Proton tawar pasang tali pinggang percuma

Proton Holdings Bhd. (Proton) akan menawarkan perkhidmatan memasang tali pinggang keledar bagi penumpang belakang secara percuma bagi kereta yang dikeluarkan antara tahun 2004 hingga 2008.

Pengarah Urusan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, kemudahan itu ditawarkan kepada 225,930 buah kereta yang mana ia tidak dipasang tali pinggang keledar bagi penumpang di tengah-tengah tempat duduk belakang kereta berkenaan.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, 144,000 buah kereta terdiri daripada model Proton Saga manakala baki 81,930 buah lagi adalah daripada model Gen2.

''Kedua-dua model kereta ini hanya memiliki dua tali pinggang keledar di bahagian penumpang belakang kereta sahaja,'' katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Syed Zainal Abidin menjelaskan bahawa perkhidmatan pemasangan tali pinggang itu akan membabitkan pelaburan kira-kira RM7.3 juta yang mana ia dianggap sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat.

Bagaimanapun, beliau menasihati pengguna kereta berkenaan agar tidak menyerbu pusat servis Proton untuk membuat pemasangan tersebut secara terburu-buru kerana ia hanya boleh dilakukan berdasarkan kepada temujanji yang dibuat terlebih dahulu.

''Pemasangan itu akan dimulakan pada 1 Disember di Semenanjung manakala 1 Januari 2009 pula di Sabah dan Sarawak.

''Kami menjangkakan proses pemasangan tali pinggang keledar bagi penumpang di tengah duduk belakang ini siap dalam tempoh 13 bulan,'' jelasnya.

Terang beliau, untuk mengadakan temujanji tersebut, pengguna boleh menghubungi pusat servis Proton yang berdekatan atau menghubungi Proton.i di talian 1300-880-888 atau melalui laman web, www.proton-edar.com.my.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url