Top Ad 728x90

Pos Malaysia-Celcom perkenal Poskad MMS

Pos Malaysia Berhad dan Celcom (M) Berhad (Celcom) hari ini memperkenalkan pelan baru untuk pengguna telefon bimbit iaitu Poskad Khidmat Pesanan Multimedia (MMS) untuk menarik lebih ramai pengguna menggunakan perkhidmatan kedua-dua syarikat tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Datuk Seri Shazalli Ramly berkata, pihaknya menerima sambutan yang baik bagi pelan baru tersebut yang dilaksanakan hari ini.

Menurutnya, pengguna talian Celcom yang hanya mempunyai rangkaian sambungan sistem radio paket global (GPRS), boleh menggunakan perkhidmatan itu untuk menghantar poskad melalui Pos Malaysia kepada orang yang disayangi.

''Mereka boleh mengambil gambar melalui telefon bimbit dan hantar terus kepada Pos Malaysia yang akan memproses gambar itu dan menghantarkannya kepada orang yang dituju.

''Pihak yang terlibat dalam pemprosesan Poskad MMS itu tidak boleh melihat kandungan gambar berkenaan dan caj yang dikenakan adalah RM2.50 mulai hari ini hingga 31 Disember depan,'' katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Poskad MMS itu di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Pos Malaysia Bhd., Tan Sri Aseh Che Mat dan Pengarah Urusan Kumpulan Pos Malaysia, Syed Faisal Albar.

Tambah Shazalli, pelan itu adalah satu lagi pendekatan baru dalam mempromosikan MMS dan perkhidmatan yang disediakan oleh Pos Malaysia di kalangan remaja.

''Kami mendapat tahu, golongan yang berumur 18 tahun ke bawah tidak pernah menerima apa-apa surat melalui pos kerana mereka hanya menggunakan perkhidmatan telefon bimbit untuk komunikasi.

''Kini Celcom mempunyai 7.9 juta pengguna di seluruh negara termasuk 4.8 juta adalah belia yang berusia 25 tahun ke bawah,'' jelasnya.

Menurutnya, setiap hari 400,000 MMS dihantar oleh pengguna talian Celcom dan pihaknya percaya, sebahagian daripadanya akan menggunakan perkhidmatan Poskad MMS itu.

Katanya, pengguna Celcom yang ingin menggunakan perkhidmatan Poskad MMS perlu melalui beberapa proses sebelum mesej tersebut dapat disempurnakan.

''Setelah mengambil gambar, hantar gambar tersebut ke 22662 melalui MMS. Pengguna harus menulis nama penerima, alamat, poskod dan mesej serta nama penghantar dan nombor telefon,'' jelasnya.

Katanya, Pos Malaysia akan menghantar poskad itu dalam lima hari kepada orang yang ditujukan Poskad MMS itu.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90