Top Ad 728x90

Perbezaan batu karang dan prostat

Apakah perbezaan antara batu karang dan prostat? Adakah ia sama atau berlainan? Jika seseorang menghidap masalah prostat apakah pembedahan dapat menghilangkan gejala ini?

Kehadiran batu karang dalam sistem urinari dan pembesaran kelenjar prostat adalah dua masalah berbeza. Batu karang boleh terbentuk dalam buah pinggang, saluran ureter dan pundi kencing.

Namun begitu, kehadiran batu karang dalam pundi kencing boleh berpunca dari pembesaran kelenjar prostat. Batu karang boleh dihadapi semua peringkat umur tanpa mengambil kira jantina. Manakala pembesaran kelenjar prostat hanya berlaku pada kaum lelaki yang berumur lebih dari 50 tahun.

Di antara tanda penyakit batu karang adalah sakit di bahagian pinggang, kencing berdarah, kerap mendapat jangkitan kuman dalam air kencing dan kencing pedih serta tidak lawas jika batu karang ada dalam pundi kencing. Ada juga pesakit merasa kehadiran pasir atau batu kecil dalam air kencing semasa proses membuang air kecil.

Jika seseorang lelaki mengidap masalah pembesaran kelenjar prostat, tanda-tandanya adalah seperti berikut:

Aliran kencing perlahan.


Terpaksa menunggu lama untuk air kencing keluar.


Terpaksa meneran untuk mengeluarkan air kencing.


Air kencing masih menitik walaupun selepas habis kencing.


Perasaan tidak puas selepas membuang air kecil.


Kerap ke tandas untuk membuang air kecil.


Tidak dapat menahan air kencing di mana pesakit terpaksa bergegas ke tandas apabila terasa hendak kencing.


Bangun untuk membuang air kecil pada waktu malam.


Dalam sesetengah kes, berlaku kebocoran air kencing dan saluran kencing tersumbat yang menyebabkan pesakit langsung tidak boleh membuang air kecil hingga tiub

kencing terpaksa dimasukkan dalam pundi kencing.

Tidak semestinya masalah pembesaran kelenjar prostat dirawat dengan mengunakan kaedah pembedahan. Ada dua jenis ubat yang boleh diberi untuk merawat masalah ini. Ubatan dari jenis alpha -1 blocker akan memulihkan aliran kencing dengan cara merehatkan otot pundi kencing dan di sekitar kelenjar prostat.

Antara ubat yang ada di pasaran adalah Alflusozin (Xatral), Doxazosin (Cardura) dan Terazosin (Hytrin). Kumpulan kedua adalah kumpulan 5 alpha reductase inhibitor di mana ubat dari kumpulan ini boleh mengecilkan kelenjar prostat. Ubat dari kumpulan ini perlu diambil untuk jangka masa panjang sebelum kesannya dapat dirasai.

Contoh ubatan dari kumpulan 5 alpha reductase inhibitor adalah Finasteride (Proscar) dan Dutasteride (Avodart). Kedua-dua kumpulan ubat ini hanya boleh diberi oleh doktor dan pakar saja dan tidak boleh dibeli di farmasi tanpa preskipsi.

Pembedahan untuk meluaskan saluran kencing hanya akan dilakukan dalam kes kes yang tidak boleh dirawat menggunakan ubat. Pembedahan yang sering dilakukan adalah dikenali sebagai transurethral resection of the prostate (TURP).

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90