Elak "Perang Dingin"

TIBA-tiba marah atau bermasam muka tanpa diketahui punca, antara sebab hubungan dengan pasangan berkocak.

Tidak cukup dengan itu, ada kalanya isteri mula rimas dan tidak selesa dengan suami. Puas berdehem dan berkeluh kesah namun si suami seperti tidak faham dengan reaksi sedemikian.

Apabila si suami bertanya, isteri mula semakin muncung seolah-olah ada sesuatu yang terbuku di hati. Suami sukar menelahnya biarpun usaha menegur sudah dilakukan tetapi ‘perang dingin’ bagaikan tidak berakhir di situ malah berterusan berhari-hari lamanya.

Semua ini hanya berpunca daripada suami yang lupa menghadiahkan rantai dijanjikan untuk hari ulang tahun perkahwinan mereka.

Bukan saja suami lupa membeli hadiah, malah langsung tidak ingat hari penting mereka kerana terlalu sibuk dengan urusan di pejabat.


Ikuti petua berikut untuk pasangan menilai dan mengeratkan lagi kasih sayang:



Tiba di rumah, carilah dia terlebih dulu sebelum melakukan hal lain. Pakar keluarga mengatakan, isteri yang selalu dibelai atau dipeluk akan berasa lebih tenang, bahagia dan pastinya menjamin rumah tangga lebih bertahan lama.


Ajukan pertanyaan khusus mengenai harinya dan tunjukkan keprihatinan anda mengenai apa yang dilakukannya.


Berlatih mendengar dan mengajukan pertanyaan. Anda digalakkan menjadi pendengar yang baik kerana mungkin seharian di rumah serta melayan kerenah anak-anak ada kalanya membuatkan isteri pening kepala.

Si suami boleh bertanyakan mengenai aktiviti anak-anaknya menerusi isteri. Si isteri pula tentu bangga kerana anda seorang pendengar dan ketua keluarga yang baik.


Tahan godaan untuk menyelesaikan masalahnya sebaliknya, cubalah untuk merasai situasi yang dihadapinya.


Apabila berbicara dengannya, letakkan akhbar atau matikan televisyen dan berilah perhatian penuh pada dirinya.


Berikan dia bunga-bungaan sebagai kejutan ataupun pada hari istimewanya misalnya pada ulang tahun hari lahir. Anda boleh menghubungi kedai bunga untuk menempah bunga-bungaan indah buat isteri tercinta.

Kejutan itu pasti membuatkan si isteri berasa bangga pada sikap suami yang begitu prihatin pada hari pentingnya.


Rancang aktiviti bersama, jangan menunggu hingga hari minggu untuk bertanya apa yang ingin dilakukannya.

Tugas isteri (sekiranya tidak bekerja) boleh membuat pelbagai perancangan dan cadangan kepada suami. Kebijaksanaan isteri dinilai oleh suami kerana ia membantu mengukuhkan lagi hubungan kekeluargaan.


Ketika isteri sibuk, tawarkan bantuan padanya contohnya menyediakan makan malam atau menjaga anak.

Sekiranya ada tugas melipat kain yang baru diangkat daripada jemuran, suami boleh ringan tangan untuk melakukan tugas mudah sambil menonton televisyen bersama.


Puji penampilan isteri. Mungkin isteri tidak meminta tetapi barangkali jauh di sudut hatinya begitu berharap apatah lagi jika suami tidak pernah menuturkannya.

Pujian bagaikan penawar yang sudah lama dinantikan kerana mungkin masakannya yang sedap pada hari itu atau penampilannya jauh berbeza daripada hari sebelumnya.


Hargai perasaannya jika dia marah. Barangkali apa yang diluahkan ketika dia marah itu, ada kebenarannya dan suami jangan terlalu ego untuk menilai semua perbuatannya hingga memungkinkan rasa marah itu.


Sekiranya mahu pulang lewat, telefonlah isteri dan beritahu padanya. Sifat sedemikian akan membuatkan isteri rasa lebih dihargai.


Jika perasaannya terluka, tunjukkan simpati. Ada kalanya sikap anak-anak boleh mengguris hatinya atau perbuatan si suami membuat hatinya terguris. Sebelum lebih parah, lakukan pencegahan awal.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url