Ramai remaja jadi penagih fantasi siber & komputer

Semakin ramai anak muda mengunjungi kafe siber ini untuk melayari permainan komputer dengan alasan ingin mendapat ketenangan atau merehatkan minda daripada tekanan alam pelajaran pada musim cuti persekolahan sekarang.

Menurut ibu bapa itu, bukan ketagihan dadah yang dihadapi anak muda ini, sebaliknya ialah ketagihan kepada permainan siber.

Tidak lama dulu ada laporan meluas di dalam media mengenai pelajar sekolah rendah dan menengah yang berpakaian seragam sekolah mengunjungi kafe siber di Kuala Lumpur dan Ipoh ketika pemeriksaan oleh Jabatan Pelajaran.

Inilah hakikatnya pada hari ini. Semakin ramai anak muda menjadi penagih kepada fantasi siber.

Ini adalah masalah yang perlu ditangani pihak sekolah dan ibu bapa serta kementerian terbabit.

Tidak ada salahnya permainan komputer ini digunakan untuk merehatkan minda tetapi ia hendaklah dilakukan dengan kadar berpatutan.

Sebarang bentuk penagihan adalah tidak baik terutama kepada pelajar yang perlu belajar dan menduduki peperiksaan.

Apa yang lebih buruk lagi ialah apabila ketagihan terhadap permainan komputer ini membawa kepada perjudian yang menjadi punca utama kepada banyak keburukan. Perjudian siber tidak boleh dibenarkan dan anak muda kita tidak boleh terbabit dengannya.

Walaupun saya tidak memusuhi kafe siber, peraturan yang mengekang operasi mereka terutama bersangkutan dengan tempat ia beroperasi dan penguatkuasaan terhadapnya hendaklah diperketatkan untuk mengelak ia menjadi punca kepada penyakit sosial kepada masyarakat.

Bagaimanakah pengusaha kafe siber seperti itu membenarkan pelajar sekolah memasuki premis mereka sedangkan notis di hadapan pintu dengan jelas menyatakan pelajar yang memakai seragam sekolah tidak dibenarkan masuk.

Kafe siber tumbuh bagaikan cendawan di serata pelosok negara dan penguat kuasa tempatan yang mengeluarkan lesen kepada pengusaha kafe siber ini tidak mampu untuk memantau kesan buruk kepada masyarakat yang diwujudkan oleh operasi kafe ini.

Untuk mengharapkan pengusaha kafe siber ini beretika dan melakukan pengawalan kendiri untuk menyekat mereka yang di bawah umur 18 tahun daripada memasuki kafe siber adalah sukar kerana mereka mempunyai kepentingan kewangan terhadap perkara itu.

Semua penguat kuasa tempatan perlu memastikan pengusaha kafe siber mematuhi syarat yang dikenakan terhadap permit lesen mereka seperti mengehadkan operasi kepada waktu yang tertentu dan tidak membenarkan anak di bawah umur memasuki premis mereka.

Walaupun kita mengalu-alukan zaman teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), kita juga perlu melindungi generasi muda kita daripada pengaruh negatif yang dibawa kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi ini.

Dengan perkembangan dan kemajuan pendidikan pintar, mendapatkan ilmu dan pengetahuan perlu dilakukan dengan pendidikan moral yang mencukupi.

Walaupun kita perlu menghasilkan pekerja yang mempunyai kepakaran komputer dalam zaman teknologi maklumat dan komunikasi ini, ia perlu dilakukan tanpa mengorbankan atau mengabaikan keperluan penerapan nilai moral yang baik.

Dengan kemajuan maklumat tanpa sempadan, lebih penekanan hendaklah diberikan terhadap penerapan nilai moral di dalam pendidikan untuk mengelakkan munculnya lebih banyak jenayah siber.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url