Bukan Cinta Biasa (Bab 1)

BAB 1

Semasa sedang menunggu gilirannya untuk berurusan dengan kaunter bank, Irmisa duduk di kerusi yang disediakan untuk menghilangkan rasa penat setelah seharian berdiri di tempat kerja. Jam yang tergantung di dinding dalam bank sudah menunjukkan pukul 4 petang, bermakna masih ada setengah jam lagi sebelum bank ini ditutup. Sebelum pulang dia perlu singgah sebentar ke pasar untuk mencari barang- barang dapur yang kehabisan. Sewa rumah juga perlu dibayar, begitu juga dengan bayaran bil eletrik dan air. Alangkah indahnya hidup jika semua ini ada orang yang tolong uruskan. Irmisa mengeluh dalam hati. Tapi dia mungkin tidak bertuah seperti orang lain yang seusianya. Sedang dia duduk termangu melayan perasaan, tiba- tiba pintu bank terkuak. 3 orang pemuda meluru masuk. Mereka bertopeng. Irmisa cemas. Malah semua orang di dalam bank itu turut cemas apabila 3 lelaki tadi mengacukan pistol ke arah mereka. Salah seorang daripada 3 lelaki tadi, yang berbaju hijau tua menghampiri Irmisa. Dia memegang lengan Irmisa dan menarik Irmisa ke rapat dengan tubuhnya. Irmisa tergamam. Lehernya dipaut dan kepalanya diacukan pistol. “Jangan bergerak. Ini satu rompakan!” seorang pemuda berjaket jeans menjerit. Semua orang diarahkan duduk. Irmisa menggeletar dalam pelukan lelaki tadi. Malah dia dapat rasakan tangan lelaki itu juga sedikit menggeletar. 2 orang daripada mereka meluru ke kaunter bank dan mengarahkan wang dikeluarkan. Pekerja kaunter yang terdiri daripada dua orang wanita mengikut seperti yang diarahkan. Setelah mendapatkan wang, dua orang pemuda tadi berundur. Salah seorang daripada mereka kemudian menarik seorang

remaja lelaki yang berpakaian seragam sekolah. Budak itu mengikut memandangkan kepalanya sudah diacukan pistol. Irmisa dan budak sekolah tadi dibawa keluar bersama- sama. Mereka dimasukkan ke dalam sebuah van bewarna putih yang di dalamnya terdapat seorang lagi lelaki sedang menunggu. Kemudian van itu dipecut laju meninggalkan kawasan tersebut.

“Saya kat mana ni bang?” soal budak sekolah yang dibawa bersama- sama Irmisa tadi. Dia memandang sekeliling – hutan. Gementar dan takut. “Kenapa bawa kami ke sini? Abang nak bunuh kami?” soal budak lelaki itu lagi. Dia cemas. “Kalau kau tak nak kena bunuh, baik kau diam” salah seorang daripada pemuda terbabit memberi amaran. Budak lelaki itu terus diam. Keadaan hening. Cuma kedengaran bunyi burung yang seperti sedang menyanyi. Cuaca semakin gelap. Pemuda yang berjaket jean, mungkin ketua mereka - mengumpulkan ranting- ranting kayu yang berteraburan di situ untuk menyalakan api. “Kita nak tidur dalam hutan ni?” soal budak sekolah itu setelah sepetang tadi dia mendiamkan diri. Tiada siapa yang menjawab soalannya. Kemudian dia bangun. “Nak ke mana?” soal pemuda yang berbaju putih, orang yang memandu van tadi. “Buang air” budak itu menjawab. “Letakkan beg tu dulu” arah pemuda yang berjaket tadi. Budak itu menjatuhkan beg dibahunya dalam keadaan terpaksa. Lelaki berjaket tadi mengambil beg budak itu dan menyelongkarnya. Dia mengeluarkan telefon bimbit dari beg budak itu lalu dimatikan dan dibaling ke dalam bahagian hadapan van. “Sini beg” dia meminta pula pada Irmisa. Tanpa banyak tanya Irmisa menyerahkan begnya pada pemuda itu. Telefon bimbitnya turut diambil, dimatikan dan dibaling ke tempat duduk hadapan van melalui tingkap. Beberapa minit kemudian budak lelaki tadi kembali. Dia duduk di sebelah Irmisa. “Saya lapar bang” getusnya sambil memandang kepada pemuda yang

berjaket tadi, yang duduk berhampiran Irmisa. Pemuda itu bangun dan mengambil sesuatu dalam van. “Ini aja yang ada buat sementara waktu” dia membaling sebotol air kepada budak tadi. Sebotol air lagi diserahkan kepada Irmisa. Irmisa ambil dan minum. Dia juga terasa lapar. Telefon pemuda yang berjaket tadi berdering. Dia bangun dan pergi agak jauh dari tempat mereka berkumpul untuk menjawabnya. Seketika kemudian dia kembali. “Ada sekatan polis. Abang Man nak kita bersembunyi di sini dulu buat sementara” ujarnya pada rakan- rakannya yang lain. “Jadi lama lagi saya kena duduk kat sini?” Keempat- empat orang pemuda tadi memandang budak lelaki itu. “Cakap banyak kau ya” seorang pemuda berbaju oren menegur. Budak itu telan air liur dan membetulkan cermin matanya. “ Kita orang tak akan apa- apakan kau berdua kalau kau orang tak cuba- cuba buat hal” ujar pemuda berbaju hijau. Keadaan hening semula. Bunyibunyian hutan yang menakutkan menerjah ke telinga mereka. Pemuda- pemuda tadi langsung tidak kelihatan takut.

Shahril tersedar dari tidurnya. Dia melihat jam dipergelangan tangan. Menghampiri pukul 5 pagi. Dia toleh ke sebelah. Kelihatan budak perempuan yang menjadi tebusan mereka tadi meringkuk kesejukan. Shahril menanggalkan jaketnya lalu menutupi badan budak perempuan itu. Dalam hatinya lahir rasa sedikit simpati. Dia melihat pula pada budak lelaki tadi. Baju sekolahnya yang bewarna biru muda kelihatan kotor dek tanah. Setelah bangun pagi itu Shahril menyelinap keluar dari hutan. Dia ambil keputusan berjalan kaki walaupun perjalanan memakan masa yang agak lama untuk sampai keluar.

“Shahril mana?” soal pemuda yang berbaju putih kepada kawannya yang berbaju hijau sebaik sahaja tersedar dari tidur. “Keluar, beli makanan” balas pemuda itu sambil kelihatan tekun menyalakan unggun api yang hampir- hampir padam.

Beberapa jam kemudian Shahril kembali bersama- sama beberapa plastik makanan. Dia meletakkannya di tengah- tengah antara mereka. “Makanlah” ujar Shahril sambil memandang kepada budak perempuan dan lelaki itu. Budak lelaki itu terus mencapai makanan yang ada dalam salah satu beg plastik itu. Dia mengeluarkan dua bungkusan roti. “Makanlah kak” dia menyerahkan salah satunya kepada Irmisa. Irmisa ambil lalu mengucapkan terima kasih. “ Kau orang berdua selesa tidur semalam?” Pandi menyoal sinis. Dia mencapai beg plastik di hadapannya dan mengeluarkan sebungkus roti. “Tidur dalam hutan, mana selesa” budak lelaki itu membalas. Pandi tersenyum sinis. “Kau ni, mesti anak orang kayakan?” soalnya pada budak lelaki tersebut. “Kalau saya miskin pun, saya tak akan merompak macam abang semua” balas budak lelaki itu cabul. “Ini rompakan pertama kami” Adil menyampuk. Ikutkan mahu saja dia menyumbat mulut budak lelaki itu dengan api kerana kata- kata yang celupar itu. “Sebelum ini kami cuma mencuri secara kecil- kecilan” Zami, pemuda yang berbaju oren mencelah. “Baca ni” Shahril melemparkan suratkhabar yang dibelinya tadi ke hadapan budak lelaki tersebut. Budak itu mencapainya. Berita pendek yang tersisip di hadapan suratkhabar dengan tajuk ‘Rompakan bank RM 1.2 juta’ dibacanya sampai habis. Berita itu turut menyebut dua orang remaja ditahan sebagai tebusan. Tiba- tiba telefon Shahrul berbunyi. Dia bangun dan pergi jauh sedikit bagi mengelak perbualannya didengar. Kemudian dia datang semula. Beg kedua- dua tebusan mereka diselongkar. Dia mengeluarkan kad pengenalan. “Haikal bin Syukri... Irmisa Farhana binti Dahlan” dia membaca nama yang tertera di kedua keping kad pengenalan

tersebut lalu disimpannya kad pengenalan itu dalam poketnya. “Abang Man telefon?” soal Pandi. “Iya..disuruh kita duduk sini untuk beberapa hari. Polis mungkin akan jalankan sekatan untuk beberapa hari” balas Shahrul. “ Jadi kami kena tinggal dalam hutan ni untuk beberapa hari lagi?” Haikal separuh menjerit. Dia merengus. Gila! Bentaknya dalam hati. “Kalau kau nak mati terus pun boleh jugak” cetus Zami. Haikal diam. “Tak baiklah abang semua buat kami macam ni” Haikal bersuara lagi setelah diam beberapa minit. Mukanya kelihatan sedih. Shahril memandangnya. “Sabarlah, kita orang janji tak akan apa- apakan kau” ujar Shahril. Dia kelihatan seperti seorang yang tenang. Dia kemudian memandang gadis tebusan mereka yang duduk bersandar pada van. “Rindukan keluarga?” soal Shahril. Irmisa tunduk. “Mestilah rindu bang” Haikal pula yang membalasnya. “ Mak saya mesti sedih” tokok Haikal lagi. “Kau ni mesti anak manjakan?” soal Pandi pada Haikal. Haikal tidak menjawap. Dia menguis- guis tanah dengan mimik muka yang sayu. “Kau ni nampak saja jantan tapi manja” Adil mengomen. Haikal mengetap geram. Sudah semestinya dia jantan! “Kau nampak macam budak pandai aja” Zami mencelah. Haikal sedikit rasa bangga. Itu ada benarnya. Dia merupakan seorang pelajar harapan sekolah. Baru- baru ini mendapat 10A1 dalam percubaan SPM. Hari sudah menjelang petang. Mereka makan roti yang dibeli pagi tadi. Stok roti itu mungkin bertahan sampai 2 hari lagi kalau mereka tidak banyak makan. Shahril dihubungi lagi melalui telefon bimbitnya. Haikal syak bahawa mereka berempat didalangi oleh seorang lelaki lain yang bergelar Abang Man. Haikal mengenal pasti wajah setiap orang daripada mereka dan menghafal nama- nama mereka. Haikal nekad dia akan cuba larikan diri dan melaporkan pada polis. Cuma dia tidak pasti mahu berpakat dengan gadis yang bersamanya itu atau tidak. “Akak tak makan?” soal

Haikal setelah melihat gadis itu termenung jauh tanpa menjamah sedikit pun roti dihadapannya. Irmisa mengeleng. “Akak rindukan keluarga, ke akak rindukan pakwe? ” Irmisa tersenyum tawar mendengar pertanyaan Haikal. Hakikatnya dia tidak punyai sesiapa untuk dirindui. “Rasanya macam pernah nampak akak. Akak nama apa ya?” soal Haikal cuba berbuat ramah. Dia tidak peduli kalau perbualan itu didengari oleh 4 orang lelaki yang menculik mereka itu. “Irmisa... panggil saja Kak Misa” balas Irmisa. “Akak kerja kat mana?” “Restoren KFC” Irmisa membalas. “Oh, belakang bank tu ya?” Irmisa angguk. “Patutlah macam pernah nampak” Haikal mengangguk- angguk kecil. “Saya pun sekali sekala makan juga kat situ dengan kawan” tambahnnya lagi. Dia kemudian menyoal Irmisa banyak perkara. Haikal begitu ramah menyoal itu dan ini serta bercerita tentang banyak hal.

Irmisa tersedar tatkala orang lain masih lagi nyenyak tidur. Dia rasa tidak selesa. Dia melihat Haikal yang sedang tidur disebelahnya. Imisa meringkukkan badannya. Menarik jaket jean menutupi bahunya. Sudah dua malam dia tidur berselimutkan jaket jeans ini. Dia tahu jaket ini milik Shahrul. Pagi tadi setelah terjaga dari tidur, Misa meletakkannya disebelah Shahrul. Tetapi dia tidak sedar bila jaket ini kembali menutup badannya. “Kak... ” Imisa segera menoleh ke kirinya apabila terdengar suara halus yang berbisik. Rupa- rupanya Haikal. Irmisa menghela lega. “Kak... akak nak ikut saya tak?” soal Haikal. “Ke mana?”soal Irmisa. “Kita lari” tegas Haikal dengan suara yang berbisik. “Sekarang?” Haikal angguk. “Akak jangan takut, saya yakin kita akan dapat cari jalan keluar”

“Jom” tanpa berlengah Haikal bangun. Imisa menurut dalam ragu- ragu. Dia bimbang kalau mereka tersesat ataupun terjumpa sesuatu yang tidak diingini. Mereka menyusup perlahan keluar dari situ.

“Kita sesat Haikal” cetus Irmisa sambil memandang sekelilingnya. Dia rasa cuak. Haikal turut kelihatan cemas. Matahari sudah mula meninggi. “Kita patah balik ya” usul Irmisa. “Nak patah balik pun saya dah tak tahu jalan” jawab Haikal. Dia mengeluh. Bermacam- macam rasa berbaur di hatinya. Akhirnya mereka duduk tersadai di situ menghilangkan kepenatan. Haikal yakin hutan ini tidaklah sebesar mana. Selepas ini dia akan cuba meredah lagi. Dia yakin mereka berdua akan dapat keluar dari sini. “Sesat?” tiba- tiba ada suara menerjah dari belakang mereka. Haikal dan Irmisa menoleh. Shahril dan Pandi tersenyum sinis.

“ Ini amaran terakhir untuk kau orang, jangan cuba- cuba larikan diri atau buat sesuatu yang bodoh!” tegas Pandi sambil mengacukan jari telunjuknya pada Haikal. “Hutan ni kecil, tapi bukan senang nak keluar kalau tak biasa” Shahril bersuara. “Sampai bila abang nak kurung kita orang dalam hutan ni? Kita orang bosan bang!” suara Haikal sedikit meninggi. Pandi merenungnya tajam. “Kalau kau bosan, biar aku tembak kau, mesti tak bosankan?” Haikal mengetap gigi dengan sindiran Pandi.

Pandi melemparkan sebungkus roti pada Haikal. “Makanlah, nanti kau lapar” dia memandang Haikal yang dari tadi asyik diam . Mungkin marah kepadanya. Baju sekolah Haikal sudah hampir bertukar dari biru kepada coklat. Rambut budak itu pun sudah tidak terurus lagi. Pandi mengeluarkan sikat yang sentiasa tersisip di poket

seluarnya lalu meletakkannya di depan Haikal. Haikal ambil dan menyisir rambutnya. “Terima kasih” ucapnya lalu menghulurkan semula sikat itu pada Pandi. Haikal kemudian mengambil roti di hadapannya lalu membukanya. “Kak Misa tak makan?” soal Haikal sebelum dia menyuapkan roti itu ke mulutnya. “Sudah” jawab Imisa ringkas sambil tersenyum. Dia nampak keletihan. Hari makin larut. Malam ini malam ketiga mereka berada di tengah- tengah hutan yang menakutkan ini. Shahril tersedar di tengah malam. Dia mimpi buruk. Dia, Pandi, Zami dan Adil dikepung pihak polis yang diketuai oleh ayah gadis yang mereka culik. Shahril memandang Imisa yang tidak jauh darinya. Gadis itu tidur terlentok. Shahril menghampirinya dan meletakkan jaketnya ke atas badan Irmisa. Kemudian dia memandang pula Haikal. Budak lelaki itu tidur nyenyak walaupun asyik memberontak mahu keluar dari hutan ini.

Perasaan Haikal resah apabila sudah setengah jam berlalu namun Imisa tidak juga muncul setelah dia meminta untuk membuang air kecil. Haikal bangun. Dia menepuk- nepuk seluarnya yang berdebu. “Nak ke mana?” soal Shahril. “ Cari Kak Misa” Shahril ikut bangun. Dia mengiringi Haikal melalui arah yang dilalui Imisa tadi. Berkali- kali nama Irmisa dipanggil. Ikutkan hati Haikal nak sahaja dia menjerit sekuat- kuat hatinya supaya bukan sahaja Kak Imisa dan penghuni hutan ni dengar, tapi orang- orang yang berada diluar sana juga turut mendengar. Tetapi Shahril melarangnya berbuat begitu. “Macam mana ni bang?” Haikal meraup wajahnya. Letih dan sebak. Shahril sendiri tidak mampu berkata apa. Mereka tersandar di sebatang pokok besar sebelum meneruskan pencarian. “Haikal!” Haikal mendengar namanya dijerit. Dia tersenyum lega melihat Imisa berjalan menuju ke arah mereka. “ Akak ni buat kami risau la... ” cetus Haikal. “Maaf,

Kak Misa sesat” ujar Imisa kemalu- maluan. Haikal ketawa. “Macam mana boleh sesat ni?” Shahril turut tersenyum sambil menjeling Irmisa. Dia dapat lihat mata gadis itu kemerah- merahan.

Pandi meletakkan beberapa beg plastik yang berisi makanan di dalamnya. Orang yang pertama mencapainya ialah Zami. Dia mengeluarkan setin sardin dan sebungkus roti potong. Malam itu mereka menjamu dengan agak berselera walaupun hanya berhidangkan sardin dan roti. “ Aku telefon abang Man tadi. Dia cakap mungkin esok atau lusa kita boleh keluar dari sini” Pandi bersuara. Lupa pula dia untuk membeli suratkhabar untuk mengetahui kalau- kalau ada berita terkini tentang mereka. Tapi menurut kata abang Man, pihak polis masih tidak dapat mengenali identiti mereka berempat. Pandi rasa lega. Sekurang- kurangnya mereka masih selamat untuk keluar membeli makanan. Selesai makan Zami, Pandi dan Adil tidur awal. Shahril masih tidak mengantuk. Dia menemani Haikal berbual- bual. Banyak yang mereka bualkan seperti masing- masing sudah lama kenal, termasuk juga mengenai Irmisa. “ Kak Misa dah tak ada ayah” ujar Haikal ketika Shahril bertanyakan tentang pekerjaan ayah Imisa. “Ibunya?” Haikal mengeleng. “Tak pula dia cerita kat saya pasal ibunya” “Kenapa, abang dah jatuh hati dengan Kak Misa ke?” soal Haikal nakal. Shahril cuma senyum sinis. Dia menoleh kepada Imisa yang tidur kenyenyakan. “Perompak macam abang tak layak dengan gadis baik macam kak Misa” getus Haikal dalam hati.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url