Cari makna baru Hijrah
Baginda merupakan, Rasul Junjungan dan Insan Kamil yang diutus Tuhan bagi menzahirkan kesempurnaan sifat akhlak seseorang insan. Baginda merupakan manusia yang paling tinggi martabat kerohaniannya dan yang paling di sayangi Tuhan.
Walaupun baginda seperti manusia lain, hadir dalam latar lingkungan sejarah dan geografi tertentu, peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang kehidupan baginda tetap mengungkapkan pengajaran sejagat yang sentiasa abadi dan segar kepada diri setiap Muslim.
Begitu juga dengan peristiwa hijrah yang dilalui oleh Nabi Muhammad SAW. Secara historis, ia merupakan detik perpindahan dakwah Nabi dari peringkat pertama di Mekah yang penuh dengan mihnah pesona serta cabaran yang amat mencengkam ke tahap mengancam nyawa baginda sendiri, ke peringkat yang kedua di Madinah yang lebih meluas ruang dakwahnya serta menjanjikan cahaya kemenangan.
Daripada segi pensyariatan agama, ia merupakan dasawarsa baru dalam pelaksanaan undang-undang agama yang lebih berasaskan muamalah dan kemasyarakatan berbanding peringkat Mekah yang lebih tertumpu kepada pengukuhan akidah dan pandangan alam Islam.
Namun di sebalik dimensi historis yang selalu diulang sama ada dalam pengajian sirah atau siri-siri ceramah Maal Hijrah, peristiwa ini sesungguhnya menyampaikan kita kepada beberapa pengajaran yang lebih mendalam dan amat terkait untuk kehidupan kita sekarang.
Antara hikmah penting di sebalik peristiwa hijrah yang harus diteladani terutama oleh umat Islam zaman ini yang berhadapan dengan pelbagai fitnah dan cabaran ialah gambaran sikap realistik dan kebijaksanaan Nabi apabila berhadapan dengan cabaran dan ancaman semasa.
Di samping hakikat bahawa Nabi Muhammad merupakan insan terpilih dan yang terbaik di kalangan seluruh makhluk Allah, insan yang mustajab doa-doanya dan dikurnia mukjizat dari Tuhan, kehidupan Nabi juga seperti kehidupan manusia yang lain, menuruti sunnatullah yang tidak lari daripada cabaran dan pedih getir kehidupan.
Dengan perkataan lain, kehidupan Nabi juga terikat dengan batasan manusiawi yang terpaksa melalui pelbagai ranjau perjuangan hidup. Inilah yang terjelma antara lain daripada peristiwa hijrah Nabi apabila sunnatullah mengajar bahawa golongan yang lemah walaupun benar amat sukar mengalahkan golongan yang lebih kuat terutama yang mempunyai persediaan.
Sebagai golongan yang baru muncul dan mempunyai jumlah yang kecil dan persiapan yang kurang, tekanan dan ancaman yang ditujukan oleh golongan Musyrikin di Mekah ternyata terlalu kuat untuk dihadapi oleh Nabi dan golongan Muslimin yang ada pada ketika itu.
Justeru perpindahan dari Kota Mekah bagi menyelamatkan golongan Muslimin tidak dapat dielakkan. Nabi perlu mencari ruang dan kekuatan baru ke Madinah untuk memperkukuhkan kedudukan agama Islam.
Apakah noktah pengajaran yang dapat diambil oleh masyarakat Islam sekarang daripada hakikat hijrah Nabi ini? Sekiranya Nabi, insan terpilih yang dikurniakan Allah pelbagai bentuk mukjizat itu sendiri menyedari hakikat bahawa baginda harus bertindak berdasarkan waqi' semasa, berdasarkan kekuatan dan kelemahan manusiawi yang ada, umat Islam dewasa ini sudah pasti harus lebih menyedari mengenai waqi' kehidupan yang melingkungi mereka.
Secara umumnya, masyarakat Islam sememangnya berada dalam keadaan yang lemah baik dari segi kekuatan fizikal, ketenteraan ataupun kekayaan ekonomi. Malah dari segi kesatuan, mereka agak tertinggal berbanding masyarakat lain terutama negara-negara Barat.
Akan tetapi terdapat sekelompok dari masyarakat Islam yang nampaknya yang gagal menyedari hakikat ini lantas bertindak seolah-seolah mereka berada dalam keadaan yang kuat. Mereka mengambil tindakan di luar batasan waqi' semasa yang ada pada masyarakat Islam. Ini merujuk kepada tindakan sekelompok yang melakukan tindakan mengebom dan menculik serta membunuh yang melibat manusia tidak berdosa yang berlaku sejak akhir-akhir ini.
Kita tidak menafikan bahawa sebahagian peristiwa tersebut adalah tindak balas daripada segelintir orang Islam terhadap tindakan politik yang dilakukan oleh kuasa besar ke atas beberapa negara Islam atau merupakan perencanaan oleh pihak-pihak tertentu.
Namun cara bertindak yang dilakukan ternyata tidak menguntungkan masyarakat Islam secara keseluruhannya terutama apabila dilihat dari sudut kekuatan umat Islam dan kesediaan mereka menghadapi tindakan balas sekiranya berlaku.
Mengundang
Kita melihat sebahagian besar daripada tindakan sebegini sekadar mengundang tindakan balas yang lebih keras dan buruk kepada masyarakat Islam sebagaimana yang telah kita lihat berlaku di Afghanistan, Iraq dan negara Islam lain. Yang penting ia juga menggambarkan kerangka pemikiran yang ekstrem hasil daripada kekeliruan tentang ajaran Islam.
Di sinilah pentingnya pengajaran peristiwa hijrah yang merakamkan bahawa Nabi sendiri bertindak berdasarkan kekuatan dan kemampuan yang ada apabila baginda mengambil keputusan untuk melakukan hijrah. Dengan perkataan lain, peristiwa hijrah memberi iktibar bahawa kita harus mengumpul kekuatan dan tidak bertindak menzahirkan kekuatan sebelum masanya, apatah lagi bertindak di luar kebijaksanaan. Sesungguhnya inilah antara makna hijrah yang baru yang harus kita manfaatkan untuk suasana kita dewasa ini.
Dengan menyedari bahawa umat Islam berada dalam keadaan yang lemah, bukan bermakna kita pasrah dengan keadaan yang ada. Di samping ingatan bahawa umat Islam harus terus memperbaiki kelemahan mereka dan mempersiapkan kekuatan fizikal sebagaimana yang disaran al-Quran, seperkara yang juga penting ialah kekuatan Islam sebenarnya masih boleh dijelmakan dalam pelbagai dimensi lain. Misalnya umat Islam masih kuat dan kukuh dari segi kepercayaan agama dan akhlakiyah terutama dalam menolak faham-faham yang bertentangan dengan agama.
Berbanding dengan Islam, sebahagian agama lain misalnya, telah pun berkompromi dan mengorbankan doktrin agama mereka dengan membuka pintu kepada kemasukan aliran-aliran asing seperti sekularisme dan sinkretisme. Disebabkan kelemahan sistem kepercayaan mereka, agama-agama tersebut telah merubah dasar-dasar agama dan kepercayaan mereka bersesuaian dengan ideologi-ideologi tersebut.
Namun agama Islam, berkat kekuatan pendidikan agama dan pertahanan ilmiah yang dilakukan oleh golongan ilmuwan Islam sepanjang zaman, ia masih kukuh bertahan daripada ancaman aliran-aliran pemikiran asing.
Kekuatan yang pada agama Islam ini harus dipertahankan dan diperkukuhkan melalui pendidikan yang betul tanpa semestinya melibatkan penzahiran dari segi kekuatan fizikal dan ketenteraan. Malah, dari segi strategi, sememangnya umat Islam dalam keadaan mereka lemah fizikal, seharusnya menumpukan perhatian dalam memperkukuhkan aspek keilmuan dan pendidikan ini.
Ia juga merupakan satu jihad yang besar dan harus dilakukan dengan menggunakan usaha yang kuat dan serius. Malah, ia juga satu bentuk peperangan yang melibatkan persediaan kekuatan dari segi intelektual dan keilmuan.
Sekiranya kita prihatin terhadap pembunuhan dan serangan yang berlaku ke atas negara-negara Islam oleh kuasa Barat, kita juga harus lebih prihatin terhadap serangan pemikiran asing yang telah 'mengorbankan' dan mengelirukan jutaan masyarakat Islam.
Peperangan inilah yang nampaknya banyak dilupakan oleh sebahagian masyarakat Islam apabila kerangka berfikir mereka amat tertumpu kepada penyelesaian dari aspek siasah dan ketenteraan. Malah jika ditinjau dari segi sejarah, aspek inilah yang menjadi asas kepada pembinaan tamadun. Zat kepada kekuatan Islam, dengan kata lain ialah kekuatan kepercayaan dan keilmuan.
Mungkin ini merupakan salah satu makna dan rahsia hijrah yang harus diingatkan kepada masyarakat Islam. Hijrah bukan sekadar berpindah dari satu suasana kepada suasana yang baru, tetapi juga mengembalikan diri kita kepada suasana yang kita telah pun berada sebelumnya. Jika sebelum ini kekuatan tamadun Islam terletak kepada kekuatan iman dan ilmu, marilah kita berusaha berhijrah dengan mengembalikan kekuatan tersebut kepada umat Islam.