Almarhum Tuanku Ja'afar disenangi rakyat
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Almarhum begitu disayangi oleh rakyat, malahan ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong dahulu pun rakyat begitu senang dengan kepimpinan baginda.
''Secara peribadi, Almarhum begitu senang didekati rakyat. Penglibatan Almarhum dalam pelbagai kegiatan yang dirancang Kerajaan Persekutuan semasa menjadi Yang di-Pertuan Agong telah pun mendekatkan baginda dengan rakyat," ujar beliau kepada pemberita selepas memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah Almarhum di Istana Besar Seri Menanti di sini, hari ini.
Abdullah yang ditemani isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah dan menantunya, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaludin diiringi oleh anakanda Almarhum, Tunku Imran Tuanku Ja'afar dan Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan serta isteri, Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin.
Perdana Menteri kemudiannya menghadap Tuanku Ampuan Najihah untuk menyampaikan rasa sedih kerajaan Malaysia dan rakyat keseluruhan atas kemangkatan baginda.
Menurut Abdullah, beliau tidak dapat melupakan pengalaman bermain golf bersama baginda yang sanggup mengetepikan status demi kecintaan terhadap sukan tersebut.
''Almarhum tidak fikir sangat dengan status sebagai Yang di-Pertuan Agong. Baginda begitu mesra. Tentulah saya merasa lega, maklumlah bukan mudah untuk bermain golf bersama-sama baginda," kata beliau.
Almarhum Tuanku Ja'afar, 86, yang memerintah negeri ini selama 41 tahun mangkat di Hospital Tuanku Ja'afar semalam selepas mengadu sakit kepala sebelum tidak sedarkan diri di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.
Perdana Menteri dalam hal ini meminta semua pejabat kerajaan dan bangunan serta premis di seluruh negara agar mengibarkan bendera separuh tiang sempena menghormati Istiadat Pemakaman Diraja di Makam Diraja Seri Menanti di sini, esok.
Diminta mengulas kehadiran rakyat dan pemimpin pelbagai kaum, Abdullah berkata, ia membuktikan baginda begitu disenangi dan disayangi rakyat.
''Memanglah semua rakyat Malaysia datang. Tentulah mereka sayang dengan Almarhum. Ini terbukti selepas baginda melaksanakan tugas dengan cemerlang dan disenangi ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong dahulu," kata beliau.
Almarhum Tuanku Ja'afar menjadi Yang di-Pertuan Agong mulai 26 April 1994 hingga 25 April 1999.