Hormati Keputusan Pengharaman Yoga

Selepas pengharaman pengkid, Sabtu lalu Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan pula satu keputusan yang mengharamkan umat Islam mengamalkan senaman yoga.

Bagi segelintir pengamal senaman ini yang terdiri daripada golongan wanita Islam, ada yang menerimanya dengan sikap berbelah-bahagi.

Bagi mereka senaman itu hanya untuk kepentingan kesihatan dan mereka percaya tidak mungkin terjerumus kepada pengaruh agama bukan Islam.

Walau apa pun hujah dan alasan yang boleh diberikan oleh sesiapa sahaja, tetapi keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan telah dibuat.

Kita sebagai umat Islam yang jahil tentang hukum hakam ini usah berlagak pandai untuk mempertikaikan keputusan pengharaman tersebut. Kita perlu mendengar serta berfikir secara rasional dan berdasarkan syariat.

Keputusan mengharamkan umat Islam daripada mengamalkan yoga itu kerana dibimbangi akan menghakis akidah jika pengamalnya meneruskan amalan itu ke peringkat lebih tinggi. Kita juga perlu sedar bahawa kebanyakan jurulatih yoga yang bertauliah terdiri daripada bukan Islam.

Daripada gerakan fizikal, melalui bacaan mentera dan matlamat penyatuan diri dengan alam atau Tuhan, ia sudah cukup membuktikan amalan senaman yoga sedemikian adalah bertentangan dengan syariat Islam.

Walaupun senaman yoga dikatakan amalan penjagaan kesihatan yang terbaik tetapi ia tidak sesuai untuk umat Islam kerana perbuatannya boleh merosakkan akidah.

Oleh itu, umat Islam yang telah dan belum menyertai kelas yoga adalah lebih baik mengikuti nasihat Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin.

Kita harus berhati-hati kerana amalan fizikal yoga itu hanya peringkat pertama, kita tidak tahu ilmu yoga itu ke mana matlamat akhirnya dan ini mungkin boleh membawa kepada kesesatan.

Ingat pesanan golongan alim ulama bahawa dalam Islam terdapat tiga elemen yang boleh menjejaskan akidah iaitu keyakinan hati, pengakuan dengan lidah dan perbuatan. Jadi fikirkan apa yang dilakukan semasa beryoga.

Dalam pada itu, kita minta golongan bukan Islam tidak perlu risau atau khuatir dengan keputusan pengharaman yoga kepada umat Islam di negara ini.

Keputusan yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan hanya bertujuan untuk menjaga kepentingan dan akidah umat Islam.

Ia selaras dengan definisi fatwa. Daripada segi bahasa fatwa itu bermaksud memberi jawapan atau penjelasan bagi sesuatu masalah agama.

Kini kekeliruan tentang amalan senaman yoga itu boleh dilakukan atau tidak oleh masyarakat Islam neghara ini sudah diberi jawapannya.

Kini semua umat Islam di negara ini harus mematuhinya agar kita tidak tersesat dan terjejas akidah.

Di samping itu kita minta mana-mana pihak atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk yang bukan Islam tidak bertindak keterlaluan dalam menyuarakan sebarang pandangan yang menyentuh mengenai isu ini.

Yoga hanya haram bagi umat Islam sahaja.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url