Tutup blog palsu
Presiden Penaja Perikatan Kebangsaan Penulis Blog (All-Blogs), Ahirudin Attan berkata, tindakan menutup segera blog-blog palsu ini perlu dilakukan selepas hasil siasatan membuktikan ia adalah palsu serta menggunakan identiti orang lain.
‘‘Mengenai kes wanita yang nama dan gambarnya digunakan bagi mewujudkan sebuah blog yang menghina Nabi Muhammad SAW, adalah jelas ia merupakan blog palsu maka ia harus ditutup dengan segera,’’ katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau yang juga penulis laman blog Rocky’s Bru berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan yang dibuat oleh Utusan Malaysia kelmarin tentang sebuah laman blog yang dikesan penuh dengan penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW.
Blog tersebut turut menggunakan gambar dan lukisan kononnya milik seorang wanita Melayu. Bagaimanapun dipercayai gambar dan nama wanita itu hanya diperalat oleh pihak lain.
Berdasarkan blog itu lagi, kononnya penulis wanita tersebut berfikiran terbuka.
Ahirudin memberitahu, ini adalah perkara-perkara negatif berlaku dalam dunia siber apabila terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan nama dan identiti orang lain untuk membuat sesuatu yang negatif seperti laman lucah.
Katanya, pemimpin-pemimpin negara juga tidak terkecuali berdepan dengan masalah itu seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi apabila nama dan gambar beliau digunakan untuk membuka laman sosial Facebook.
‘‘Menteri-menteri lain seperti Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menjadi mangsa kegiatan tidak bermoral ini,’’ katanya.
Dalam pada itu, beliau juga meminta media cetak dan elektronik tidak menghebohkan atau menggembar-gemburkan mengenai blog-blog palsu ini kerana ia akan menarik minat orang ramai untuk membuka laman blog terbabit.
Tegasnya, paling baik tidak perlu untuk memberi reaksi keterlaluan terhadap blog tersebut yang jelas merupakan blog palsu.
Ahirudin memberitahu, SKMM perlu mengambil tindakan proaktif dalam hal ini dengan menyiasat blog-blog terbabit dan jika didapati palsu perlu ditutup segera kerana ia akan menjejaskan negara serta individu terlibat.
Tambah beliau, blog-blog yang banyak mengkritik kerajaan, kasar dan tidak beradab, menghina agama serta Nabi Muhammad SAW bukanlah sifat penulis laman blog negara ini.
‘‘Tindakan pihak tidak bertanggungjawab ini juga merosakkan nama baik penulis-penulis laman blog negara ini dan sejak dulu lagi saya telah mencadangkan agar mereka menggunakan nama sendiri serta tidak berselindung di sebalik nama samaran,’’ katanya.
Jelas beliau, sekiranya penulis-penulis blog menggunakan nama sendiri ia akan meningkatkan kualiti blog negara ini yang dianggap sebagai media rakyat.
- Utusan