Top Ad 728x90

Penggunaan telefon bimbit pengaruhi perlakuan sosial remaja

Samaada anda sedar atau tidak, penggunaan telefon bimbit sebenarnya membawa kesan dari segi psikologi dan komunikasi terutama di kalangan remaja dan jika tiada usaha dilakukan untuk mengatasinya, dibimbangi menimbulkan suasana lebih buruk, khususnya generasi masa depan.

Pensyarah Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Haslinda Abdullah, berkata telefon bimbit adalah satu alat yang terbuka untuk komunikasi dan sukar bagi sesiapa menghalang perlakuan yang terhasil melaluinya.

Katanya, telefon bimbit boleh menyebabkan seseorang bersikap agresif seperti bergaduh, malah lebih serius merakam pelakuan lucah lalu menyebarkannya sama ada untuk suka-suka atau ugutan.

“Sebelum kewujudan telefon bimbit, ahli keluarga dan masyarakat berperanan mengawal perlakuan remaja, khususnya perbuatan negatif. Namun dengan kecanggihan teknologi kini, mereka terdedah kepada perbuatan kurang bermoral termasuk menerusi alat komunikasi berkenaan.

Haslinda berkata, merujuk teori sosial, remaja mudah terikut-ikut dengan persekitaran, mereka mempunyai perasaan ingin melakukan perkara yang dilihat yang akhirnya menjadi kebiasaan.

Misalnya, remaja kini terdedah kepada gambar atau rakaman video lucah yang akhirnya mendorong mereka melakukan perbuatan yang dilihat itu.

“Golongan remaja juga lebih mementingkan hiburan berbanding aspek lain seperti kematangan fikiran, perancangan, pemahaman dan pengurusan, sekali gus membantu mereka terpengaruh dengan budaya kurang sihat yang berlaku di sekeliling mereka,” katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.

Haslinda berkata, selain implikasi terhadap sikap atau tingkah laku, penggunaan telefon bimbit juga mempengaruhi cara berkomunikasi serta perlakuan sosial remaja, sekali gus membantutkan perkembangan intelek diri.

“Semasa menggunakan SMS atau berbual menerusi telefon, remaja berasa lebih yakin apabila bertutur, namun apabila bersemuka mereka menghadapi masalah berkomunikasi.

Katanya, beliau menafikan penggunaan telefon bimbit lebih menjurus kepada perkara negatif, malah terdapat banyak kes jenayah dapat diselesaikan menerusi alat komunikasi itu.

“Dalam hal ini, bebanan tidak seharusnya dipertanggungjawabkan kepada kerajaan sebaliknya semua pihak termasuk guru, ibu bapa dan masyarakat wajar memainkan berperanan mengawasi penggunaan telefon bimbit secara melampau.

“Jika ibu bapa mahu memberikan kemudahan telefon bimbit kepada anak mereka, tunggu sehingga mereka matang dan boleh berfikir mengenai kebaikannya,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara, Prof Madya Dr Baharuddin Aziz, berkata banyak kebaikan yang diperoleh menerusi penggunaan telefon bimbit.

Katanya, seseorang itu boleh menggunakannya untuk berkomunikasi, sebagai alat berhibur seperti ‘mobile TV’, malah sesetengah telefon bimbit pintar yang mempunyai 3G mampu memuatkan internet serta blog di dalamnya.

“Pengguna boleh memantau blog atau perniagaan menerusi internet dan memperoleh faedah daripadanya.

“Bagaimanapun, pelajar lebih cenderung menggunakannya untuk tujuan lain, misalnya menghantar SMS semasa kuliah dan memuatkan ‘nota penting’ untuk dirujuk sewaktu peperiksaan.

“Ini adalah antara perkembangan tidak sihat dan menunjukkan kurang rasa hormat terhadap kuliah serta pensyarah sendiri,” katanya.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90