Islam larang rosakkan bumi

ALLAH menciptakan langit dan bumi serta segala isinya untuk manfaat umat manusia. Bagaimanapun, tidak ramai yang menghargai nikmat alam sekitar itu. Hal ini menyebabkan ada di kalangan manusia memandang enteng nikmat tersebut sehinggakan bertindak menggondolkan bukit-bukau sewenang-wenangnya.

Sehubungan itu, Allah memberi peringatan melalui firman-Nya yang bermaksud: Telah kelihatan kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka telah lakukan supaya mereka kembali insaf. (al-Rum: 41)

Berkenaan tanggungjawab manusia memelihara alam sekitar, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Dunia ini hijau dan cantik dan Tuhan telah melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan. (riwayat Muslim).

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemu bual Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Nidzamuddin Zakaria bagi mengupas isu ini.

Mega: Apakah konsep penjagaan alam sekitar dalam Islam?

Nidzamuddin: Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu 1972 menjelaskan bahawa alam sekitar adalah: “Suatu aset atau simpanan sumber-sumber alam sama ada berbentuk material dalam kelompok masyarakat atau populasi tertentu, pada waktu dan tempat yang tertentu bagi menyempurnakan dan memenuhi keperluan manusia dari masa ke semasa”. (Rujuk: Muhammad Sa’id dan Rasyid Ahmad. 1986. Al-Bi’ah wa musykilatiha. Kuwait: Maktabah al-Falah.Hal. 25).

Ibnu Abd. Rabbihi pula menyatakan takrif alam sekitar ini di dalam kitabnya al-Jumanah dengan penjelasannya bahawa: “Alam sekitar ialah yang merujuk kepada kehidupan ciptaan Ilahi dan kebudayaan yang wujud di mana manusia dapat menjalani kehidupan di dalamnya”. (Rujuk: Muhammad Abd al-Qadir Al-Fiqqiyy. 1993. Al-Bi’ah Musykiluha wa Qadayaha. Kaherah: Maktabah Ibn Sina. Hal. 9.)

Al-Quran dan sunah memberikan penekanan yang serius mengenai penjagaan alam sekitar di mana kedua-dua sumber perundangan ini menyeru manusia untuk mengekalkan pemeliharaannya sebagai satu kurniaan atau nikmat Tuhan yang agung. Ia melarang pencemaran di samping menggesa mereka untuk memanfaatkan khazanah alam di mana usaha murni ini di sanjung mulia agama Islam bahkan dianggap sebagai ibadat yang agung di sisi Tuhan. Alam sekitar tidak terhad kepada aspek estetika dan kebersihan fizikal semata-mata. Hakikatnya keseimbangan alam sekitar memberi kesan ketara kepada keharmonian dan kesejahteraan hidup selari dengan kemajuan negara serta kemakmuran bumi. Tanpa rimbunan pokok, maka tadahan hujan untuk bekalan air akan mengurang. Tanpa hutan maka keupayaan menyerap gas karbon dioksida di atmosfera akan berkurangan. Tanpa udara yang bebas bahan cemar, maka kesihatan awam terancam.

Ajaran agama menjelaskan peranan alam sekitar sebagai salah satu unsur terpenting aspek ketuhanan dalam konteks kosmologi. Ajaran Islam pula menjelaskan kedudukan alam sekitar yang kudus dan tertib. Itulah rasionalnya alam sekitar dikemukakan sebagai salah satu teras Islam Hadhari.

Pelestarian dan kepentingan alam sekitar disebutkan secara tersurat dan tersirat dalam banyak ayat al-Quran dan hadis. Allah SWT berfirman yang bermaksud: ...(iaitu) Orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan mengenai penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, peliharalah kami daripada seksa neraka. (ali-Imran: 191).

Ayat ini menunjukkan bahawa alam sekitar fizikal dan seluruh cakerawala adalah tanda kebesaran Allah Yang Maha Pencipta. Orang beriman sentiasa berusaha menjadikan alam sekitar terpelihara dan bersih, bukan saja dalam keadaan aman, malah ketika peperangan.

Ajaran Islam mengajar umatnya supaya melestarikan alam sekitar kerana di sebalik kehijauan hutan dan kebiruan langit, tertera ayatullah yang memperlihatkan sifat Allah Yang Maha Kuasa dan Maha Pencipta.

Kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa adalah satu lagi contoh keengganan manusia mematuhi perintah Allah sebagaimana dalam surah ar-Rum: 41. Bagaimana membetulkan keadaan ini?

Nidzamuddin: Kalau kita meneliti sumber-sumber syarak dan usul-usulnya, pasti kita akan melihat asas-asas dan dasar-dasar yang murni yang digagaskan oleh Islam. Ia bagi memandu dan memimpin suatu etika dan akhlak yang terpuji bagi setiap individu muslim berperanan dan bermuamalah secara positif dengan alam sekitar ciptaan Ilahi ini agar warisan tersebut tidak pupus atau rosak di tangan manusia itu sendiri.

Akhirnya, ketiadaan sikap menyayangi dan memelihara alam sekitar ini boleh membawa kepada kemusnahan, kerosakan dan bencana yang menimpa manusia itu sendiri.

Allah menegaskan hal ini melalui firman-Nya yang bermaksud: Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). (al-Rum: 41).

Tindakan paling drastik yang perlu dilakukan umat Islam adalah kembali kepada Islam itu sendiri, tinggalkan budaya atau gaya hidup yang jauh daripada Allah dan syariat-Nya. Barangkali musibah seumpama ini adalah peringatan untuk kita agar jangan lalai dan leka terhadap peranan kita selaku hamba dan khalifah-Nya di muka bumi ini.

Islam adalah agama yang mengikat hubungan kita dengan Pencipta dan menjalin hubungan manusia sesama manusia.

Islam juga menyusun peradaban dan etika manusia dengan makhluk sekitarnya meliputi alam dan ciptaan Tuhan yang berada di atasnya bersesuaian dengan agenda utama manusia di muka bumi ini selaku khalifah Tuhan yang mentadbir dan mengurus dunia ini dengan saksama dan penuh bijaksana demi kemaslahatan manusia dan keharmonian alam sekitarnya.

Bukit-bukau dan gunung-ganang dijadikan Allah sebagai pasak bumi (al-Anbiya’: 31). Apakah saranan Islam tentang pembangunan seimbang (sustainable development)?

Nidzamuddin: Kita perhatikan dahulu ayat al-Quran itu tadi. Allah menegaskan: Dan Kami telah menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya, supaya bumi itu tidak menggegar mereka dan Kami jadikan padanya celah-celah sebagai jalan-jalan lalu-lalang, supaya mereka dapat sampai kepada mencapai keperluan rohani dan jasmani. (al-Anbiya’: 31).

Ayat ini menegaskan bahawa fungsi sebenar bukit-bukau dan gunung-ganang itu ialah sebagai pasak kepada bumi. Meneres kawasan bukit-bukau sesuka hati tanpa kawalan dan sempadan mengundang ketidakseimbangan muka bumi itu sendiri.

Justeru, pembangunan yang seimbang ini amat dititik beratkan dalam ayat Allah yang lain antaranya firman Allah yang bermaksud: Dan bumi ini Kami bentangkan dan Kami letakkan padanya gunung-ganang yang kukuh terdiri, serta Kami tumbuhkan padanya tiap-tiap sesuatu yang tertentu timbangannya. (al-Hijr: 19).

Sistem keseimbangan dalam alam sekitar yang diaturkan Penciptanya ini lebih dikenali sebagai ekosistem yang sangat unik dan sistematik. Seluruh unit dalam sistem telah diprogramkan Allah agar mengikuti sistem atau sunnatullah yang hebat ini.

Sebagai contoh, matahari dan bulan ditentukan Allah berfungsi dalam ekosistem ini selaku penyumbang cahaya mengikut kadar peratusan yang tertentu.

Jika kadar pencahayaan matahari itu melebihi peratusan yang sepatutnya, maka tentulah alam dan hidupan di atas permukaannya bakal mengalami kemusnahan dan kebakaran.

Begitu juga kadar oksigen dalam udara yang telah ditentukan Allah sejumlah 21 peratus, maka andainya kadar oksigen itu menjangkau 50 peratus, nescaya alam dan hidupan di atas permukaannya juga pasti mengalami kemusnahan dan kebakaran. Begitulah al-Quran melukiskan peri pentingnya keseimbangan ekosistem ini untuk dipelihara oleh khalifah Tuhan atau manusia di muka bumi ini sebaik-baiknya. (Tibarah, ‘Afif bin Abdul Fattah. Ruh al-Din al-Islami. Beirut: Dar al-Malayin li al-‘Ilmi. Hal. 57).

Akhirnya, renungilah seruan Ilahi untuk hamba-hamba-Nya bagi menjaga alam sekitar khususnya bukit-bukau dan gunung-ganang ciptaan terindah Tuhan menerusi ayat yang bermaksud: Tidakkah engkau melihat bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu Kami keluarkan dengan air hujan itu buah-buahan yang berlainan jenis dan rupanya; dan di antara gunung-ganang pula ada yang mempunyai jalur-jalur serta lorong-lorong putih dan merah, yang berlainan warnanya (tua dan muda) dan ada juga yang hitam legam; Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun. (Faatir: 27 -28)

Sebilangan manusia berpendapat, penjagaan alam sekitar tugas pihak tertentu sahaja. Justeru, bebas membersihkan hutan, membuang sampah merata-rata. Adakah pandangan begini tepat?

Nidzamuddin: Pandangan ini tidak tepat sama sekali! Ia mencerminkan sikap mementingkan diri sendiri dan tidak prihatinnya terhadap warisan alam. Yang sebenarnya, manusia itu adalah unsur atau entiti yang maujud di tengah-tengah alam sekitar, bahkan Islam meletakkan manusia selaku unsur paling penting di dalamnya berbeza dengan hidupan lain yang hanya bersifat material dan kosong maknawi atau rohaninya di mana setiap insan itu bertindak selaku pengurus atau pentadbir alam sekitar itu.

Justeru, dengan kelebihan ciptaan manusia daripada unsur material dan maknawi, maka manusia dinobatkan selaku pemimpin dan khalifah Tuhan yang mengurus dan mentadbir alam dengan sebaik-baiknya.

Firman Allah bermaksud: Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya. Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaanKu) maka hendaklah kamu sujud kepadanya. (al-Hijr: 28-29).

Hal ini disokong pula dengan hadis Nabi SAW bermaksud; Sesungguhnya dunia ini cantik dan subur menghijau dan sesungguhnya Allah menjadikan kamu (wahai manusia) selaku pengurusnya dan apa yang terdapat padanya. (Al-Tirmizi, Muhammad bin Isa. 2004. (Rujuk: Jami’ al-Tirmizi. Kitab al-Fitan. Hadis No. 2191. Riyadh: Bait al-Afkar al-Dauliyyah).


Faktor keuntungan dan wang ringgit adakalanya mengelabui mata menyebabkan pihak tertentu seperti jurutera, ahli geologi dan sebagainya ‘menipu’ dan menyembunyikan kebenaran tentang bahaya yang mungkin berlaku apabila mendirikan bangunan di lereng-lereng bukit. Apakah balasan Allah terhadap golongan sebegini?

Nidzamuddin: Inilah bahana dan bahayanya apabila pihak yang berwajib dan yang berautoriti dari segi kuasa dan keilmuannya tidak bersikap profesional, telus dan bertanggungjawab.

Ketamakan pada keuntungan yang melambak-lambak akan mengenepikan soal bahaya dan risiko yang bakal menimpa. Ya, memang ada orang yang kaya dan mampu membina semula banglo yang runtuh itu lantaran kekayaannya yang tidak terkira. Lebih mengejutkan ialah ada yang berani membangunkan semula bangunan baru di lokasi yang telah berlaku tanah runtuh.

Namun soal nyawa, harta benda yang terbuang dan musnah begitu sahaja serta ‘pencabulan terhadap keharmonian alam sekitar’ itu sendiri adalah suatu isu yang perlu dititik beratkan.

Pokok-pokok yang subur menghijau bukan sekadar dilihat sebagai ciptaan Allah yang mendamai dan menakjubkan, bahkan Rasulullah SAW mengajar umatnya agar memeliharanya daripada ditebang dan dimusnahkan.

Ini terserlah melalui larangan keras Baginda terhadap usaha penebangannya yang tanpa sebab dan melampau bermaksud: “Barang siapa yang memotong pokok (bidara) - tanpa manfaat atau kepentingan - nescaya Allah SWT akan menghumbankan kepalanya ke jurang neraka”. (Rujuk: Abu Daud, Sulaiman bin al-Asy’ath al-Sijistani. T.th. Sunan Abi Daud. Kitab Adab. No. Hadis: 4561. Juzuk 4. Hal. 361).

Imam Abu Daud mengulas maksud hadis ini setelah disoal mengenainya dengan penjelasannya: “Barangkali yang dimaksudkan dengan amaran Nabi SAW dengan penebangan pokok tanpa sebab ini adalah terhadap pokok-pokok yang terdapat di padang pasir yang dijadikan tempat teduhan orang yang lalu lalang atau para musafir.”

Kalau nak dikiaskan dengan geografi negara kita, maka pokok-pokok di lerengan bukit-bukau itu juga dilarang Islam menebangnya tanpa bersebab dan kawalan. Kalau isu penebangan pokok atau peneresan bukit-bukau ini tidak dikawal secara serius, maka tidak mustahil bahawa kita akan menyaksikan banyak lagi penempatan di kawasan-kawasan bukit akan menjadi mangsa tanah runtuh ini.


Adakah kepincangan yang berlaku sekarang disebabkan kurangnya sifat ihsan di kalangan kita sehingga adakalanya kita menipu dalam sukatan pembinaan dan sebagainya?

Nidzamuddin: Ya, saya setuju bahawa ia adalah antara faktor-faktor utama yang menyumbang kepada kemusnahan alam ini. Kerakusan membolot projek-projek yang mega dan bernilai juta ringgit kadang-kadang menghakis norma-norma kemanusiaan dan perasaan ihsan sesama insan bahkan terhadap alam sekitar itu sendiri.

Memang benar alam tidak menjerit dan melolong apabila diperlakukan penebangan atau peneresan bukit-bukau dengan sewenang-wenangnya, namun kerakusan ini akan berakhir dengan dentuman bangunan runtuh, suara tangisan mangsa tanah runtuh dan kerosakan harta benda yang begitu besar.

Justeru, Allah melarang keras penipuan ini khususnya dalam sukatan dengan firman-Nya: Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan). Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup. Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi. Tidakkah mereka menyangka bahawa mereka akan dibangkitkan (hidup semula sesudah mati)? (al-Mutaffifin: 1-4).

Perbuatan merosakkan alam sekitar adalah sama seperti menafikan sikap adil dan ihsan, sedangkan kedua-dua sikap ini merupakan perintah Allah yang perlu dilaksanakan. Perbuatan mencemar dan merosakkan alam sekitar juga menodai fungsi kekhalifahan yang telah dibebankan kepada manusia.

Ini kerana bumi bukan milik manusia untuk dia berbuat sesuka hati tetapi bumi ini adalah milik Allah yang dipinjamkan kepada manusia yang kemudiannya dituntut untuk menjalankan segala perintah Allah di atasnya.

Oleh yang demikian, manusia perlu ingat bahawa dia dilantik sebagai khalifah Allah di atas muka bumi yang juga milik Allah. Maka tidak sepatutnya manusia bertindak seperti raja yang seolah-olah tidak akan dipertanggungjawabkan di atas segala yang telah dikerjakannya.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url