Razak Baginda nafi Najib terbabit


Penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda, semalam menegaskan Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, tidak ada kaitan langsung dengan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibu.

"Najib dan Rosmah tidak mengenali si mati, apatah lagi menemui si mati. Itu keterangan saya berikan kepada polis dan itulah yang saya katakan dalam sidang media ini," katanya dalam sidang media pertamanya sejak dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 31 Oktober lalu terhadap tuduhan bersubahat dalam kes pembunuhan itu.

Abdul Razak yang merengkuk dalam penjara selama 22 bulan, dibebaskan daripada tuduhan bersubahat membunuh Altantuya tanpa dipanggil membela diri dan pihak pendakwaan juga tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah itu.

Bagaimanapun, dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Insp Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, diperintah membela diri terhadap tuduhan membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja, Selangor pada Oktober 2006.

Abdul Razak yang kini bermisai dan berjanggut berkata, terlalu banyak fitnah dilemparkan terhadap Najib dan Rosmah oleh pihak yang mempunyai motif tertentu.

"Fitnah itu bermacam-macam kita dengar... semuanya tidak benar dan mereka tidak langsung menunjukkan bukti bagi menyokong dakwaan mereka kerana sememangnya tidak ada bukti," katanya.

Sehubungan itu, beliau yang ditemani bapa dan beberapa ahli keluarganya serta dua peguam, meminta semua pihak berhenti memfitnah Najib dan Rosmah.

"Sidang media ini diharap dapat menjelaskan beberapa perkara yang sebelum ini sering menjadi bualan, termasuk disebarkan oleh pihak berniat jahat memburukkan imej individu tertentu.

"Saya yakin, Najib mampu menjadi Perdana Menteri yang bagus untuk negara," katanya dalam sidang media hampir satu jam yang dihadiri lebih 40 wartawan dari dalam dan luar negara.

Dalam sidang media itu, Abdul Razak turut diajukan pelbagai soalan termasuk hubungannya dengan wanita Mongolia itu.

Wartawan: Adakah benar dakwaan Altantuya dibunuh disebabkan pembabitannya dalam proses pembelian kapal selam Scorpene di Perancis?

Abdul Razak: Tidak benar. Perjanjian pembelian (kapal selam) ditandatangani pada Jun 2002. Saya hanya mengenali si mati pada November atau Disember 2004. Saya tidak nampak kaitan di antara dua peristiwa itu. Ini sebenarnya pembohongan yang nyata.

Wartawan: Jadi, apa sebenarnya perhubungan antara anda dengan Altantuya?

Abdul Razak: Dia sudah mati... cukuplah. Biarlah dia bersemadi dengan aman.

Wartawan: Kenapa baru sekarang anda bersedia untuk berhadapan dengan media?

Abdul Razak: Saya perlukan masa untuk kumpul kekuatan. Banyak benda berlaku dan ada yang perlu saya selesaikan dulu. Saya membuat keputusan ini selepas tidak sanggup membiarkan pihak tertentu terus melemparkan fitnah mereka. Saya terperangkap dalam situasi dipersalahkan jika berbuat sesuatu dan dipersalahkan jika tidak berbuat sesuatu. Ada juga menasihatkan saya tidak memberi sebarang kenyataan kerana ia hanya sia-sia.

Wartawan: Bagaimana dengan reputasi anda yang rosak teruk berikutan kes itu?

Abdul Razak: Adakah saya mempunyai reputasi sebelum kes ini dibawa ke mahkamah (sambil ketawa). Sebenarnya, saya tidak terlalu memikirkan benda ini (soal reputasi). Bagi saya, sokongan berterusan isteri dan anak saya lebih bermakna. Sepanjang ditahan, mereka mengunjungi saya setiap Sabtu tanpa gagal, iaitu 100 kali. Itulah hari yang ditunggu-tunggu.

Wartawan: Ada banyak cerita dan khabar angin di sebalik kes ini yang disiarkan termasuk blog?

Abdul Razak: Masalahnya, orang ramai kini mudah terpedaya dengan berita yang tersebar di laman blog, padahal kebanyakannya hanya dengar cakap semata-mata. Golongan ini sering memutarbelit fakta, mengelirukan rakyat dan memanipulasikan cerita untuk kepentingan pihak tertentu.

Wartawan: Maksud anda, golongan ini menghasilkan berita dengan motif dan niat tertentu?

Abdul Razak: Mungkin. Sejak ditahan November 2006, terlalu banyak benda yang tidak benar disebarkan. Fitnah dan kenyataan tidak berasas dijadikan rujukan sedangkan perkara sebenar pula dikatakan tidak relevan dan tidak diterima, seolah-olah mereka tidak berminat terhadap kebenaran.

Wartawan: Sejauh mana perhubungan anda dengan Datuk Seri Najib?

Abdul Razak: Saya mengenali beliau sejak 1990-an. Kami cuma kenal secara profesional dan agak rapat. Bagaimanapun, saya tidak pernah memegang apa-apa jawatan rasmi sama ada sebagai kakitangan di kementerian beliau mahupun sebagai pembantu beliau. Saya tidak bertemu dengan beliau, bercakap, menghantar SMS mahupun menghantar emel kepada beliau selepas saya dibebaskan.

Wartawan: Apa rancangan anda selepas ini?

Abdul Razak: Saya akan ke United Kingdom untuk menyiapkan ijazah Doktor Falsafah (PhD) yang tertangguh. Sebenarnya, saya sudah menghantar tesis saya mengenai Perhubungan Antarabangsa dua minggu sebelum saya ditahan. Jadi, penilaian tesis itu tergendala sehinggalah sekarang. Saya bukan berniat untuk melarikan diri. Saya akan ke sana untuk tempoh beberapa bulan dan akan kembali sebaik saya memperoleh PhD.

- Berita Harian
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url