Dua Taska Hadhari di setiap DUN Terengganu
Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat berkata, melalui penubuhan taska berkenaan, kerajaan negeri ingin memastikan hasrat untuk melahirkan generasi ulul albab berjaya dicapai.
Justeru, katanya, kerajaan negeri mengambil pendekatan memulakan program melibatkan kanak-kanak berusia seawal tiga tahun bagi memastikan perkembangan yang diinginkan.
''Sebelum ini, kerajaan negeri memberi penekanan kepada pembacaan dan hafazan al-Quran di kalangan kanak-kanak dalam permulaan program Ulul Albab.
''Kini, dengan adanya program hafazan 23 surah lazim akan memudahkan kanak-kanak memulakan program pembacaan dan hafazan al-Quran," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Khazan berkata, setakat ini, sebanyak 43 buah taska berkenaan telah ditubuhkan di seluruh negeri ini sejak tahun lepas.
''Kerajaan negeri merancang untuk membina lapan lagi taska berkenaan dalam usaha merealisasikan hasrat melahirkan lebih ramai kanak-kanak yang mampu menghafaz surah-surah lazim berkenaan," ujarnya.
Beliau memberitahu, setiap satu taska baru berkenaan akan dibina melibatkan kos antara RM200,000 hingga RM600,000 kerana kerajaan negeri ingin membina sebuah taska yang mempunyai kelengkapan yang cukup seperti taman penjagaan kanak-kanak.
''Taska berkenaan yang diselia oleh Yayasan Pembangunan Kuala Terengganu (YPKT) sebelum ini ditubuhkan di rumah-rumah kedai," katanya.
Beliau berkata, setakat ini, taska berkenaan berjaya melahirkan seramai 455 kanak-kanak berusia tiga dan empat tahun yang mampu menghafaz 23 surah lazim.
