Pekan Batu Enam & Tepuh akan dimajukan


Kerajaan negeri Terengganu kini memberikan perhatian dalam membangunkan kawasan-kawasan berdekatan pusat bandaraya Kuala Terengganu selepas ibu negeri berkenaan dimasyhurkan sebagai sebuah bandaraya pada awal tahun ini.

Ini kerana Batu Enam dan Tepuh yang terletak kira-kira 10 kilometer dari pusat bandar Kuala Terengganu turut menerima kesan akibat pembangunan di pusat bandar seperti sering mengalami kesesakan lalu lintas pada waktu puncak.

Penduduk di sekitar bandar raya itu juga memilih kedua-dua kawasan tersebut sebagai tempat kediaman ekoran lokasinya yang berdekatan dengan pusat bandar.

Selain itu, kedudukan Pekan Batu Enam dan Tepuh yang terletak di antara laluan utama Kuala Terengganu-Kota Bharu juga menyebabkan ia perlu dibangunkan bagi meningkatkan imej Kuala Terengganu .

Lantaran itu, kerajaan negeri melalui Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) merancang untuk membangunkan kedua-dua kawasan itu sebagai pusat pertumbuhan daerah Kuala Terengganu.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim berkata, satu pelan telah dirangka bagi meningkatkan imej Pekan Batu dan Tepuh sebagai sebuah bandar yang turut melibatkan projek menaik taraf kemudahan dan infrastruktur asas.

Beliau berkata, satu kajian yang dinamakan Rancangan Kawasan Khas kini telah dijalankan melibatkan pembangunan kedua-dua kawasan tersebut sehingga 2015.

"Kita sangat berharap Tepuh dan Batu Enam akan membangun sebagai pusat pertumbuhan bagi daerah Kuala Terengganu yang pembangunannya selari dengan Kuala Terengganu sebagai sebuah bandar raya," katanya.

Beliau berkata, pelan pembangunan berkenaan melibatkan cadangan memperbaiki persimpangan 'Y' kepada persimpangan 'T' di Tepuh.

"Di Tepuh, kami juga merancang untuk menaik taraf Jalan Tepuh-Maras kepada laluan dua lorong selain menyediakan satu tapak kawasan perniagaan di Pekan Tepuh," ujarnya.

Beliau berkata, pelan itu juga merancang untuk menzonkan lot-lot di kiri dan kanan Jalan Kelantan kepada zon perniagaan.

"Rancangan ini akan membolehkan banyak kedai-kedai dan bengkel-bengkel yang terletak secara berselerak ditempatkan di satu kawasan secara tersusun," jelasnya.

Beliau menambah, tapak kolam yang ditinggalkan di Tepuh juga dirancang untuk dijadikan kawasan rekreasi air dan berfungsi sebagai Taman Tempatan.

Di Batu Enam pula, katanya, pelan itu juga mencadangkan pembinaan sebuah terminal bas dan teksi mini serta sebuah pasar baru selain menyediakan satu tapak perniagaan industri kecil dan sederhana bagi tujuan mengumpul bengkel setempat.

"Jalan utama serta jalan susur Batu Enam-Manir juga akan dibesarkan manakala Jalan Tengku Ampuan Intan Zaharah ke Gong Badak akan diluruskan dan Bulatan Batu Enam pula akan dijadikan Persimpangan Bertingkat," ujarnya.

Mat Razali berkata, pelan itu juga mencadangkan sebuah kawasan rekreasi air dan jeti turut dibangunkan di tebing Sungai Nerus.

Mengikut tinjauan, penduduk sudah lama menunggu kawasan tersebut dibangunkan selepas pemasyhuran Bandaraya Kuala Terengganu.

Seorang penduduk Kampung Batu Enam, Norliza Mohd. Yassin, 40, berkata, kawasan itu semakin sesak sejak Kuala Terengganu mengalami pelbagai pembangunan.

"Jumlah orang semakin ramai di sini berbanding kira-kira sepuluh tahun lalu dan kawasan di sini semakin sibuk terutama ketika waktu pergi dan balik kerja.

"Jalan raya akan sesak dengan kenderaan dan jalan raya yang melalui Batu Enam tidak mampu menampung jumlah kereta yang banyak ini," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Norliza yang membesar di kampung berkenaan sejak kecil berharap rancangan menaik taraf Batu Enam itu akan membawa lebih banyak pembangunan baik dari segi infrastruktur dan ekonomi penduduk setempat.

Seorang lagi penduduk kampung berkenaan, Zulkarami Salleh, 27, berkata, pembangunan yang dirancang oleh kerajaan negeri berkenaan dilihat dilaksanakan tepat pada waktunya.

"Saya berharap pembangunan yang dirancangkan ini akan turut meliputi keperluan masyarakat setempat seperti pembinaan masjid baru dan tidak membebankan kawasan penempatan yang sedia ada," ujarnya.

Mohamad Hussin, 62, juga dari Kampung Batu Enam berkata, pelan perancangan itu juga perlu mengambil kira kehidupan penduduk yang tinggal di kawasan berkenaan yang masih mengamalkan gaya hidup masyarakat kampung.

"Walaupun penaiktarafan ini dilihat akan membawa pelbagai kebaikan kepada penduduk, saya berharap rancangan pembangunan ini tidak akan mengubah gaya hidup masyarakat," katanya
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url