Top Ad 728x90

Public Bank dahului senarai syarikat tadbir urus terbaik

PUBLIC Bank Bhd, Bursa Malaysia Bhd dan Telekom Malaysia Bhd (TM) menduduki tiga tempat teratas senarai syarikat yang mengamalkan urus tadbir korporat terbaik Laporan Kaji Selidik Urus Tadbir Korporat 2008 yang diterbitkan Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti Bhd (MSWG).

Public Bank yang berada di tempat pertama dengan meraih markah 93 peratus adalah satu-satunya syarikat yang memperoleh markah lebih 90 peratus dalam kaji selidik yang membabitkan 960 syarikat senaraian awam (PLC) tempatan itu.

Ini adalah kali keempat berturut-turut bank itu mencatatkan pemarkahan tertinggi dalam kaji selidik itu.

Bursa Malaysia dan TM yang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga pula memperoleh markah 85 dan 83 peratus.

Syarikat lain yang berada di kedudukan 10 teratas senarai itu ialah British American Tobacco (Ma) Bhd, Symphony House Bhd, Bumiputra-Commerce Holdings Bhd, Malaysia Airports Holdings Bhd, Media Prima Bhd, Tanjong Public Ltd Company, DiGi.Com Bhd, Malayan Banking Bhd, Tenaga Nasional Bhd dan Opus Group Bhd.

Ketua Eksekutif MSWG, Abdul Wahab Jaafar Sidek, berkata Laporan Kaji Selidik Tadbir Urus Korporat yang dijalankan dengan kerjasama Nottingham University Business School itu bertujuan mewujudkan kesedaran terhadap amalan tadbir urus korporat yang berkesan di kalangan PLC.

Beliau berkata, sejak diperkenalkan pada 2005, jumlah syarikat dimasukkan dalam kaji selidik semakin bertambah yang mana tahun ini sejumlah 960 syarikat terbabit berbanding 500 tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, kaji selidik itu mendapati syarikat besar PLC mengamalkan tahap urus tadbir korporat lebih tinggi berbanding syarikat kecil yang masih dianggap jauh ketinggalan.

“Hasil kaji selidik yang dilaksanakan mendapati bilangan syarikat besar yang patuh dengan kod Malaysia dan antarabangsa lebih banyak berbanding syarikat kecil.

“Malah, secara purata markah pencapaian bagi urus tadbir korporat di kalangan syarikat terbabit masih perlu diperbaiki kerana lebih rendah berbanding tahun lalu,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Laporan Kaji Selidik Urus Tadbir Korporat 2008 di Kuala Lumpur, semalam.

Ia dilancarkan Pengerusi MSWG, Tan Sri Abdul Halim Ali.

Daripada 960 PLC yang terbabit, 623 adalah syarikat yang disenaraikan di Papan Utama, 215 syarikat di Papan Utama dan 122 syarikat di Pasaran Mesdaq.

Abdul Wahab berkata, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga didapati melaksanakan dan mengamalkan tadbir urus korporat dengan lebih baik, yang mana Khazanah Nasional mendahului senarai GLC terbaik dalam tadbir urus korporat.

Tahun ini, tiga kategori anugerah diperkenalkan kepada syarikat teratas iaitu Industry Excellence Awards, Overall Excellence Awards dan Corporate Governance Challenge Trophy.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90