Vietnam raih gelaran 'Raja Bolasepak ASEAN' tumpaskan Thailand
Gelaran 'Raja Bolasepak ASEAN' menjadi milik Vietnam apabila mereka menumbangkan juara bertahan, Thailand 5-3 secara agregat selepas aksi final kedua Piala ASEAN 2024 di Stadium Rajamangala, sebentar tadi.
Ini menyaksikan skuad 'Naga Emas' merangkul gelaran ketiga dan memenangi edisi kali ini tanpa melakar sebarang kekalahan.
Kemenangan ini turut membolehkan mereka membalas dendam selepas terlepas gelaran edisi lalu apabila mereka tewas 2-3 secara agregat di tangan lawan sama.
Pada aksi terbabit, Vietnam yang mendahului 2-1 secara agregat tidak menunggu lama untuk membuka jaringan seawal minit kelapan apabila Pham Tuan Hai menyudahkan hantaran Phan Xuan Manh.
Bagaimanapun, Ben Davis mengikat kedudukan pada minit ke-28 dan keputusan 1-1 kekal hingga tamat babak perlawanan.
Bersambung babak kedua, Thailand berjaya mendahului menerusi jaringan Supachok Sarachat pada minit ke-68 sebelum mereka beraksi dengan 10 pemain selepas Weerathep Pomphan dilayangkan kad merah pada minit ke-74.
Malang berganda buat Thailand apabila Pansa Hemviboon menjaringkan gol sendiri pada minit ke-83 sekali gus untuk Vietnam mendahului 4-3 secara agregat.
Nguyen Hai Long mematikan sisa kebangkitan Thailand apabila meledak gol ketiga Vietnam pada minit ke-20 masa tambahan separuh masa kedua untuk mereka menoktahkan kemenangan 5-3 secara agregat.
Sumber : Berita Harian