Tiada keperluan tukar MyKad baharu serta-merta 1 Jun in

 




Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan tiada keperluan rakyat negara ini menukar MyKad masing-masing apabila MyKad baharu diperkenalkan mulai 1 Jun ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata undang-undang hanya mewajibkan setiap warganegara memiliki MyKad apabila mencapai usia 12 tahun, namun tidak menetapkan semua pemegang MyKad sedia ada perlu menukar kad mereka secara serentak.

Beliau berkata, pengenalan MyKad generasi baharu itu bertujuan memperkukuh aspek keselamatan dokumen pengenalan diri negara melalui penambahan ciri keselamatan terkini.

"Sekarang ada lebih 20 juta rakyat Malaysia yang mempunyai MyKad. Jadi saya minta jangan berpusu-pusu pada 1 Jun pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk tukar.

Ambil masa sedikit," katanya selepas meninjau kemajuan projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Stesen Bukit Cagar, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pengenalan MyKad baharu yang dijadual diperkenalkan bermula bulan depan.

Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Badrul Hisham Alias, sebelum ini berkata, MyKad baharu akan dilengkapi 53 ciri keselamatan berbanding hanya 23 ciri pada MyKad sedia ada, termasuk turihan laser, ultraungu, hologram, guilloche, teks mikro dan kod respons pantas (QR) bagi penguatkuasaan serta cip dengan tahap enkripsi dipertingkatkan.


Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url