Kurangkan penggunaan beg plastik
Pelanggan akan berlenggang masuk ke dalam pasar raya dan membeli barangan yang diperlukan kerana barang yang dibeli akan dimasukkan ke dalam beg plastik.
Kecuali beberapa barangan seperti lampin bayi pakai buang, yang siap dipek, lalu tidak perlu lagi dimasukkan ke dalam beg plastik. Apabila membeli beras sekampit, baju dan sebagainya, ia akan dimasukkan ke dalam beg plastik dan diberikan kepada pelanggan. Nampak seperti tiada masalah.
Apabila kita pergi ke banyak kedai atau ke pasar malam, maka bergayut-gayutlah pelbagai jenis beg plastik yang mengandungi makanan dan minuman di tangan kita. Kadang-kadang kita tercicir barang, terlupa di mana ia diletakkan atau minuman yang dibeli tumpah dilanggar orang.
Di rumah, beg plastik besar akan digunakan semula untuk menjadi beg plastik sampah percuma dan masalah kita akan selesai.
Harus diingat, plastik tidak boleh dikomposkan hanya selepas 100 tahun ia di dalam tanah. Ada pasar raya hyper merekacipta beg plastik yang akan terlerai sendiri dalam masa beberapa bulan dan ia mengurangkan masalah sampah di sana sini.
Dari pengalaman saya membawa beg plastik sendiri apabila membeli-belah, saya dapati ia memberikan banyak kelebihan sebenarnya.
Di sini saya ingin memberi sedikit cadangan kepada pembaca untuk manfaat bersama:
Bawa beg plastik sendiri apabila membeli-belah;
Bawa bekas sendiri apabila hendak membeli makanan yang biasanya dibungkus;
Barangan kecil yang dibeli tidak perlu dibungkus menggunakan beg plastik.
Antara manfaat yang bakal kita perolehi ialah:
Kita mudah membawa barang kecil dan besar dan tidak tercicir semasa membeli-belah. Penggunaan beg plastik hanya perlu apabila hendak memindahkan barangan dari kaunter bayaran ke kenderaan. Lagipun, di pasar raya besar, kita menggunakan troli untuk membawa barangan dari kaunter ke kenderaan di luar.
Bila sampai di rumah, tidak perlu menghabiskan masa membuka bungkusan satu persatu dan sampah juga berkurangan kerana biasanya plastik kecil tidak digunakan semula;
Membungkus makanan dalam bekas yang kita bawa lebih terjamin dari aspek kebersihan kerana kita sendiri yang mencuci malah masa membeli juga dapat dijimatkan. Dengan bekas sendiri, mudah untuk kita makan ketika berada di dalam kenderaan berbanding makanan yang dibungkus dalam plastik; dan
Barangan kecil seperti roti, sabun, berus gigi atau alat tulis yang dibeli boleh dibawa begitu sahaja kerana beg plastik kecil yang digunakan akan hanya menambah sampah di rumah.
Kesimpulannya, amalan yang saya cadangkan itu akan memberikan keselesaan kepada kita, walaupun pada awalnya, kita mungkin merasa kekok.
Biarpun, kita mungkin merasa tidak adil kerana peniaga boleh menjimatkan penggunaan beg plastiknya, tetapi fikirkanlah manfaat yang lebih besar yang akan kita dapati serta kesannya kepada alam sekitar yang kita sayangi.