Dewan Rakyat lulus Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2008 selepas ia didebat dan dilakukan pindaan terhadap beberapa fasal berkaitan.

Rang undang-undang itu telah dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Rabu lalu dalam usaha mempertingkatkan integriti kerajaan dan membanteras amalan rasuah di negara ini.

SPRM yang akan dilaksanakan mulai tahun depan merupakan antara janji Perdana Menteri untuk membawa pembaharuan dalam pentadbiran kerajaan termasuk pembanterasan rasuah.

Semalam, rang undang-undang itu telah dibacakan buat kali kedua oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan dibahaskan oleh ahli Dewan.

Ahli Parlimen pembangkang yang mengambil bahagian dalam sesi perbahasan turut menyatakan persetujuan mereka terhadap rang undang-undang bagi membanteras rasuah itu.

Bagaimanapun pada masa yang sama mereka turut meminta agar kebebasan yang lebih luas diberikan kepada suruhanjaya tersebut dengan tidak tertakluk di bawah Perdana Menteri.

Sesi sidang Dewan Rakyat hari ini turut menyaksikan Rang Undang-Undang Perlindungan Saksi 2008 dibentangkan buat bacaan kali pertama yang bertujuan mewujudkan satu program bagi perlindungan saksi.

Selain SPRM, Perdana Menteri turut membentangkan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) pada Rabu lalu bagi meningkatkan lagi integriti badan kehakiman negara.

Rang undang-undang itu kini dibahaskan di Dewan Rakyat selepas dibacakan buat kali kedua oleh Nazri hari ini.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url