Hudud: Pas sanggup tunggu 30 tahun

Pas tidak akan memaksa atau mendesak mana-mana pihak terutama rakan pembangkangnya melaksanakan hudud dan qisas di negara ini sekiranya pakatan pembangkang memerintah.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pihaknya sedia menunggu hingga semua pihak sedia terima hudud dan qisas walaupun terpaksa mengambil masa 30 tahun lagi.

Beliau berkata, parti itu akan terus memberi penerangan kepada semua pihak terutama bukan Islam dalam usaha untuk mencapai hasrat mereka.

"Kita tidak payah tekan atau paksa untuk orang ramai terima undang-undang Allah, 20 atau 30 tahun lagi orang terima pun tidak apa. Hudud ini benda besar dan ia makan masa lama untuk dilaksanakan.

"Dulunya bila Pas sebut politik Islam, orang tidak boleh terima. Mereka kata mana ada politik Islam tapi bila kami memerintah atas Islam orang boleh terima begitu juga dengan hudud," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendirian parti tersebut dalam melaksanakan hudud dan qisas di negara ini jika pakatan pembangkang memerintah.

Pendirian parti itu dilihat tidak konsisten selepas beberapa pemimpinnya memberikan kenyataan yang berdolak-dalik selepas mendapat kritikan daripada rakan mereka dalam pakatan pembangkang, DAP.

Isu hudud timbul semula ketika Wacana Transformasi Politik Malaysia yang diadakan di Balai Islam Lundang baru-baru ini.

Ia dibangkitkan oleh Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa mengakui parti itu akan melaksanakan hudud dan qisas sebaik sahaja pakatan pembangkang memerintah negara ini.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, parti itu tidak terjejas walaupun isu itu digunakan oleh Barisan Nasional (BN) dalam kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Terengganu.

"Tidak ada apa (isu hudud), dulu orang dapat terima politik Islam, sikit lagi orang dapat terima hudud pula," katanya.

Sementara itu, Kelab Penyokong Pas Kebangsaan yang mempunyai lebih 10,000 ahli tidak akan menghalang hasrat parti itu melaksanakan hudud dan qisas di negara ini selagi ia tidak mengganggu cara hidup serta budaya masyarakat bukan Islam.

Bagaimanapun kelab penyokong itu tidak yakin Pas akan dapat melaksanakan hukum tersebut dan memerintah negara ini jika berdasarkan realiti politik pada masa sekarang.

Pengerusi kelab itu, Hu Pang Chaw berkata, pelaksanaan hukum hudud dan qisas sukar dikuatkuasakan dalam tempoh terdekat kerana memerlukan pindaan Perlembagaan sedangkan Pas pula tidak mempunyai jumlah kerusi yang mencukupi di Parlimen untuk berbuat demikian.

"Kita tidak membantah jika Pas mahu melaksanakan hudud dan qisas sekiranya pakatan pembangkang menguasai kerajaan pada masa akan datang, kita memahami bahawa hukum itu hanya dilaksanakan kepada mereka yang beragama Islam sahaja.

"Orang Cina sudah faham dalam soal Islam, mereka sudah faham ia hanya untuk orang Islam dan tidak melibatkan orang bukan Islam," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendirian kelab yang dianggotai oleh bukan Islam itu berhubung isu hudud yang hangat diperkatakan pada masa kini.

Ketika Wacana Transformasi Politik Malaysia pada minggu lalu, Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa, berjanji parti itu akan tetap melaksanakan hukum hudud dan qisas sekiranya pakatan pembangkang mengambil alih pemerintahan negara.

Bagaimanapun sekutunya, DAP membantah pelaksanaan hukum hudud dan isu berkenaan tidak termasuk dalam manifesto pakatan pembangkang pada pilihan raya umum Mac lalu.

Pang Chow berkata, pihaknya tidak akan menjadi orang tengah untuk memberikan penerangan kepada DAP berhubung isu hudud dan qisas.

"Kita menghormati prinsip perjuangan DAP, biarpun berbeza kita ada titik pertemuan iaitu untuk berkhidmat kepada rakyat," katanya.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url