Sabar 'suburkan' ketakwaan insan
Manusia berketrampilan dan berinovasi sentiasa sabar menghadapi apa juga konflik sama ada dalam rumah tangga, di tempat kerja mahupun apabila difitnah orang yang buruk sangka. Allah juga bertegas bahawa sifat sabar adalah instrumen paling penting untuk setiap makhluk ciptaan-Nya menghadapi ujian yang Dia berikan demi menguji keimanan.
Sabar bermaksud hati teguh dan tidak melawan terhadap sesuatu dan lawannya ialah gelisah. Allah ada merakamkan kata-kata satu kaum yang menidakkan sabar dan berputus asa dengan rahmat Allah.
Firman-Nya yang bermaksud: "Sama saja kepada kita, sama ada kita menggelisah, mengeluh atau kita bersabar, tiadalah sebarang jalan bagi kita untuk melepaskan diri (daripada azab itu)." (Surah Ibrahim, ayat 21)
Sering kali kita diminta bersabar apabila ditimpa musibah hingga kadangkala kita sudah tidak mampu mendengar perkataan sabar apabila terlalu sering diulang oleh taulan yang tidak tahu memikirkan jalan penyelesaian masalah dihadapi.
Banyak kali pula kita meminta orang lain bersabar apabila mereka dilanda badai dalam kehidupan, ketika mereka sudah tidak ingin mendengar lagi apa yang ingin kita katakan kerana tekanan perasaan.
Menurut Dr Mohd Yusuf Al-Qardhawi, sabar adalah sebesar-besar akhlak al-Quran kerana kalimah itu sering disebut dalam kitab suci dan ia bukan saja merujuk kepada surah mengajar manusia mengenai iman tetapi juga surah yang menerangkan cara hidup manusia mukmin.
Menurut Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumud Din, ada melebihi 74 kalimah sabar dalam al-Quran. Sementara Ibnu Qayyim dalam kitabnya Madarij As Salikin, memetik daripada Iman Ahmad menerangkan sabar dalam Al-Quran disebut melebihi 94. Walau berapa pun jumlahnya, sifat sabar tetap dianggap antara sifat mahmudah yang boleh mendorong seseorang menjadi insan bertakwa.
Allah berfirman yang bermaksud: "Dan jika kamu membalas kejahatan (mereka), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti ditimpakan kepada kamu dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya demikian itu adalah lebih baik bagi orang yang sabar. Dan bersabarlah (Wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu) dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah, dan janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan." (Surah an-Nahl, ayat 126-127)
Banyak hadis Rasulullah SAW menceritakan kepada kita betapa ganjaran, kelebihan dan kebaikan yang Allah anugerahkan kepada hambanya apabila sifat ini dapat ditakluki secara sempurna. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Bersabar terhadap perkara yang dibenci itu terkandung di sana kebaikan yang banyak."
Sememangnya sifat sabar menghadapi pelbagai keadaan sudah Allah bekalkan kepada setiap hambanya terutama sabar melaksanakan ketaatan ketika beribadat kepada Allah kerana bersabar melaksanakan ketaatan kepada Allah bukan perkara enteng.
Ia hendaklah disertai sifat ikhlas dan usaha yang sungguh-sungguh. Terkadang kita rasakan mudah untuk melakukan sesuatu ketaatan. Kita boleh menunaikan solat fardu setiap hari, berpuasa di bulan Ramadan, membayar zakat, menunaikan haji dan umrah, tetapi adakah semuanya itu dilakukan dengan ikhlas?
Jika tidak, maka belum tentu kita sanggup bersabar jika ada halangan untuk menunaikan ibadat itu, seperti meninggalkan anak (dengan selamat) di tanah air untuk menunaikan haji dan umrah. Sudahnya, apabila dalam keadaan sukar, kita melalaikan kewajipan.
Nabi SAW dan sahabat contohnya, mampu ke Masjid Nabi walaupun mereka terpaksa menghadapi suasana sejuk serta panas kerana tidak mahu melepaskan peluang serta merebut pahala solat tahajud, qiamullail sehingga mereka rasa begitu sedih dan sunyi apabila waktu solat tahajud kian berakhir.
Malah, ada kalangan mereka menangis apabila waktu solat malam berakhir kerana takut tidak berkesempatan untuk beribadah esoknya. Kelazatan beribadat sudah sebati dalam jiwa dan kesabaran melaksanakan ibadat berada di kemuncak tertinggi di sisi Allah.
Seorang ahli tasawuf terkenal iaitu Imam Zakaria Al-Ansori, yang sepanjang hidup beliau dalam beribadat, tidak mahu sembahyang dengan cara duduk walaupun umur menjangkau ratusan tahun. Sehinggakan ketika sembahyang badan beliau bergoyang ke sana ke mari namun tetap tidak mahu duduk.
Apabila ditanya, beliau mengatakan ingin terus berdiri kerana nikmat dan kelazatan qiyam ketika sembahyang itu adalah sesuatu yang sangat ternilai dan beliau sabar menghadapi kepayahan kerana nikmat mengatasinya.
Sabar terhadap perkara maksiat pula agak sukar kerana memerlukan usaha bersungguh-sungguh dan paksaan yang kuat untuk meninggalkannya. Al Imam Al Habib Ibnu Alwi Al Haddad dalam membicarakan masalah itu memberikan peringatan keras supaya jangan sekali-kali cuba mengingati atau mengimbas sejarah buruk dan segala perlakuan maksiat yang dilakukan dulu.
Dosa dan maksiat adalah sesuatu yang menyeronokkan dan boleh membuatkan kita rindu. Jelas sekali perkara ini amat berbahaya jika tidak ada paksaan daripada kita untuk meninggalkan segala ingatan itu.
Dunia global tanpa bersempadan hari ini turut memberi kesan kepada kepantasan saluran ilmu dan pemikiran. Baik secara perkongsian, perbincangan mahupun sekadar penyampaian. Begitu juga fitnah yang semakin mudah disebarkan tanpa rasa takut dan bimbang terhadap tanggungan dosa yang akan dirungkai satu persatu di Padang Mahsyar.
Sebagai Muslim yang beradab, tebal dengan sifat sabar, kita hendaklah butakan mata dan pekakkan telinga dengan segala bentuk fitnah terbias kepada kita dengan harapan Allah lebih berkuasa ke atas segala sesuatu.
Ada yang cuba melawan, dikatakan mudah melatah, ada yang biarkan saja, dikatakan mungkin benar kerana tidak menghilangkan keaiban. Ada yang sanggup bersumpah, dikatakan tepat sebab berani kerana benar.
Ada yang sabar, tabah, tiada kuasa, tiada upaya kerana kemajuan memungkinkan segala-galanya. Buruk sangka, adu domba dan fitnah hanya mainan bibir orang yang lupa dan alpa, menghantar berita penuh tipu daya. Kecanggihan internet digunakan untuk merosakkan minda yang bijaksana, akhirnya umat Islam boleh porak peranda kerana hikmah dibiar saja.
Orang yang sentiasa berada di bawah peliharaan Allah tidak akan sekali-kali menyerah kalah terhadap ujian hidup yang bertimpa-timpa. Malah, mereka menganggap semuanya sebab untuk menjadikan diri mereka lebih baik daripada sebelumnya.
Justeru, orang yang sabar untuk menunaikan ibadat dan sabar meninggalkan maksiat adalah orang yang mempunyai akhlak luar biasa. Mereka inilah yang akhirnya sabar walau ditentang dan kuat walau dirintang.