Perebutan kuasa, saling membenci punca perpecahan Islam

Apabila kita memilih pemimpin pada sebarang peringkat, tentu kita pilih terbaik di kalangan mereka. Pemimpin yang baik tidak suka menabur janji. Malangnya, realiti hari ini setengah pemimpin yang ingin memenangi hati pengikutnya sanggup memberi pelbagai janji. Adat pertandingan tentu ada menang dan kalah. Calon menang patut mengotakan janji kerana jika tidak, mereka dianggap munafik.

Inilah masalah besar yang dihadapi sebilangan pemimpin hari ini yang menabur janji di mana saja untuk memenangi hati pengikut sedangkan hakikatnya, menepati janji memang tidak semudah mengucapkannya. Ungkapan bahasa Arab menyatakan 'janji adalah hutang'. Justeru, kita wajib menunaikannya.

Hadis riwayat Imam Ahmad, Ibnu Hibban, Al Hakim dan Bahihaqi dalam kitab As-Si'ib, daripada Ubaidah Ibnu Shamit, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Berikan kepadaku enam jaminan nescaya aku jamin kamu dapat meraih syurga iaitu jujur kamu jika berbicara, tepati jika kamu berjanji, tunaikan jika kamu diberi amanah, pelihara kehormatan kamu, tutup pandangan kamu dan tahan tangan kamu."

Sayang sekali, di kalangan pemimpin kita hari ini apabila terpilih menjadi ketua, janji hanya tinggal janji. Mereka tidak serius untuk memenuhinya, malah mengabaikannya. Pelbagai alasan diberikan semata-mata tidak mahu mengotakan janji.

Apakah tidak munafik golongan seperti dinyatakan di atas. Dijelaskan al-Quran tanda orang munafik iaitu kalau berbicara ia berdusta, jika berjanji ia mengingkari dan bersikap sombong.

Demikian juga hadis diriwayatkan Bukhari menjelaskan lima tanda menunjukkan sifat munafik iaitu apabila berbicara ia berdusta, apabila berjanji ia mungkir, apabila diberi amanah ia khianat, apabila berikrar (dengan sumpah) ia mengabaikan, apabila bersengketa ia tidak mahu berdamai.

Seseorang bersifat satu daripadanya atau semua, menurut ulama ia sudah berperangai orang munafik. Penyair ternama sezaman Khalifah Umar Abdul Aziz, Dukain Ibnu Saad Ad-Darimi, meriwayatkan: Khalifah Umaiyah yang adil, alim dan sederhana.

Dikatakan Khalifah Umar pernah berjanji kepadanya. Jika ia berjaya mencapai cita-citanya iaitu daripada kedudukannya sebagai gabenor kepada kedudukan lebih baik, Umar berjanji memberi hadiah kepada Dukain.

Kata ini bersaksikan dua orang. Akhirnya Umar dilantik menjadi khalifah Kerajaan Umaiyah. Dukain pun mengunjungi Umar bagi tujuan menagih janji itu.

Umar berkata kepada Dukain: "Sekarang aku mendapat jawatan tertinggi di dunia iaitu sebuah kerajaan. Justeru, hatiku menginginkan sesuatu tertinggi di akhirat iaitu syurga dan keredaan Allah. Apabila raja menggunakan kerajaannya sebagai jalan mencapai kehormatan di akhirat."

Beliau selanjutnya mengatakan: "Wahai Dukain, aku tidak pernah menggelapkan harta kaum Muslimin walau satu dinar pun sejak berkuasa. Yang kumilik tidak lebih seribu dirham. Engkau boleh mengambil sebahagiannya dan tinggal sebahagian untukku. Ku ambil apa yang diberikannya untukku. Demi Allah belum pernah aku melihat wang begitu berkat seperti ini."

Dalam aspek manapun, Islam melarang umatnya menjadi pak turut malah, tidak memberi laluan kepada mereka menjadi pemimpin. Sebaliknya, Islam menghormati mereka yang mempunyai prinsip dan pendirian.

Dalam kata lain, Islam menyanjung tinggi mereka yang suka berkata benar, semangat juang tinggi, tidak gentar menghadapi sesiapa pun, tidak berpura-pura atau tawar-menawar dalam menegakkan kebenaran dan keadilan Ilahi.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Jangan ada di antara kau yang menjadi 'ima'ah' yang suka berkata: "Aku bergantung kepada orang lain, kalau mereka baik, aku baik dan kalau mereka buruk aku pun buruk. Sebaliknya hendaklah kamu membiasakan diri berkelakuan baik apabila orang lain berkelakuan buruk dan hendaklah kamu jauhi perlakuan buruk mereka."

Islam menolak pemimpin yang tidak tetap perjanjian. Masyarakat Islam harus mengenali pemimpin seperti itu dan mengambil pengajaran daripada sejarah perjanjian Islam dengan Yahudi bani Quraidah.

Yahudi mengkhianati perjanjian perdamaian dengan kaum Muslimin. Mereka bergabung dengan musyrikin yang sedang mengepung orang Islam.

Kita harus mengikut kaedah perjuangan diwarisi umat Islam terdahulu iaitu iman dan keyakinan teguh terhadap kemenangan yang dijanjikan Allah.

Kita khuatir umat Islam kehilangan panduan jika masih iri hati, saling membenci dan bersaing merebut kemewahan dunia. Kemerosotan Islam terjadi kerana perbuatan kuasa, membenci saudara daripada puak lain sehingga timbul fahaman kesukuan menebal.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url