PTPTN lancar Kempen myPTPTN Anytime, Anywhere!
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melancarkan Kempen myPTPTN Anytime, Anywhere! bagi menggalakkan peminjam melaksanakan bayaran balik pinjaman secara konsisten.
Ketua Eksekutifnya, Ahmad Dasuki Abdul Majid, berkata melalui kempen yang bermula 1 Januari hingga 31 Mac ini, PTPTN turut menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM25,000 untuk 25 pemenang.
Beliau berkata, kempen terbuka kepada semua peminjam PTPTN yang menggunakan aplikasi myPTPTN dengan setiap pemenang akan menerima hadiah RM1,000 dalam bentuk bayaran balik pinjaman tabung pendidikan itu.
"Peminjam PTPTN hanya perlu membuat bayaran balik pinjaman pendidikan dengan nilai minimum RM100 dalam tempoh kempen untuk melayakkan peminjam mendapat 10 cabutan dan penyertaan adalah secara automatik.
"Selain itu, pengguna myPTPTN baharu yang mendaftar dalam tempoh kempen layak mendapat 20 cabutan," katanya melalui kenyataan, hari ini.
Ahmad Dasuki berkata, kempen turut menawarkan kategori khas istimewa buat pelanggan baharu ke 2.5 juta berjaya memuat turun dan membuat pengesahan identiti di myPTPTN.
Katanya, pemenang berpeluang memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM2,500 dalam bentuk bayaran balik pinjaman PTPTN.
"Peminjam boleh menggunakan aplikasi web myPTPTN untuk membuat rundingan bagi pelan pembayaran fleksibel iaitu penstrukturan semula bayaran balik pinjaman mengikut kemampuan kewangan mereka.
"PTPTN turut melaksanakan pendekatan proaktif iaitu inisiatif #PTPTNBolehBincang dan #PTPTNSediaBantu bagi memudahkan peminjam berurusan berkaitan pinjaman dan bayaran balik dengan menyediakan pelbagai saluran perkhidmatan yang mudah, cepat dan selamat," katanya.
Beliau berkata, kempen turut berperanan menggalakkan lebih ramai peminjam melaksanakan tanggungjawab mereka supaya kelestarian dana pendidikan dapat diteruskan untuk generasi akan datang.
Melalui kempen itu, katanya, peminjam PTPTN yang memenangi hadiah wang tunai akan menerima tambahan kewangan yang secara tidak langsung membantu mereka membayar balik pinjaman.
"PTPTN berharap kempen ini akan meningkatkan kesedaran peminjam PTPTN membuat bayaran balik secara konsisten melalui aplikasi myPTPTN.
"PTPTN sentiasa melaksanakan inisiatif bersepadu dan pendekatan mesra pelanggan untuk membantu dan memudahkan peminjam membuat bayaran balik pinjaman termasuk mengadakan pelbagai kempen," katanya.
Untuk maklumat lanjut mengenai kempen myPTPTN Anytime, Anywhere!, peminjam boleh melayari portal rasmi di www.ptptn.gov.my atau muat turun aplikasi myPTPTN untuk mendapatkan notifikasi dan perkhidmatan PTPTN pada bila-bila dan di mana sahaja dengan lebih mudah, cepat dan selamat.