SSM guna e-info sepenuhnya 1 Januari 2009
Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Abdul Karim Abdul Jalil berkata, serentak dengan penggunaan kemudahan itu, pihaknya akan menutup kaunter maklumat di pejabat cawangan negeri dan daerah secara berperingkat-peringkat.
Menurut beliau, melalui perkhidmatan e-info, segala maklumat boleh diperolehi dengan mudah, cepat dan boleh diakses pada bila-bila masa.
"SSM tidak akan menutup kaunter bekalan maklumat secara serentak tetapi mengambil langkah secara berperingkat-peringkat sebelum menutup kaunter itu sepenuhnya.
"Ini bagi memberikan peluang kepada orang ramai untuk membiasakan diri menggunakan perkhidmatan e-info," katanya pada majlis dialog tahunan SSM di sini hari ini.
Menurutnya, dalam tempoh peralihan tersebut, SSM akan membuka satu kaunter perkhidmatan untuk pembelian maklumat secara pukal iaitu melebihi 20 permohonan.
"Dalam pada itu juga SSM akan membuka enam kios bagi permohonan pelanggan kami.
"Bagi permohonan kurang daripada 20, pelanggan diminta untuk melakukan secara dalam talian dan pegawai SSM akan sentiasa bersedia memberi bantuan kepada pelanggan," katanya.
Abdul Karim berkata, usaha yang dilakukan oleh SSM ini sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk melahirkan generasi celik dalam bidang teknologi maklumat.
Beliau berkata, penutupan khidmat kaunter akan bermula dengan tiga pejabat utama SSM iaitu Ibu Pejabat di Kuala Lumpur, Cawangan Shah Alam dan Cawangan Negeri Sembilan.
"Penutupan kaunter ini akan bermula pada 1 Januari depan dan diikuti pada 1 Mac 2009 bagi pejabat-pejabat negeri SSM yang lain termasuk Labuan, Sabah dan Sarawak,'' katanya.