Wanita alami tekanan perasaan cuba terjun di Kuala Berang


Lagi kes cubaan membunuh diri dengan terjun dari bangunan tinggi. Kali ini membabitkan seorang wanita berusia 38 tahun yang mempunyai lapan anak yang cuba terjun dari tingkat atas sebuah bangunan empat tingkat terbengkalai di Kampung Batu 24, Jalan Kuala Berang-Sekayu, Kuala Berang, Hulu Terengganu, semalam.

Kejadian bermula jam 12.15 tengah hari selepas polis menerima maklumat daripada orang ramai yang melihat seorang wanita berdiri dalam keadaan mencurigakan di tingkat atas bangunan itu sambil memegang pisau menyebabkan kawasan berkenaan mula dipenuhi orang ramai.

Berikutan kejadian itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Tengku Hamzah Tengku Abdullah mengarahkan laluan berhampiran tempat kejadian ditutup dan aliran trafik dialihkan sementara bagi membolehkan pasukan penyelamat menjalankan tugas.

Bagaimanapun, wanita berkenaan yang berdiri kira-kira tiga jam di tingkat atas bangunan itu berjaya diselamatkan selepas terkejut dengan kehadiran anggota pasukan penyelamat yang memaut lengan dan rambutnya sebelum memaut tali pada kedua-dua kaki wanita itu, jam 3 petang.

Tengku Hamzah berkata, wanita itu dikatakan mempunyai tekanan perasaan selepas mendakwa tidak dipedulikan suami selain mempunyai sejarah gangguan mental. Dia didakwa mengalami tekanan perasaan akibat diabaikan suami berikutan statusnya sebagai isteri kedua.

Beliau berkata, sebelum itu, mangsa pernah dimasukkan ke hospital mental beberapa kali kerana melakukan perkara tidak siuman tetapi belum sampai ke tahap cuba membunuh diri.

“Wanita itu, pekerja sebuah restoran dan sebaik diselamatkan, diberikan rawatan awal oleh kakitangan Hospital Hulu Terengganu sebelum dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

“Polis akan mendapatkan keterangan mangsa berhubung kejadian itu sebaik dia pulih dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh diri,” katanya.

Sementara itu, suami wanita berkenaan berusia 63 tahun ketika ditemui di tempat kejadian memberitahu, sebelum dimaklumkan polis yang isterinya berada di bangunan itu, dia ada bertengkar dengan wanita itu yang mengamuk termasuk memecahkan cermin keretanya.

“Sebenarnya, ini bukan kali pertama dia cuba berbuat demikian, malah kehadiran saya di lokasi kejadian langsung tidak membantu, sebaliknya menyebabkan dia terus terjun.

“Saya beberapa kali cuba memujuknya, tetapi dia nampaknya begitu marah dan terjun dari bangunan itu tetapi nasib baik pasukan penyelamat sempat menyelamatkannya,” katanya.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url