Elak pandu perlahan di lorong laju
Kini, pemandu perlu menerima hakikat bahawa terdapat lebih sembilan juta pemegang lesen kenderaan di negara ini dan angka berkenaan pasti bertambah setiap hari selari dengan pertambahan kenderaan di jalan raya.
Walaupun secara amnya, semua pemegang lesen kenderaan lulus dalam sesi ujian memandu yang dikuatkuasakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), namun masih terdapat ramai pemandu 'belum lulus' ketika memandu tanpa kehadiran penguat kuasa JPJ di sebelahnya ketika di jalan raya.
Pelbagai kesalahan yang mungkin dianggap remeh dan bukan dipelajari di kelas memandu berdaftar, masih lagi berleluasa.
Kesalahan remah inilah sebenarnya membuatkan hati dan perasaan pengguna lain 'bengkak' dan geram setiap kali berada di jalan raya.
Antara kesalahan atau 'penyakit' yang kerap dilakukan pemandu di negara ini khususnya membabitkan pemandu baru ialah memandu perlahan di lorong laju.
Ini boleh dibuktikan setiap hari jika kita menyusuri laluan tiga lorong, lebuh raya mahupun jalan dua lorong.
Dengan kelajuan 65 kilometer sejam (km/j) pada laluan had laju sepatutnya ditetapkan 80 km sejam, pemandu seumpama ini hanya memandang ke hadapan tanpa sedikitpun menjenguk cermin belakang untuk melihat deretan kereta yang beratur mengekorinya di laluan paling kanan itu.
Ini adalah kesalahan asas pemanduan tetapi bagi pemandu seperti ini, mereka seronok kerana melihat laluannya di lorong paling kanan itu lengang tanpa sebarang halangan, sekali gus menganggap perjalanannya begitu selesa dan menyeronokkan.
Jika nasibnya kurang baik, pemandu terbabit mungkin dihon oleh pemandu yang mengekorinya tetapi dalam kebanyakan kes, mereka tetap berdegil.
Bagaimanapun, masih ada dikalangan pemandu yang prihatin dan memberi laluan apabila melihat kenderaan di belakang meluru pantas atau menyedari dirinya memandu terlalu perlahan di lorong yang salah.
Tiga kereta bergerak perlahan secara selari di laluan tiga lorong dengan pemandu kenderaan paling hadapan memandu ‘seperti tiada apa berlaku’ dan melihat kenderaan di kirinya memandu lebih laju sudah menjadi kebiasaan.
Pemandu perlu mengubah sikap mereka supaya lebih berdisiplin dan menanam arahan iaitu lorong paling kanan hanya untuk memotong dan sekiranya tidak memotong, pandulah kenderaan di lorong kiri atau tengah.
Paling mengecewakan apabila pemandu yang memandu perlahan dan kadangkala seperti pemandu mabuk sebenarnya sedang memanfaatkan kecanggihan sistem telekomunikasi apabila bergayut di telefon bimbit ketika sedang memandu.
Kita mungkin pernah tertanya-tanya, mengapa kenderaan di hadapan agak perlahan atau ke kiri dan kanan, tetapi selepas diteliti, kita mendapati tangan kirinya di stering manakala tangan kanan memegang telefon yang ditekapkan ke telinganya.
Tidakkah mereka terfikir perbuatan seumpama itu mengganggu kelancaran trafik selain memberi kesan kepada penunggang motosikal yang tidak bersalah.
Ini kerana, kebanyakan pemandu yang asyik bergayut bersama telefon bimbitnya sentiasa leka dan tidak akan memberikan isyarat ketika mahu mengubah haluan atau membelok dan perkara ini boleh menyebabkan kemalangan kepada penunggang motosikal.
Bayangkan mereka (penunggang motosikal) terpaksa mengelak lalu terjatuh dan pada masa itu, sebuah kenderaan atau lori tidak sempat mengelak penunggang berkenaan.
Adakah pemandu yang leka berbual di telefon bimbit itu sanggup bertanggungjawab?
Ada beberapa lagi kesalahan pemanduan asas yang sering dilakukan pemandu di negara ini dan semua kesalahan itu boleh mencetuskan perasaan berang pemandu lain mahupun mengundang kecelakaan.
Bertambahnya jumlah pemegang lesen dan kenderaan di jalan raya turut meningkatnya penyakit yang seumpama barah di kalangan pemandu negara kita kini.
Sebagai pemandu yang berhemah di jalan raya, elakkan diri daripada memandu dalam keadaan yang berbahaya dan menyusahkan pengguna lain kerana jalan raya adalah kemudahan yang perlu dikongsi bersama.