Lelaki lebih dominan??
Jika difikirkan lebih mendalam, bukan gajet yang disenarai atau kuasa ekonomi dan sosial didominasi lelaki. Senario itu turut berlaku dalam perhubungan sosial lelaki dan wanita terutama dalam membuat keputusan.
Dalam institusi keluarga misalnya, kedudukan lelaki sudah pasti di tempat tertinggi. Lelaki menjadi ketua keluarga dan bertanggungjawab dalam banyak perkara. Di tempat kerja pula, lelaki dikatakan lebih cenderung dipilih sebagai ketua serta memikul tugas penting. Dalam hubungan cinta, lelaki juga dikatakan sering bertindak sebagai penentu dan pembuat keputusan.
Inikah stigma dunia lelaki? Tercabarkah ego lelaki jika sesekali wanita pula menguasai keadaan atau mungkin diberi lebih perhatian? Mungkin jika membicarakan soal ini secara intelektual, faktor keupayaan dan kelebihan diri sewajarnya menjadi penentu dalam memilih antara lelaki atau wanita sebagai ketua, misalnya di sesebuah organisasi. Namun dalam norma kehidupan harian, apakah kriteria ini boleh digunakan?
Seseorang individu, baik lelaki atau wanita dikatakan mencapai tahap dominasi apabila mereka cenderung membuat keputusan tanpa merujuk kepada pasangan. Individu ini sering bersikap diktator dalam berurusan dengan orang lain. Malah, keputusan yang dibuat pula lebih untuk kepuasan diri.
Bagaimana pula timbulnya dominasi lelaki? Dua perkara selalu diungkap sebagai faktor mempengaruhi dominasi lelaki. Pertama, tradisi dalam masyarakat yang mengangkat lelaki sebagai pemimpin keluarga. Wanita pula diajar supaya mengikut kata ketua keluarga.
Faktor kedua, sifat yang begitu sinonim dengan golongan lelaki iaitu ego. Ego lelaki dikatakan lebih tinggi daripada wanita membuatkan mereka cenderung menunjukkan 'kuasa' dalam perhubungan dengan menentukan setiap perkara perlu mengikut caranya.
Sikap ini sering mengundang konflik dan dilema dalam perhubungan lelaki dan wanita. Bagaimana pula anda menilai hubungan dengan si dia?
Hormat dan percaya asas hubungan
SEJAK dunia mengiktiraf kebolehan dan sumbangan yang dicurahkan golongan wanita, dominasi lelaki dalam segenap aspek kehidupan dilihat kian berkurangan.
Wanita yang hidup di zaman moden tidak lagi mahu hidup dalam dunia yang didominasi lelaki seperti yang dihadapi wanita zaman dulu. Golongan lelaki dominan juga tidak begitu ketara kerana rata-rata wanita lebih berdikari. Ada pendapat mendakwa lelaki pula kurang berminat kepada wanita berkerjaya dan berjawatan tinggi. Sebaliknya, lelaki lebih berminat kepada wanita yang mengagumi mereka.
Dalam situasi biasa, lelaki cenderung bersikap dominan terhadap wanita yang terlalu bergantung kepada lelaki. Berbeza jika wanita itu lebih berdikari, meletakkan diri setaraf dengan pasangannya serta boleh mengutarakan pendapat sendiri bila berbincang, pasangan mereka tidak akan bersikap terlalu dominan dan lebih bertolak-ansur.
Golongan lelaki juga ada masanya terperangkap dalam kekangan feminisme di mana tindakan mereka sama ada baik atau buruk memberi kesan kepada sensitiviti wanita. Tindakan lelaki sering ditafsirkan sebagai dominasi dan berlawanan dengan kesaksamaan jantina yang sering diperjuangkan.
Bagaimanapun, ada pendapat menyatakan keadilan atau kesaksamaan tidak wujud dalam dunia ini. Mereka yang ingin terlalu ingin untuk 'berada di atas' sentiasa berusaha ke arah itu serta mahu kekal berkuasa. Jika usaha berkenaan diiringi dengan ego yang sangat tinggi, tiada siapa yang dapat mendominasi sesiapa walau sekuat mana kuasa atau keinginan yang dimiliki.
Bagaimana untuk menghadapi pasangan yang terlalu mendominasi? Paling penting, singkirkan perasaan tidak selamat dalam perhubungan anda berdua. Pasangan akan kurang yakin dan percaya bila mereka merasakan perhubungan yang dijalinkan kurang selamat. Bila perlu, pastikan mereka tahu apa yang anda lakukan dan dengan siapa anda berurusan kerana jika anda tidak berbuat demikian, mereka akan mula mengesyaki anda.
Anda tidak perlu bersetuju dengan semua perkara. Jika ada yang tidak dipersetujui, suarakan dan bincangkan secara baik dengan pasangan anda.
Apa yang penting, bermuafakat dan saling memahami keperluan diri kunci perhubungan harmoni. Lelaki dan wanita sama memerlukan, jadi lebih baik hubungan terjalin atas rasa percaya, saling menghormati dan tidak ada siapa mahu bertindak lebih daripada pasangan sendiri.
INFO
Anda bukan pasangan dominan jika:
1) Anda boleh mengawal diri jika pasangan anda sedang berbual dengan seseorang yang berlainan jantina.
2) Anda merasakan hubungan jarak jauh boleh berjaya.
3) Anda memahami bila pasangan anda tidak mengucapkan selamat hari lahir kepada anda kerana terlalu sibuk dengan kerja.
4) Pasangan anda tidak perlu meminta kebenaran anda sebelum melakukan sesuatu tindakan.
5) Anda merasakan pasangan anda tidak perlu mengahwini anda jika ibu bapanya tidak merestui.
6) Anda faham mengenai 'tarikan jantina berlawanan'.
7) Pasangan anda juga berhak menyatakan kesalahan anda bila kesilapannya dibangkitkan.
8) Pasangan anda tidak perlu membenci sesuatu benda atau perkara yang tidak anda sukai.