Pintar Cerdas

Pintar cerdas bukan sahaja terdiri daripada mereka yang mempunyai kaitan dengan pencapaian akademik yang tinggi seperti kebolehan dalam matematik atau bidang akademik yang lain tetapi meliputi bidang kepintaran yang lain seperti dalam Teori Kecerdasan Pelbagai Howard Gardner.

Dalam Teori Kecerdasan Pelbagai Gardner telah mengemukakan lapan jenis kecerdasan iaitu kecerdasan logik-matematik, kecerdasan bahasa/linguistik, kecerdasan muzik, kecerdasan spatial/ visual / ruang, kecerdasan kinestetik/ sukan, kecerdasan interpersonal, kecerdasan intrapersonal dan akhir sekali ialah kecerdasan naturalis.

Orang yang mempunyai kecerdasan logik-matematik mahir memanipulasikan nombor dan pengiraan. Mereka berkeupayaan menyatakan secara deduktif atau induktif dan mengenalpasti serta mampu menggunakan corak-corak abstrak. Mereka juga akan menganalisa komponen-komponen masalah sebelum menyelesaikannya secara sistematik. Ciri-ciri pelajar yang mempunyai kecerdasan logik-matematik ialah mereka dapat menyelesaikan masalah matematik dengan cepat, suka menggunakan komputer, bermain catur, checker dan permainan yang memerlukan strategi. Mereka juga memberi sebab kepada sesuatu peristiwa secara logik dan melakukan eksperimen kepada perkara yang tidak difahami.

Kecerdasan bahasa / linguistik merangkumi pembacaan, penulisan dan perbualan dalam bahasa sendiri atau asing. Kecerdasan ini tidak berkisar kepada menghasilkan bahan bahasa tetapi perbezaan, susunan dan ritma perkataan. Mereka juga berkebolehan dalam berpuisi, bercerita dan mudah mempelajari bahasa lain. Pelajar yang mempunyai kecerdasan ini mempunyai ciri seperti suka menulis, suka bercerita, mengeja perkataan dengan mudah dan tepat, mempunyai ingatan yang baik pada nama, tempat, tarikh atau lirik, suka membaca buka di masa lapang dan suka kepada permainan bahasa seperti teka silang kata.

Kecerdasan muzik melibatkan kepekaan kepada nada, rentak dan bunyi dan bergerak balas kepada elemen yang melibatkan perasaan. Pelajar yang mempunyai kecerdasan ini boleh bermain alat muzik, mudah mengingati melodi lagu, noleh mengenalpasti nota muzik, memerlukan muzik ketika belajar, mempunayi koleksi kaset dan CD lagu serta suka menyanyikan lagu kepada diri sendiri.

Mereka yang mempunyai kecerdasan visual mempunyai keupayaan untuk menghasilkan ruang pandangan dunia yang dipindahkan ke dalam imej mental. Bagi pelajar yang mempunyai kecerdasan ini mempunyai sifat suka “dream day”, menyukai permainan ‘puzzle’, teka kata atau sambung lego. Mereka juga menyukai carta, rajah dan menonton filem. Selain itu, mereka mudah mentafsir dan memahami peta, carta atau gambarajah. Mereka juga suka melukis, meluangkan masa untuk aktiviti seni, di samping melaporkan dengan jelas tentang imej visual apabila berfikir tentang sesuatu.

Kecerdasan kinestetik/ sukan melibatkan penggunaan tubuh untuk menyelesaikan masalah, mencipta sesuatu serta menyatakan idea dan perasaan. Antara ciri pelajar yang mempunyai kecerdasan ini ialah berjaya dalam bidang sukan, tidak boleh duduk diam di atas kerusi, menyukai aktiviti yang mencabar, perlu menyentuh orang apabila bercakap dan boleh mendemostrasikan kemahiran dalam bidang kraftangan, pertukangan kayu atau menjahit. Mereka juga bijak meniru mimik muka atau tingkah laku orang lain dan gemar terlibat dalam aktiviti fizikal seperti berenang dan sebagainya.

Kecerdasan interpersonal ialah keupayaan untuk memahami niat orang lain dan mengenalpasti matlamat pendorong orang lain untuk bekerja. Antara sifat pelajar yang mempunyai kecerdasan ini ialah mereka mempunyai ramai kawan, boleh berempati dan memahami perasaan orang lain. Mereka juga menyukai permainan berkumpulan dengan rakan-rakan. Mereka juga sering menyertai aktiviti-aktiviti kumpulan selepas waktu persekolahan dan mereka bijak bersosialisasi di sekolah ataupun masyarakat.

Mereka yang mempunyai kecerdasan intrapersonal mempunyai pengetahuan tentang diri sendiri yang melibatkan perasan, niat dan matlamat hidup. Bagi pelajar kecerdasan ini mereka mempunyai sifat seperti mempamerkan kebolehan untuk berdikari, memberi reaksi dengan pendapat bernas kepada sesuatu tajuk kontroversi. Mereka juga mempunyai rasa keyakinan diri yang tinggi dan mahu menjalani kehidupan yang “privacy”. Mereka turut suka bersendirian dalam mengejar matlamat, hobi atau projek.

Kecerdasan naturalis pula ialah mereka yang mencintai alam semulajadi. Mereka mudah mengenal dan mengingati nama tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Mereka juga gemar meneroka hutan atau memelihara haiwan. Sifat pelajar kecerdasan ini ialah suka mengumpul spesis haiwan seperti rama-rama atau koleksi siput. Selain itu, mereka boleh mengenalpasti nama tumbuhan dan haiwan dengan cepat, gemar memeliharan haiwan dan gemar menanam pokok atau pokok hiasan serta membuat pehiasan menggunakan bahan alam semulajadi.

Memandangkan Malaysia belum berkembang dalam bidang pintar cerdas ini maka hanya pintar cerdas dalam bidang akademik sahaja yang ditonjolkan antaranya Adi Putra dan Sufiah.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url