Juara Akademi Nasyid


Kecacatan penglihatan tidak menghalang jejaka dari negeri selatan tanah air ini membuktikan bakat yang dianugerahkan Tuhan digunakan sebaik mungkin. Masyarakat semakin bijak menilai yang mana kaca dan yang mana permata.

Pujian yang sering diberikan juri setiap minggu tidak sedikit pun membuatkan Azhan Atan meninggi diri malah segala pujian itu dijadikan pegangan untuk dia sentiasa berhati-hati dalam matlamatnya menamatkan program Akademi Nasyid dengan sempurna.

Sepanjang menyertai program itu juga sekali pun dia tidak pernah bermimpi trofi dan wang tunai bernilai RM100,000 itu akan menjadi miliknya.

Bagaimanapun, dia yang sebelum ini hanya meminati bidang nyanyian sekadar untuk menghiburkan diri dan melapangkan dada di kala tekanan, akhirnya dinobatkan sebagai juara setelah berjaya memikat hati penonton dan juri.

Walaupun peserta lain turut memberi saingan sengit, barangkali sudah menjadi rezekinya malam pertandingan itu yang diadakan ketika seluruh rakyat Malaysia sedang sibuk menyambut merdeka dan umat Islam sedang sibuk membuat persiapan menjelang Ramadan.

"Hanya syukur kepada Tuhan mampu saya katakan apabila menerima kemenangan ini. Secara jujur saya tidak mengharapkan terlalu tinggi sehingga mencapai kemenangan ini.

"Apa yang saya lakukan sebelum ini hanyalah sekadar untuk kepuasan diri. Semuanya berlaku secara kebetulan. Dari awal lagi sebelum menghadiri sesi uji bakat saya hendak membayar pinjaman kereta dan secara kebetulan sesi uji bakat itu diadakan dekat dengan bank dan saya pun pergilah.

"Bermula dari situlah saya merasakan yang saya sebenarnya mempunyai bakat yang tidak dimiliki oleh semua orang yang senasib dengan saya," katanya.

Menceburi bidang baru dalam hidupnya adalah sesuatu yang janggal dirasainya, namun berkat sokongan dan doa isteri tercinta, Azhan berjaya menolak kekurangan yang dirasai pada dirinya.

"Isteri, anak-anak, saudara dan kawan-kawan adalah pendorong kuat semangat saya, tanpa sokongan mereka sudah tentu saya tidak akan berjaya.

"Setiap minggu pulang ke rumah selepas berakhirnya setiap episod, saya akan bersedia dengan latihan dan isteri sayalah yang akan memberi kritikan apa yang harus dilakukan dan apa yang tidak baik dilakukan semasa menyanyi.

"Apa yang ditegur itu adalah mewakili pendengar, baik katanya maka baiklah yang didengar pendengar yang mengundi saya. Jadi kemenangan ini adalah juga kemenangan kepada semua masyarakat yang menilai saya," katanya yang sentiasa ditemani isteri setiap kali konsert mingguan sehingga peringkat akhir.

Dengan kemenangan itu, Azhan membawa pulang wang tunai sebanyak RM100,000, sijil berserta hamper yang disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Mahu hantar ibu bapa ke Makkah

MENURUT Azhan, dengan kemenangan itu niatnya untuk melakukan kebajikan akan tercapai apabila wang kemenangan yang dianggap besar itu akan dibahagikan kepada yang memerlukan.

"Saya berniat untuk menghantar ibu bapa saya mengejarkan haji dengan kemenangan ini, selain lima peratusnya akan saya dermakan kepada pusat kebajikan. Selebihnya adalah bekalan untuk pendidikan anak-anak dan keperluan keluarga saya sendiri," katanya.

Sementara itu, bagi Azhan, hari ini bermulalah kerjaya baru dalam hidupnya. Katanya dia lebih selesa apabila mendapat keizinan untuk bersama semua peserta Akademi Nasyid sama-sama bekerjasama dalam memartabatkan irama ketuhanan ini.

"Jika diberi pilihan, saya lebih suka bekerja di dalam satu team iaitu semua peserta Akademi Nasyid ini diberi peluang untuk merakam album bersama. Sepanjang bersama mereka saya sudah mengenali mereka dan rasa selesa," katanya yang mendapat undangan mengadakan persembahan dari Jabatan Perdana Menteri sempena majlis berbuka puasa esok.

Akademi Nasyid musim kedua diteruskan

KEGEMILANGAN irama ketuhanan kini dilihat mampu bersemarak dengan segarnya sebaik saja penganjuran program realiti Akademi Nasyid yang diperkenalkan stesen televisyen TV9 bermula 21 Jun dan berakhir Sabtu lalu.

Ini dibuktikan dengan bermulanya sesi penyertaan uji bakat, kehadiran yang menonton setiap minggu baik di studio malah di rumah mahupun menyokong menerusi SMS peserta kegemaran mereka meningkat setiap minggu sehingga ke peringkat akhir.

Perjuangan memartabatkan irama ini harus diteruskan bukan saja peserta yang terbabit, media yang berperanan menghebahkan malah penganjur harus memastikan kualiti dipertingkatkan dari masa ke semasa.

Ketua Pegawai Operasi TV9, Bukhari Che Muda berkata, penganjuran program itu mencapai objektif utamanya iaitu menarik lebih ramai masyarakat kembali mendekati irama nasyid yang menyampaikan mesej berguna menerusi lagu ketuhanan.

"Saya merasa program realiti ini berjaya bukan saja melahirkan bakat baru dalam muzik nasyid malah menarik ramai masyarakat untuk menyaksikan peningkatan peserta setiap minggu sehingga berakhirnya program ini.

"Bermula dari awal lagi kata sudah menjangka apabila sesi uji bakat yang diadakan di seluruh negara dihadiri lebih 4,000 peserta.

"Saya yakin program ini sememangnya mempunyai pengikut yang ramai apabila merasakan mereka sentiasa mengikut perkembangan program ini dari minggu ke minggu. Dengan itu saya mengharapkan program ini akan diteruskan penganjurannya pada tahun depan dengan lebih menumpukan dan memperbaiki segala kelemahan yang dilihat kali ini," katanya pada sidang media yang diadakan sebaik saja pertandingan akhir selesai.

Pandangan finalis:

Cicik
"Saya reda dengan keputusan yang diadili juri profesional, tiada apa yang hendak dikecewakan. Sememangnya Azhan adalah yang terbaik ditabal sebagai juara musim pertama program ini. Apa yang pasti saya puas dengan persembahan saya pada malam ini dan akan meneruskan perjuangan serta minat yang mendalam saya dalam bidang nyanyian sampai bila-bila," katanya.

Aiman
"Jangkaan Azhan akan menjuarai pertandingan ini sudah diramal. Dari episod pertama lagi saya sudah melihat bakat yang luar biasa ditunjukkan Azhan sewaktu dia menyanyi. Saya juga tidak akan kecewa dengan keputusan malam ini," kata pemuda berusia 19 tahun dari Kuala Terengganu ini.

Eda Fazilah
"Saya amat berpuas dengan kemenangan yang dikecapi Azhan, sudah sememangnya dia layak bergelar juara memandangkan prestasinya setiap minggu menjadi saingan kuat buat kami semua peserta. Walaupun tewas namun saya tidak akan berhenti di sini dan berharap masih ada ruang untuk saya meneruskan perjuangan saya dalam industri nasyid ini untuk menjadikan ia sebagai satu kerjaya saya di masa akan datang," katanya.

INFO: Akademi Nasyid



Akademi Nasyid mula disiarkan pada 21 Jun lalu dengan memperkenalkan enam peserta solo dan enam peserta berkumpulan.


Bermula episod kedua, penyingkiran demi penyingkiran dilakukan bagi menyingkirkan peserta yang lemah dan memungut markah sms terendah sehinggalah episod ke lapan.


Kejutan turut dilakukan apabila penganjur turut mengumumkan lapan peserta yang tersingkir diberi peluang sekali lagi untuk menunjukkan bakat mereka dalam episod khas pada episod ke sembilan bagi menarik dua lagi peserta untuk bertanding ke peringkat akhir menjadikan enam peserta akhir semuanya.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url