Bank Rakyat umum rancangan ambil alih Takaful IKHLAS
Bank Rakyat mengumumkan cadangan pengambilalihan Takaful IKHLAS menerusi perjanjian pelaksanaan yang dimeterai dengan MNRB Holdings Bhd (MNRB), sekali gus menjadi langkah strategik untuk memperkukuh penawaran perkhidmatan kewangan Islam yang lebih menyeluruh kepada pelanggan.
Cadangan itu membabitkan pengambilalihan dua anak syarikat milik penuh MNRB, iaitu Takaful Ikhlas Family Bhd dan Takaful Ikhlas General Bhd yang secara kolektif dikenali sebagai Takaful IKHLAS.
Sebagai institusi kewangan pembangunan (DFI), Bank Rakyat ketika ini menawarkan pelbagai perkhidmatan perbankan dan kewangan patuh Syariah merangkumi pembiayaan perbankan runcit dan perniagaan, akaun deposit serta pelaburan, perancangan kewangan dan perkhidmatan perbankan digital.
Menerusi cadangan pengambilalihan itu, Bank Rakyat menjangka dapat memperkukuh kekuatan serta keupayaan sedia ada dalam menyediakan rangkaian perkhidmatan kewangan yang lebih komprehensif kepada individu, perniagaan dan koperasi.
Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak, berkata cadangan pengambilalihan itu adalah pelaburan strategik bagi memperkukuh penawaran produk patuh Syariah institusi berkenaan, di samping memperkasa ekosistem kewangan Islam Malaysia.
Beliau berkata, sebagai bank koperasi Islam terbesar di negara ini, Bank Rakyat memikul tanggungjawab untuk menyumbang kepada pembangunan negara menerusi pembangunan sosioekonomi yang mampan.
"Pelaburan ini akan mengukuhkan strategi pelaksanaan mandat Bank Rakyat ke atas segmen koperasi serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), di samping memperluas rangkuman kewangan dan memperkasa perlindungan kewangan bagi isi rumah dan perniagaan.
"Ia juga membuka ruang kepada strategi baharu untuk dilaksanakan bagi meningkatkan pembangunan dan pengembangan perniagaan koperasi yang mampu mewujudkan nilai jangka panjang kepada ekosistem koperasi dan PMKS di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Irwan berkata, pengambilalihan itu turut menandakan satu pencapaian penting dalam aspirasi jangka panjang Bank Rakyat untuk berkembang menjadi konglomerat kewangan Islam terkemuka yang menawarkan penyelesaian kewangan komprehensif dan bersepadu kepada rakyat Malaysia.
Katanya, langkah berkenaan akan melengkapkan keupayaan perbankan sedia ada dengan penyelesaian takaful, sekali gus membolehkan pelanggan mendapat sokongan menyeluruh sepanjang perjalanan kewangan mereka daripada pembiayaan kepada peningkatan, pengurusan serta perlindungan kekayaan.
Pada masa sama, penyertaan Takaful IKHLAS dalam Kumpulan Bank Rakyat dijangka merapatkan jurang penawaran produk sedia ada, khususnya bagi pelanggan yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan serta golongan yang masih belum mempunyai akses kepada perkhidmatan berkenaan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff, berkata pengambilalihan Takaful IKHLAS bukan sekadar mewujudkan nilai kepada kumpulan, malah memperkukuh kapasiti dan keupayaan Bank Rakyat dalam memperluaskan peranan pembangunannya.
Beliau berkata, pihaknya menjangkakan pengambilalihan itu akan mengukuhkan rangkaian saluran penyampaian, meningkatkan penyampaian perkhidmatan, menambah baik kecekapan operasi serta memperluas keupayaan perniagaan kumpulan.
"Gabungan kekuatan ini akan menyokong penciptaan nilai jangka panjang yang mampan kepada pelanggan, anggota dan pihak berkepentingan kami, di samping menyumbang kepada daya tahan perniagaan serta pembangunan sosioekonomi yang lebih menyeluruh," katanya.
Ditubuhkan pada 2002, Takaful IKHLAS adalah antara pengendali takaful terkemuka di Malaysia yang menawarkan rangkaian penyelesaian takaful keluarga dan takaful am kepada individu, perniagaan serta pelanggan korporat.
Bank Rakyat pula adalah bank koperasi Islam terbesar di Malaysia dengan jumlah aset sebanyak RM131 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.

