Hillary Clinton primadona politik
Pilihan Obama itu pada awalnya tidak dijangka kerana jika dilihat pada situasi ketika perebutan sengit untuk menjadi calon Presiden bagi Parti Demokrat sebelum ini.
Ketika itu, Hillary tewas kepada mesej perubahan Obama yang bergema di seluruh AS dalam persaingan untuk menjadi wakil Demokrat ke White House.
Apabila Obama mula bersemuka dengan calon Presiden dari Parti Republikan, John McCain, terdapat sesetengah penyokong kepada Hillary yang mahu beliau dinamakan sebagai calon Naib Presiden namun Biden yang terpilih untuk jawatan tersebut.
Dilahirkan sebagai Hillary Diane Rodham di Chicago, Illinois pada 26 Oktober 1947 dan merupakan anak sulung pasangan Hugh Ellsworth Rodham dan Dorothy Emma Howell.
Hillary mempunyai dua adik lelaki. Mendapat perhatian sejak di bangku sekolah kerana aktif dalam aktiviti berenang, besbol dan lain-lain sementara bakat kepimpinan Hillary mulai menyinar sebagai anggota majlis perwakilan pelajar dan akhbar sekolah di Sekolah Tinggi Maine East.
Beliau juga aktif sewaktu menjadi senior di Sekolah Tinggi Maine South sebelum menamatkan pengajian pada 1965.
Menyambung pengajian di Kolej Wellesley dalam jurusan sains politik dan pada tahun pertama lagi Hillary dilantik sebagai Presiden Republikan Muda Wellesley, namun melepaskan jawatan itu apabila berbeza pendapat berhubung Pergerakan Hak Asasi Amerika dan Perang Vietnam.
Daripada seorang penyokong Republikan, haluan Hillary berubah apabila menghadiri Konvensyen Kebangsaan Republikan pada 1968 yang disifatkannya sebagai “berbaur perkauman.”
Beliau mengambil keputusan meninggalkan parti tersebut tidak lama kemudian.
Ketika mengambil jurusan undang-undang di Universiti Yale, Hillary mula berpacaran dengan Bill Clinton yang juga seorang pelajar jurusan sama sebelum bekerja di firma guaman Treuhaft, Walker and Burnstein di Califronia dan menguruskan kes hak penjagaan anak.
Bill ketika itu sanggup membatalkan rancangan musim panasnya untuk bersama Hillary di California dan mereka tinggal bersama sehingga kembali menyambung pengajian undang-undang malah berkempen bersama di Texas untuk calon Presiden Demokrat, George McGovern pada 1972.
Walaupun selesai pengajian peringkat ijazah pada 1973, Hillary tinggal di Yale selama setahun lagi untuk bersama dengan Bill sebelum dilamar buat kali pertama namun ditolak Hillary memulakan pengajian ijazah lanjutan dalam jurusan kanak-kanak dan perubatan di Pusat Penyelidikan Kanak-Kanak Yale.
Bill tidak berputus asa dan meneruskan lamaran kepada Hillary berkali-kali namun tetap ditolak sehinggalah ketika Hillary gagal dalam peperiksaan undang-undang District of Columbia dan lulus dalam peperiksaan Arkansas yang menyaksikan Hillary mengikut Clinton ke Arkansas dan tidak lagi tinggal di Washington walaupun prospek karier lebih cerah di sana.
Bill ketika itu merupakan tenaga pengajar undang-undang di Universiti Arkansas dan bertanding untuk menduduki kerusi Dewan Perwakilan Arkansas, sementara Hillary adalah seorang daripada dua anggota wanita di fakulti undang-undang universiti sama.
Hillary masih ragu-ragu mengenai perkahwinan sehinggalah membeli sebuah rumah bersama Bill pada musim panas 1975 dan seterusnya melangsungkan perkahwinan pada 11 Oktober tahun yang sama.
Bill kalah dalam perlumbaan Kongres pada 1974, namun terpilih sebagai Peguam Negeri Arkansas pada 1976 sebelum kedua pasangan berpindah ke Little Rock di mana Hillary bekerja di Firma Guaman Rose dalam undang-undang pelanggaran paten dan hak intelektual.
Menjadi Wanita Pertama Arkansas pada Januari 1979, apabila Bill menjadi Gabenor sehingga 1992 dengan suaminya itu melantik beliau sebagai pengerusi Jawatan Kuasa Penasihat Kesihatan Luar Bandar dan Hillary dapat menyumbang kepada kemajuan fasiliti perubatan di Arkansas.
Hasil perkahwinan dengan Bill, Hillary melahirkan anak perempuan tunggal mereka, Chelsea Clinton pada 27 Februari 1980.
Hillary mula menggunakan nama keluarga Clinton ketika berkempen untuk suami beliau pada pilihan raya yang membolehkan Bill dilantik sebagai Gabenor Arkansas pada 1979.
Perhatian peringkat kebangsaan dinikmati buat kali pertama apabila suami beliau menjadi calon Presiden mewakili Demokrat pada 1992 apabila akhbar tabloid ketika itu mendakwa Bill mempunyai hubungan sulit dengan seorang penyanyi kelab malam dan untuk menyelamatkan karier politik suaminya, Hillary membuat kemunculan bersama dalam program bual bicara, 60 Minutes.
Sebaik sahaja Bill mengangkat sumpah sebagai Presiden AS ke-42, nama Hillary Clinton terpahat sebagai Wanita Pertama pertama yang memiliki ijazah lanjutan. malah sesetengah rakyat AS sendiri menggelar tempoh pemerintahan Bill sebagai “Billary” dan menyifatkan Hillary sebagai “Presiden Bersama”.
Hubungan suami isteri ini tergugat dengan gosip hubungan sulit Bill dengan seorang pelatih White House, Monica Lewinsky.
Jawatan Senator New York berjaya disandang Hillary dalam pilihan raya Senat AS pada 2000, sekali gus menjadi bekas Wanita Pertama pertama memegang jawatan penting pentadbiran dan menang mudah dalam pemilihan semula pada 2006.
Hillary sebenarnya bersiap-sedia untuk menjadi calon Presiden AS sejak awal 2003 dan mengumumkan pencalonan dalam pilihan raya Presiden AS 2008 pada 20 Januari tahun lalu dengan menyatakan.
“Saya akan turut serta, saya akan turut serta untuk menang.”
Itu juga merupakan satu sejarah kerana tidak pernah ada wanita yang dicalonkan oleh parti utama malah Hillary mendahului calon Demokrat lain sepanjang 2007, namun Obama dan calon lain mula merapatkan jurang selepas itu.
Pemilihan pertama awal tahun ini menyaksikan Hillary pada kedudukan ketiga dalam kaukus di Iowa dan persaingan dengan Obama mulai bertambah sengit sejak itu sehingga Hillary mengakui kekalahan pada 7 Jun lalu dan memberi sokongan kepada Obama.
Obama dan Hillary sebenarnya sudah mengadakan pertemuan pada pertengah- an bulan lalu bagi membincangkan kemungkinan jawatan Setiausaha Negara kepada bekas Wanita Pertama AS itu.
Pada 1 Disember lalu, Obama selaku bakal Presiden mencalonkan Hillary dan walaupun berat bagi Hillary sendiri untuk meninggalkan Dewan Senat, beliau menerima jawatan tersebut pada keesokannya berdasarkan syarat perjanjian dengan Obama iaitu mendedahkan usaha pencarian dana untuk Clinton Presidential Center dan Clinton Global Initiative.
Sesetengah pihak mungkin menjangka karier politik Hillary tamat sebaik beliau menamatkan kempen pada 7 Jun lalu dan memberi sokongan kepada Obama.
Namun kira-kira enam bulan kemudian iaitu 2 Disember lalu, Obama memutuskan Hillary adalah individu paling sesuai memegang jawatan Setiausaha Negara di bawah pentadbiran baru AS nanti.