Anak tetak bapa dengan kapak

Seorang warga emas berusia 75 tahun cedera parah di kepala akibat ditetak dengan kapak oleh anak lelakinya di Kampung Kuala Kubang, Jabi, Besut, tengah hari kelmarin.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan K Manoharan, berkata kejadian itu berlaku ketika mangsa datang ke rumah suspek untuk memberi wang bantuan kerajaan kepada suspek, kira-kira jam 1 tengah hari.

Beliau berkata, suspek sebaik sahaja melihat bapanya terus mengambil kapak dan menetak di kepala hingga mengeluarkan darah yang banyak.

Manoharan berkata, suspek marah kepada bapanya sejak ibunya meninggal dunia beberapa tahun lalu.

"Seorang penduduk kampung memberitahu kejadian itu kepada seorang lagi anak mangsa berusia 36 tahun yang sedang memacing di sungai di kampung itu,"katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di sini, semalam.

Manoharan berkata, anak mangsa bekerja sebagai petani apabila pulang ke rumahnya mendapati kepala bapanya berlumuran darah dan dikejarkan ke Hospital Jertih bagi mendapat rawatan lanjut.

Katanya, mangsa yang cedera parah dipindahkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Krian, Kota Bharu, Kelantan, petang kelmarin.

Manoharan berkata, polis menahan suspek berusia 38 tahun yang mempunyai rekod pesakit mental di rumah itu, kira-kira jam 7.40 malam dan siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Katanya, suspek pernah mencederakan dua kali bapanya sebelum ini.

Manoharan berkata, mangsa tinggal bersama anak perempuannya di Setiu, datang ke rumah anaknya untuk memberi wang belanja kepada suspek.

- Berita Harian
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url