Top Ad 728x90

New York tidak pernah tidur

Bandaraya New York atau nama rasmi The City of New York merupakan bandar yang cukup berpengaruh di dunia. Sebut New York semua orang tahu ia kota raya yang cukup terkenal sebagai pusat perdagangan, kewangan, budaya dan hiburan.

Malah pengaruhnya dalam keempat-empat bidang itu kepada dunia cukup besar. Dalam ekonomi misalnya jika pasaran saham New York 'demam' kesannya akan dirasai di seluruh dunia.

Begitu juga dalam bidang kebudayaan terutama fesyen dan hiburan. New York merupakan antara kota raya yang menetapkan trend dunia. Apa yang ada di sini pasti akan menjadi ikutan dan kegilaan di tempat lain.

Sebab itu ramai orang berangan-angan, bercita-cita atau menanam hasrat untuk datang di kota raya metropolitan ini.

Kota raya ini merupakan bandar raya yang paling padat di Amerika Syarikat (AS). Kawasan metropolitan New York merangkumi tiga negeri mempunyai keluasan kira-kira 17,400 kilometer persegi dengan penduduknya hampir 20 juta orang.

Apa yang sebenarnya menjadikan kota raya ini begitu hebat seolah-olah tiada tandingan? Adakah kerana ia berada di bumi AS, maka ia digembar-gemburkan sebagai terlalu hebat hingga tiada tolok bandingnya?

Walaupun dikejutkan dengan peristiwa serangan pada 11 September 2001 hingga meranapkan salah satu mercu tandanya, World Trade Centre, namun New York tetap berdiri, tetap berpengaruh dan tetap menjadi rujukan dalam apa juga bidang di dunia.

Dari segi penduduk, sebut apa saja keturunan di dunia semuanya terdapat di New York. Malah sesiapa saja boleh menjadi atau boleh berlagak sebagai warga New York atau New Yorker. Tidak ada klasifikasi yang menetapkan orang tertentu atau keturunan tertentu sahaja boleh dianggap sebagai warga New York. Itulah salah satu kelebihan kota raya ini.

Kepelbagaiannya penduduknya cukup besar dan sangat kompleks. Jika anda berjalan-jalan di kota raya ini, anda akan dianggap sebagai New Yorker. Kebolehan berbahasa Inggeris bukan keutamaan untuk menjadi warganya. Ramai penduduknya tidak fasih berbahasa Inggeris, atau jika bercakap Inggeris pun dengan pelat masing-masing. Bukan semua bercakap lancar seperti yang dilihat dalam televisyen.

Berdasar kajian pada 2005, sebanyak 170 bahasa dipertuturkan di kota raya ini dan 36 peratus daripada penduduknya dilahirkan di luar Amerika Syarikat.

Mereka ini adalah golongan imigran yang datang untuk mencuba nasib dan merebut peluang ekonomi yang begitu banyak terdapat di New York. Tradisi kehadiran golongan pendatang ini bermula pada lewat abad ke-19 dan berterusan hingga ke hari ini.

Mereka ini ada yang berjaya dan hidup senang lenang dan ada pula yang gagal serta terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan untuk hidup.

Seperti kata seorang rakan, di sini kaum pendatang diberi layanan yang sama seperti warga negara. Jika mereka ada pengetahuan, kemahiran dan rajin bekerja mereka akan 'diberi' peluang bukan sahaja untuk hidup tetapi juga untuk berjaya. Tidak ada sekatan kepada mereka yang berusaha dan berkerja keras di sini.

Sebab itu, New York yang dibuka pada tahun 1624 oleh Belanda dan pernah menjadi ibu negara AS dari tahun 1785 hingga 1790 terus berkembang seolah-olah tidak ada noktahnya.

Disebabkan polisi terbuka itu segala idea baru dalam apa juga bidang akan dibawa ke sini untuk dikembangkan.

Ia juga digelar bandar raya yang tidak pernah tidur ekoran sistem keretapi bawah tanahnya atau subway yang beroperasi 24 jam.

Sistem subwaynya yang dikendalikan oleh Pihak Berkuasa Pengangkutan Metropolitan (MTA) merupakan antara sistem pengangkutan awam yang paling berkesan di dunia. Dengan keseluruhan jaluran landasan sejauh 1,355 kilometer, ia mempunyai 468 stesen dan merupakan antara yang paling sibuk di dunia dari segi jumlah penumpang.

Sebab itu, tidak sah jika anda datang ke New York tetapi tidak mencuba sistem subwaynya. Ia mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu untuk memahami sistem yang berselirat dan bersimpang siur. Tetapi dengan jumlah penduduk yang ramai hingga jalan raya di kota raya yang berpetak dan jarak diukur berdasarkan blok ini menjadi sesak, maka subway merupakan cara yang mudah, murah dan pantas.

Manusianya juga bergerak pantas dan tidak pernah berhenti. Sama ada siang atau malam akan ada aktiviti yang menghidupkan kota raya ini.

Siren bomba, ambulans dan polis juga tidak pernah putus berbunyi. Ia seolah-olah menjadi sebahagian daripada irama New York di mana hampir setiap minit akan kedengaran.

Kombinasi semua inilah yang menghidupkan New York dan menjadikannya ia sebagai kota raya hebat yang cukup berpengaruh di dunia. Di sini lahirnya budaya baru dunia dalam semua bidang termasuk seni dan budaya. Dalam sastera dan seni visual ada Harlem Renaissance. Ekspresionis abstrak atau New York School dalam lukisan. Di sini juga lahir muzik seperti hip hop, punk, disco dan salsa selain teater broadwaynya yang terkenal.

Disebabkan kepelbagaian penduduk dan budaya, di sini juga lahir segala macam budaya dan pengaruh negatif yang dieksport hampir ke setiap pelosok dunia.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90