Semua laluan masuk ke ibu kota sesak teruk
Perjalanan pulang warga kota selepas berhari raya di kampung mengakibatkan kesesakan luar biasa di semua laluan masuk ke ibu negara petang semalam.
Kesesakan bermula petang kelmarin juga menyebabkan kenderaan di kebanyakan laluan hanya dapat bergerak pada kelajuan 20 hingga 30 kilometer sejam.
Malah, kemasukan serentak ratusan ribu kenderaan dari Utara, Selatan dan Timur juga menyebabkan beberapa jalan utama di ibu kota sesak teruk.
Di Lebuh Raya Karak kesesakan berlaku sehingga 10 kilometer bermula dari Plaza Tol Bentong sehingga Karak.
Warga kota, Zarina Mohamad, 35, mengharungi perjalanan tujuh jam berbanding tempoh biasa empat jam dari Kuala Lipis ke Gombak.
"Saya memulakan perjalanan jam 1 petang pulang ke Ampang dan tiba di Tol Gombak tujuh jam kemudian. Ia berikutan kesesakan di Tol Bentong sehingga Karak," katanya ketika ditemui di Plaza Tol Gombak, petang semalam.
Mohamad Amirudin Rosli, 20, yang bertolak jam 8 pagi dari Kuala Krai, Kelantan terpaksa mengharungi perjalanan selama 12 jam untuk sampai ke Plaza Tol Gombak berbanding hanya lapan jam ketika waktu biasa.
"Keadaan ini sudah biasa saya lalui, cuma tahun ini kesesakan yang berlaku agak luar biasa," katanya.
Aswadi Mansor, 31, pula yang memulakan perjalanan jam 3.30 petang dari Temerloh tiba di Plaza Tol Gombak empat jam kemudian berbanding tempoh biasa dua jam.
Tinjauan mendapati keengganan orang ramai mematuhi arahan pihak berkuasa supaya tidak menggunakan Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menyebabkan kesesakan sepanjang lapan kilometer di laluan itu.
Akibat daripadanya, semua jalan yang menghubungi MRR2 di sini turut mengalami kesesakan.
Sementara itu, Penolong Kanan Pusat Kawalan Plus Expressway Berhad (Plus), Noramin Md Taib, berkata kebanyakan pengguna lebuh raya tidak merancang perjalanan mereka hingga menyebabkan terlalu banyak kenderaan memasuki jalan pada masa sama.
"Kelmarin, kesesakan yang dialami pengguna dari semua hala berlarutan sehingga jam 4 pagi (semalam) dan ia dijangka berlanjutan sehingga jam 12 tengah malam ini (tadi)," katanya.
Beliau berkata, antara laluan yang mengalami kesesakan teruk ialah dari Ipoh Ke Kuala Lumpur di susur masuk Tapah, laluan Bidor ke Sungkai, laluan Changkat Jering ke Kuala Kangsar (Perak) dan Plaza Tol Juru (Pulau Pinang) di Utara, selain laluan Senawang ke Seremban di Selatan).
Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner II Abdul Aziz Yosof, berkata polis terpaksa menambah lorong daripada tiga kepada empat dari Utara ke Selatan bagi mengurangkan kesesakan.