laki dan perempuan yang benar, laki-laki dan perempuan yang sabar, laki-laki dan perempuan yang khusyuk, laki-laki dan perempuan yang bersedekah, laki-laki dan perempuan yang berpuasa, laki-laki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, laki-laki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka keampunan dan pahala yang besar. (Al-Ahzab: 35).
Bagaimanapun, kejahilan umat sendiri terhadap hak dan kedudukan yang diberikan agama fitrah kepada wanita menyebabkan mereka sentiasa merasai diri terpinggir dan dipinggirkan.
Apa lagi dengan sikap lelaki yang tidak sensitif, melupakan tanggungjawab asas yang hakiki ke atas wanita dan kurang prihatin terhadap naluri wanita meskipun mereka memerlukan kaum Hawa dalam kehidupan seharian.
Ini ditegaskan Allah SWT dalam firman-Nya: Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka... (an-Nisaa’: 34).
Namun, sejauhmana keadilan dan hak pembelaan terhadap wanita dapat ditangani, sama ada melalui syariat agama dan undang-undang yang direkacipta bagi disesuaikan dengan kemaslahatan semasa masih menjadi persoalan.
Dalam Islam kedudukan dan hak wanita sangat jelas. Daripada menjadi tempat melepaskan hawa nafsu lelaki, Islam menaikkan kedudukan wanita pada martabat yang sangat mulia berbanding agama-agama penyembahan selain Allah SWT.
Allah menjelaskan mengenai kedudukan wanita ini dalam mafhum-Nya antara lain ialah: Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yang yatim (bilamana kamu mengahwininya), maka kahwinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi: dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kahwinilah) seorang saja atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya. (An-Nisaa’: 3).
Hak persamaan dan prinsip keadilan yang diasaskan oleh Islam berdasarkan wanita sebagai manusia tanpa mengira kedudukan, keturunan, asal usul, bangsa dan kekayaan untuk hidup di dunia dengan aman dan tenteram.
“Jika setiap orang patuh dan akur pada hak-hak asas dan keadilan yang ditetapkan oleh Islam, tidak timbul masalah tuntutan.
“Tetapi berapa ramai manusia yang tahu, faham dan mengguna hak-hak yang telah tersedia sama ada dalam agama atau undang-undang manusia dalam kehidupan,” kata Pensyarah Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Datin Noor Aziah Awal.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan syarahan akademik mengenai ‘Pembelaan Wanita melalui Undang-undang di Malaysia’ dalam Wacana Hadhari di bilik senat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor, akhir bulan lalu.
Wacana lebih sejam anjuran oleh Institut Islam Hadhari UKM itu adalah antara usaha ahli akademik universiti tersebut berkongsi dan mengenengahkan pandangan serta hasil penyelidikan mereka mengenai isu dan permasalahan awam.
Mendalami
Menurut Noor Aziah, sikap tidak ambil kisah dan enggan mendalami keilmuan khususnya agama dan perundangan menjadi punca wanita mudah terdedah dengan penindasan serta diperalatkan.
Yang menyulitkan jelas beliau, sifat semulajadi wanita yang suka memendam dan berahsia dalam kebanyakan urusan kehidupan peribadi dan kekeluargaan.
Tindakan sedemikian katanya, menyebabkan wanita mudah dan terus dimanipulasi serta di mangsai lelaki.
Sehubungan itu beliau dengan tegas mengingatkan wanita agar memberi perhatian serius terhadap hak-hak yang telah ada.
“Hak itu hanya akan terpakai dan masalah pembelaan ke atas wanita hanya terlaksana jika mereka tahu, faham dan sedia mengguna pakai setiap hak dan undang-undang yang ada,” katanya.
Kata Noor Aziah, sifat dan budaya wanita yang sanggup tanggung derita dari membuka pekung di dada dengan memendam derita sangat bahaya.
Kesannya tambah beliau, bukan hanya pada diri mereka tetapi terhadap kehidupan anak-anak dan generasi akan datang.
Corak hidup wanita yang tertekan akhirnya, kata Noor Aziah, akan membentuk budaya hidup generasi masyarakat dan negara bermasalah yang berterusan.
Menurutnya, walaupun ramai yang kurang mengambil kisah mengenai hak-hak mereka di sisi undang-undang tetapi setiap wanita khususnya, perlu tahu dan memberi perhatian mengenainya.
“Ramai wanita di negara ini perlu pembelaan melalui undang-undang. Ini merupakan tugas dan tanggungjawab kita orang yang tahu undang-undang untuk membantu dan bertindak,” ujarnya.
Ini kerana katanya, walaupun hak sama rata antara lelaki dan wanita ada diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi ia tidak dilaksanakan.
Malah kata Noor Aziah lagi, pembelaan hak wanita melalui Undang-Undang Islam juga mengalami nasib yang sama.
“Undang-undang hanya ada di atas kertas sahaja manakala hukum-hukum Islam sekadar untuk dibaca dan dirujuk tanpa perlaksanaan,” ujarnya.
Sebab itu tambah beliau, setiap individu baik wanita mahupun lelaki mesti tahu dan memahami undang-undang.
Menghindari
“Jika lelaki faham dan tahu undang-undang serta hukum hakam agama, sudah tentu mereka berusaha menghindari dari amalan yang boleh menyebabkan penganiayaan terhadap wanita.
“Bagi wanita pula, jika mereka tahu dan faham undang-undang, mudahlah untuk mendapatkan jalan keluar daripada kemelut dan tekanan kehidupan,” ujarnya.
Dalam masa yang wanita bagaimanapun tegas Noor Aziah, perlu reda dengan ketetapan agama dan undang-undang.
Misalnya beritahu beliau, mereka harus bersedia menyerahkan anak-anak untuk ditanggung dan dipelihara bekas suami, sebab menafkah dan membiayai kehidupan anak-anak adalah tanggungjawab dan tugas hakiki suami atau ayah.
“Malah ayah mertua dan adik beradik lelaki kepada bekas suami mesti dipertanggungjawabkan bagi menanggung dan meringankan beban isteri dan anak-anak yang ditinggal suami (mati atau hidup).
“Ini hukum yang ditetapkan Islam dan setiap Muslim mesti tahu serta akur dengan ketetapan tersebut,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Institut Hadhari UKM, Prof. Dr. Mohd Yusof Othman ketika mengulas wacana itu berkata, undang-undang bukan satu-satunya cara atau jalan muktamad untuk membela dan menuntut keadilan.
“Tetapi undang-undang penting dan perlu untuk mengatur kehidupan dan menyalurkan hak-hak bagi kesejahteraan umum secara saksama,” katanya.
Wacana sebegini pula menurutnya, penting dan perlu berterusan bagi mencambahkan idea dan mengembangkan keilmuan secara ilmiah di kalangan ahli akademik yang prihatin untuk membantu kesejahteraan umum.