Top Ad 728x90

Pekerja lama atau graduan?

SENARIO industri pekerjaan yang lebih mementingkan pekerja berpengalaman berbanding graduan baru meresahkan pelbagai pihak kerana bukan saja menafikan hak memperoleh pekerjaan, malah meningkatkan kadar pengangguran.

Meskipun majikan sering diingatkan jangan pilih kasih, masing-masing mempunyai alasan tertentu.

Bagi majikan, pemilihan itu perlu bagi mengurangkan kos manakala graduan pula menganggap tidak adil kerana dinilai sebelum diberi peluang.

Polemik ini juga menggugat kredibiliti institusi pengajian tinggi (IPT) yang bertanggungjawab melahirkan graduan.

IPT dipersalahkan kerana mengeluarkan ramai graduan saban tahun tanpa memikirkan natijahnya pada industri.

Sejauh manakah kebenaran isu ini disensasikan dan benarkah industri tidak mampu menampung jumlah permintaan pekerjaan tinggi daripada kalangan graduan baru?

Ketua Jabatan Hospitaliti dan Pelancongan Management and Science University (MSU), Profesor Madya Arfah Kassim, berkata tiada bukti graduan dipinggirkan secara total berbanding pekerja berpengalaman.

Sebaliknya, ramai majikan kini memburu ramai graduan baru kerana mudah dilatih, berkemahiran tinggi, berdaya saing serta mempunyai sikap positif untuk maju dalam pekerjaan.

Menurutnya, pandangan skeptikal masyarakat yang hanya membuat penilaian melalui pandangan kasar menyebabkan timbul tanggapan itu.

"Isu graduan menganggur, majikan pilih kasih, cerewet dan berat sebelah bukan baru. Bagaimanapun, ia perlu dilihat melalui konteks luas.

"Banyak tawaran pekerjaan lebih mementingkan mereka berpengalaman, tapi majikan yang mencari graduan baru juga banyak.

"Kita juga tidak boleh menolak konteks pembangunan negara yang mengharapkan pergantungan pada sumber tenaga kerja berterusan. Ini pasti membuka peluang kepada graduan atau pelapis baru.

"Yang penting, bagaimana graduan itu cuba memasarkan keupayaan dan dirinya," katanya.

Isu graduan-majikan-IPT bukan sesuatu yang baru, malah sudah banyak dibincangkan tetapi tiada kesudahan.

Arfah tidak menafikan tindakan majikan mengambil pekerja berpengalaman boleh menjimatkan kos, tetapi graduan juga boleh melaksanakan tugasan sama jika dilatih serta diberi peluang.

Menurutnya, meskipun graduan tidak mempunyai pengalaman mantap, pengetahuan ilmu dan kemahiran diperoleh terutama menerusi latihan industri boleh membantu menepati kehendak majikan.

"IPT hari ini tidak sama seperti dulu yang mementingkan penguasaan teori semata-mata. Sistem pembelajaran kini sudah diseimbangkan dengan pelbagai latihan serta kemahiran bagi menyesuaikan kehendak pasaran kerjaya.

"Kebanyakan graduan sebelum menamatkan pengajian akan menjalani latihan industri. Ini juga diiktiraf sebagai satu latihan praktikal bagi memberi peluang menunjukkan kebolehan dan membina pengalaman," katanya.

Bagaimanapun, Arfah setuju graduan baru mengambil masa menyesuaikan diri dengan alam kerjaya, mengasah serta memperkukuhkan kemahiran.

"Aspek ini normal bagi sesiapa. Pekerja berpengalaman juga suatu ketika dulu mengalaminya, jadi tidak adil jika mengharapkan graduan ini terus cekap sebaik saja melangkah ke alam pekerjaan.

"Berikan mereka masa, latihan, teguran, tunjuk ajar serta dedahkan dengan cabaran. Saya percaya mereka cepat menguasai dan menepati sasaran majikan," katanya.

Mengulas segelintir graduan gagal menempatkan diri dalam industri kerjaya berikutan pengkhususan diambil terhad, beliau berkata, mereka jangan berpeluk tubuh atau menyalahkan pihak tertentu.

Sebaliknya, berusaha mencari satu pekerjaan yang mampu memberi pendapatan seperti menjadi usahawan.

"Sikap graduan ingin bekerja dengan kerajaan atau swasta antara faktor penyumbang pengangguran. Mereka tidak mahu menukar mentaliti menceburi bidang lain, contohnya menjadi usahawan.

"Buangkan sikap itu, sebaliknya bekerja keras dan gunakan ilmu keusahawanan dipelajari di IPT untuk cemerlang," katanya.

Mengulas sikap segelintir graduan baru tidak pandai menggunakan peluang majikan dengan baik, Arfah berkata, satu kerugian kerana mensia-siakannya.

"Pada masa ini, semua ingin merebut peluang bagi memperbaiki pencapaian atau kedudukan ekonomi. Jika graduan tidak menggunakan peluang dengan baik, mereka rugi.

"Sebagai golongan terpelajar, harus cerdik menggunakan akal dan membuat pertimbangan," katanya.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90