Inflasi menghantui dunia
Pertumbuhan ekonomi global, perdagangan dan pelaburan dijangka bertambah baik bagi separuh kedua 2009.
Pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan kawasan euro diramal terus dikekang oleh pergolakan pasaran kewangan dan keadaan kredit yang ketat serta ketidaktentuan kesan keseluruhan krisis gadai janji subprima.
Namun begitu, krisis pasaran kewangan dijangka reda berikutan langkah dan dasar yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa berkaitan. Meskipun pertumbuhan bagi ekonomi membangun yang berkembang pesat dan negara membangun lain dijangka perlahan akibat permintaan global yang berkurangan, China dan India dijangka terus menyumbang kepada momentum pertumbuhan dunia.
Harga komoditi yang dijangka kekal tinggi akan terus menguntungkan negara membangun yang kaya dengan sumber asli.
Pertumbuhan dunia yang tinggi pada tahun ini berpunca sebahagian besarnya daripada daya tahan berterusan di kalangan negara membangun yang berkembang pesat dan negara membangun lain, terutama China dan India serta negara pengeluar minyak.
Namun, inflasi yang semakin tinggi akibat peningkatan harga barang makanan dan bahan api boleh menghakis prestasi pertumbuhan terutamanya di negara membangun.
Kuasa besar ekonomi dunia, AS yang perkembangannya banyak mempengaruhi negara-negara sejagat terus terjejas dengan masalah sektor kewangan yang telah menjejaskan ekonomi benarnya.
Sejak berlakunya, krisis gadai janji subprima pada pertengahan tahun 2007, AS telah mengambil beberapa langkah untuk membendung kesan negatif krisis sektor kewangan, termasuk memberi bantuan kewangan kepada salah satu daripada bank pelaburan terbesar dan cadangan untuk menyelamatkan dua syarikat gadai janji kewangan terbesarnya.
Negara itu juga memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi bernilai AS$168 bilion pada tahun 2008 yang merangkumi tunai dan insentif cukai bagi meningkatkan perbelanjaan pengguna dan pelaburan.
Prestasi ekonomi AS kekal pada kadar 1.8 peratus bagi suku kedua 2008, disokong oleh sumbangan positif eksport barangan dan perkhidmatan, perbelanjaan penggunaan peribadi.
Sementara itu, inflasi meningkat 3.5 peratus bagi suku kedua tahun ini disebabkan kenaikan harga tenaga dan barang makanan.
Namun, Lembaga Rizab Persekutuan telah mengekalkan kadar dana persekutuan iaitu 2.0 peratus pada bulan Ogos ini berikutan pertumbuhan ekonomi terus lembap oleh kadar pengangguran tinggi, pasaran perumahan yang semakin merosot serta harga bahan api yang tinggi. Ekonomi AS dijangka mencatat pertumbuhan lebih rendah pada kadar 1.3 peratus pada tahun 2008.
Pertumbuhan ekonomi di 15 buah negara kawasan EURO yang tidak begitu terjejas akibat krisis subprima gadai janji AS, telah mencatat pertumbuhan 1.5 peratus bagi suku kedua 2008, berbanding 2.2 peratus bagi suku pertama tahun ini.
Pengurangan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan tinggi harga komoditi yang mengekang perbelanjaan pengguna, pengukuhan mata wang euro, kos pinjaman yang lebih tinggi dan kelembapan ekonomi AS.